Monday, June 18, 2007

BEBERAPA HADIS PILIHAN BUAT TAZKIRAH

 

نَضَّرَ اللهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيْثًا فَبَلَّغَهُ ﴿رواه أحمد وأبو داود والترمذي وغيرهم وصححه الألباني﴾

"Allah membuat cerah (muka) seorang yang mendengarkan (hadits) dari kami, kemudian menyampaikannya." (Hadits Shahih, HR. Ahmad, Abu Dawud)

 

1.      Ilmu Tanpa Kedatangan Makna Ke Dalam Diri

 

عن علي بن أبي طالب قال: لاَ خَيْرَ فِي عِبَادَةٍ لاَ فِقْهَ فِيهَا، وَلاَ فِي قِرَاءَةِ لاَ تَدَبُّرَ فِيهَا، وَلاَ فِي عِلْمٍ لاَ تَفَهُّمْ.

Sayyidina Ali (r.a) berkata,   "tidak ada kebaikan dalam ibadat tanpa feqh padanya, dan tidak dalam pembacaan tanpa 'memerhatikan kandungannya' (tadabbur), dan tidak dalam ilmu tanpa memahaminya".

 

  • Memperolehi natijah kedatangan makna ke dalam diri daripada apa sahaja yang kita lakukan akan mempertingkatkan kita ke suatu maqam melebihi orang-orang lain.   Justeru, ikhtiarkan agar apa sahaja yang kita lakukan ianya memberi makna dan mendatangkan kebaikan pada diri.

 

 

2.       Kembali merujuk Sumber Asli Agama: Al-Qur'an & As-sunnah

 

فَإِنّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفاً كَثِيراً، فَعَلَيْكُم بِسُنّتِي وَسُنّةِ الْخُلَفَاء الرّاشِدِينَ المَهْدِيّينَ تَمَسّكُوا بِهَا، وَعَضّوا عَلَيْهَا بِالنّوَاجِذِ، وَإِيّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأمُورِ، فَإِنّ كُلّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكلّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَة.ٌ

"Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak.  Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk).   Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham.  Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah sesat".   Al-hadis oleh Abu Daud, al-Tirmizi (hadis hasan sahih), Ibn Majah, al-Darimi, Ibn Hibban, al-Hakim (hadis sahih), dan al_Imam al-Zahabi.

 

  • Mungkin sangat tepat untuk kita sebarkan hadis ini kepada pelbagai bentuk pemikiran yang saling bercanggah dewasa ini.   Apakah pelbagai dakwaan mengenai Islam hari ini yang diberi pelbagai warna dan bentuk asalnya dari nas yang diterima agama (khususnya yang dibawa oleh fahaman Islam liberal, SiS dan lain-lain)?
  • Kita juga perlu pertingkatkan ilmu untuk beramal dengan mengetahui sumber-sumber amalan kita.
  • Pada masa yang sama, tidak perlu mempertikaikan amalan-amalan orang lain tanpa benar-benar   memahami kaedah dan maslahatnya.  Jika ada orang mempertikaikan kita, maklumkan bahawa kita akan cuba mendalaminya tetapi kita juga tidak boleh terus 'bertaqlid' dengan dakwaannya!

3.      Kuasailah Masa!

 

"قَالَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم: "لاَ تَقُومُ السّاعَةُ حَتّى يَتَقَارَبَ الزّمَانُ وَتَكُونَ السّنَةُ كَالشّهْرِ، وَالشّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونَ الْجُمُعَةُ كَاليَوْمِ، وَيَكُونَ اليَوْمُ كَالسّاعَةِ، وَتَكُونَ السّاعَةُ كَالضّرْمَةِ بِالنّارِ ".

Bersabda Rasulullah s.a.w, Tidak akan terjadi   kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan, dan sebulan dirasakan seperti seminggu, dan seminggu dirasakan seperti sehari, dan sehari dirasakan seperti sejam dan sejam dirasakan seperti satu pecikan api".

