Monday, July 28, 2008

Sentiasalah Melihat Aspek Positif

Orang Islam harus memiliki pandangan hidup yang sempurna. Pandangan hidup yang sempurna akan menentukan tindakan yang sempurna. Barangkali kisah di bawah baik untuk dijadikan pedoman. Kisah ini juga sebenarnya diceritakan oleh Dr Stephen Covey dalam buku "The Seven Habits of Highly Effective People".

Saya teringat perubahan paradigma kecil (mini-paradigm shift – berubah pandangan tentang sesuatu) yang saya alami pada satu pagi Ahad di satu laluan keretapi, New York. Orang-orang yang berada di situ duduk dengan tenang (dan senyap) – sebahagian membaca surat khabar, sebahagian sedang melamun, sebahagian berehat dengan mata tertutup. Ianya adalah satu pagi yang tenang dan tenteram suasananya.

Tiba-tiba, seorang lelaki dan anak-anaknya memasuki kawasan tersebut. Anak-anaknya sungguh bising serta nakal, justeru seluruh suanana di situ berubah.

Lelaki tersebut duduk di sebelah saya dan memejamkan matanya, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Anak-anaknya menjerit ke sana ke mari, membaling-baling sesuatu, sehinggakan ada yang menarik surat khabar orang. Ianya sangat mengganggu. Herannya, lelaki yang duduk di sebelah saya buat seolah-olah tidak tahu sahaja (tidak melakukan apa-apa untuk merubah kelakukan anak-anaknya).

Saya mula hilang sabar. Saya tidak percaya lelaki tersebut boleh buat tidak tahu sahaja. Beliau langsung tidak sensitif dengan suasana baru tersebut dan membiarkan anak-anaknya berlari liar serta tidak langsung mengambil tanggungjawabnya. Jelas kelihatan semua orang lain di tempat tersebut rasa terganggu. Akhirnya, dengan rasa tidak tertahan kesabaran, saya memalingkan muka kepada lelaki tersebut dan berkata, “Tuan, anak-anak tuan sangat menganggu ramai orang di sini. Saya hairan tuan tidak buat sesuatu untuk mengawal mereka”.

Lelaki tersebut membuka matanya, seolah-olah baru sedar tentang keadaan itu dan berkata dengan lembut, “Ya, ya anda betul. Saya sepatutnya buat sesuatu berkenaannya. Maafkan saya. Sebenarnya, kami baru pulang daripada hospital dan ibu mereka (ibu kepada anak-anaknya, iaitu isteri beliau) baru meninggal lebih kurang sejam yang tadi. Saya sebenarnya menjadi tidak keruan (tidak tahu hendak berfikir), dan saya agak mereka juga begitu”.

Bolehkah anda bayangkan apa yang saya rasa ketika itu? Paradigma saya berubah. Tiba-tiba saya melihat semuanya berbeza, oleh kerana saya melihat dengan cara berbeza, saya bertindak berbeza. Rasa sakit hati saya (sebelum ini) lenyap. Saya tidak perlu lagi bimbangkan bagaimana untuk mengawal sikap dan perangai saya. Hati saya telah dilimpahi dengan penderitaan lelaki tersebut. Rasa simpati dan belas-kesian telah mengalir dalam sanubari saya. “Isteri awak baru meninggal? Oh, maafkan saya! Boleh beritahu saya berkenaannya? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Semuanya berubah dalam sekelip mata sahaja.

Berinteraksi Dengan Hadis

Hadis adalah apa sahaja yang berkenaan atau berasal daripada Rasulullah saw. Ianya mungkin dalam bentuk ucapan atau sabdaan Nabi saw, perbuatan baginda atau taqrir (persetujuan atau sebaliknya). Istilah Hadis dan Sunnah telah digunakan secara bersilih-ganti kepada kebanyakan ulama.

Menurut Maulana Muhammad Asri bin Yusoff (dalam artikel beliau, “Kedudukan Hadis Sebagai Rujukan Kedua”), hadis juga merupakan wahyu yang diturunkan daripada Allah s.w.t. selain daripada Al-Quran. Bezanya ialah Al-Quran dalam istilah ulamak dinamakan “Al Wahyu Al Jali” dan Al Hadis ialah “Al Wahyu Al Khafi” atau Al Quran dinamakan dengan “Al Wahyu Mathlu” dan Al Hadits dinamakan “Al Wahyu Al Ghairu Al Mathli”. Hakikat ini dapat dilihat di dalam ayat-ayat berikut :
Firman Allah s.w.t. bermaksud : “Tidak kami tentukan kiblat yang dahulu kamu mengadapnya melainkan supaya kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikut Rasul dan siapa yang membelot”. (Al Baqarah:143)
Ketentuan supaya berkiblat kepada Baitulmaqdis tidak terdapat di dalam Al Quran. Jadi tentu sekali ketentuan itu sampai kepada Rasulullah s.a.w. melalui saluran yang lain dan itulah dia saluran “Wahyu Khafi” atau “Al Hadits”. Rujukan artikel beliau untuk penjelasan lanjut.

Umat Islam telah dilatih agar apabila dibaca dalil/nasihat al-Qur’an atau al-Hadis, mereka akan mendengar dengan penuh perhatian, seterusnya melaksanakan apa yang disebut oleh dalil tersebut. Ini adalah kerana mereka amat jelas bahawa ayat