 

  • Masa sangat pantas berlalu dan tanpa disedari kita semakin tua dan menghampiri kedatangan maut (meninggalkan dunia yang kita seronok), lebih buruk lagi bila kita hanya tersedar masa maut menjemput ajal.
  • Seperti putaran ganas (vicious circle), Masa Sudah Menguasai Kita, Buka Kita Yang Menguasai Masa (sebahagian besar aktiviti kita ditentukan oleh kesibukan yang tidak ada habisnya)!
  • Memang tidak mudah menguasai masa (jika tidak, tidak berlambaklah buku pengurusan masa di pasaran).
  • Salah satu pra-syarat penting pengurusan masa yang berkesan adalah memiliki kekuatan dan kejelasan destinasi.   Apa yang kita hendak jadi untuk suatu masa nanti; ibadat kita kepada Allah, pengorbanan kita kepada perjuangan di jalanNya, peranan kita dalam pendidikan keluarga, keilmuan kita,   dan sebagainya.
  • Keluarlah dari 'putaran ganas' beberapa ketika, binalah modus operadi kepada pengurusan hala tuju yang mendapat keredhaan Allah (dengan memberi saham secukupnya).

 

 

4.      Ganjaran Ketinggian darjat Pejuang Agama

 

قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِهِ كُلُّ دَرَجَتَيْنِ مَا بَيْنَهُمَا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Sabda Rasulullah s.a.w, Sesungguhnya di dalam Syurga terdapat seratus darjat yang disediakan Allah kepada pejuang-pejuang di jalanNya.   Setiap antara dua darjat seumpama antara langit dan bumi.

 

  • Sesungguhnya sungguh besar ganjaran kepada mereka yang bekerja di jalan Allah.
  • Walaupun kita kerap mengatakan terdapat banyak cara untuk kita menjadi hamba Allah yang diredhaiNya, namun setiap cara tersebut mempunyai nilai yang berbeza antara satu sama lain.
  • Sudah tentu berbeza antara orang yang berkorban menginfak dirinya sepenuh masa di jalan Allah dengan orang yang bekerja di pejabat kerajaan.   (juga sebagai satu sanggahan untuk mudah-mudah kita mengatakan orang yang membuat lebuh-raya juga menjalankan jihad yang besar)
  • Justeru, setiap kita perlu perlu cari jalan untuk pertingkatkan darjat (bimbang-bimbang darjat terendah pun kita tidak mampu mendapatnya).

 

 

5.      Pejuang Islam Akan Dipandang Pelik

بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيباً وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيباً، فَطُوبىَ لِلْغُرَبَاءِ

Islam itu bermula dengan asing dan ianya akan berakhir dengan asing.   Maka untunglah orang yang 'asing' itu.

 

  • Ini adalah sunnah perjuangan.   Tidak mudah untuk terus berjuang kecuali orang-orang yang menyakini risalah yang dibawanya – risalah yang benar.

 

 

6.      Kasihanilah semua orang

اِرْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Kasihanilah kamu orang yang ada di bumi, agar kasih pula kepada engkau tuhan yang di langit.   - hadis Abu Daud dan Tarmizi

 

  • Dai yang baik seharusnya bermula dengan rasa kasih kepada semua orang dan insyaAllah Allah akan mengasihi kita semua.
  • Alangkah indahnya Islam itu kepada orang-ramai jika hadis ini diamalkan.

 

 

7.      Adab Menuntut Ilmu

لا تتعلموا العلم لتباهوا به العلماء ولتماروا به السفهاء ولتصرفوا به وجوه الناس إليكم فمن فعل ذلك فهو في النار. حديث الحافظ العراقي

Janganlah menuntut ilmu untuk berdebat dengan para ulama.   Dan (janganlah menuntut ilmu) untuk memperlekehkan orang yang jahil.  Dan (janganlah menuntut ilmu) untuk memalingkan orang kepada mu (menunjukkan kehebatanmu).   Maka barangsiapa melakukan demikian, maka di dalam nerakalah (tempatnya).

 

  • Ramai yang merasa menuntut ilmu tidak perlu kesungguhan kerana melihat ramai juga yang berilmu tetapi menjadi sombong – insyaAllah kalau ada hadis seumpama ini ilmu kita akan sangat berfaedah kepada kita.

 

 

8.      Segala-galanya Bermula di hati

"إِنَّ اللهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى أَجْسَادِكُمُ وَلاَ إِلَىَ صُوَرِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَىَ قُلُوبِكُمْ"

"Sesungguhnya Allah ta'ala itu tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu, tidak pula kepada bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hatimu sekalian" – sahih Muslim.

 

 

9.      Apakah Kita Sudah Benar-Benar Ikhlas?

مِنْ رَسُولُ اللّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولُ اللّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: "ان أَوَّلَ النّاسِ يُقْضَى لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَلاَثَةٌ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: قَاتَلْتُ فِيكَ حَتّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنّكَ قَاتَلْتَ لِيُقَالَ فُلاَنٌ جَرِيءٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتّى أُلْقِيَ فِي النّارِ وَرَجُلٌ تَعَلّمَ الْعِلْمَ وَعَلّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنّكَ تَعَلّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ قَارِىءٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتّى أُلْقِيَ فِي النّارِ وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا فَقَالَ: مَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبّ". قَالَ أَبُو عَبْدِ الرّحْمَنِ: وَلَمْ أَفْهَمْ تُحِبّ "كَمَا أَرَدْتُ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إلاّ أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنْ لِيُقَالَ إنّهُ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ فَأُلْقِيَ فِي النّارِ ".

 

Dari Abu Hurairah (r.a) beliau berkata: aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

"Manusia yang pertama diadili di hari kiamat ialah seorang lelaki mati syahid.   Dia dibawa (mengadap Allah) dan Allah memperkenalkannya kepadanya akan kurniaNya dan dia akan mengenalinya (kurniaan-kurniaan).  Allah mengatakan kepadanya, Apakah yang telah kamu lakukan tentangnya?   Jawabnya:  aku telah berjuang untuk Engkau sehingga aku syahid.  Allah mengatakan kepadanya: engkau dusta, tetapi engkau sebenarnya berjuang supaya dikatakan orang perkasa dan orang telahpun mengatakan demikian.   Kemudian diperintahkan supaya diheret atas mukanya sehingga dicampakkan ke dalam neraka.

 

Dan orang yang lain seorang lelaki yang mempelajari ilmu (agama) dan mengajarkannya serta dia membaca al-Qur'an.   Dia dibawa (mengadap Allah) dan Allah memperkenalkan kepadanya akan kurniaNya dan dia akan mengenalinya (kurniaan-kurniaan). Allah mengatakan kepadanya,   Apakah yang telah kamu lakukan tentangnya?  Dia menjawab:  saya telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya dan saya membaca al-Qur'an untuk engkau.   Allah mengatakan: kamu dusta, tetapi sebenarnya kamu mempelajari ilmu supaya dikatakan orang alim dan engkau membaca al-Qur'an untuk dikatakan, dia itu qari', dan orang telahpun berkata demikian.   Kemudian diperintahkan supaya diheret atas mukanya sehingga dicampakkan ke dalam neraka.

 

Dan (seorang lain) orang yang Allah berikan segala jenis harta kepadanya.   Dia dibawa (mengadap Allah) dan Allah memperkenalkan kepadanya akan kurniaNya dan dia mengenalinya (kurnia-kurniaanNya). Allah mengatakan kepadanya,   Apakah yang telah kamu lakukan tentangnya?  Dia menjawab:  saya tidak meninggalkan apa jua jalan yang Engkau suka dibelanjakan padanya kecuali saya belanjakan padanya untuk Engkau.   Allah mengatakan: Engkau dusta, tetapi sebenarnya engkau lakukan itu supaya dikatakan dia itu pemurah, dan orang telahpun berkata demikian.  Kemudian diperintahkan supaya diheret atas mukanya sehingga dicampakkan ke dalam neraka.

 

Hadis Muslim, Tarmizi, Nasa'i.

 

  • Sudah tidak perlu huraian.   Bersihkanlah niat kita – sentiasa!

No comments: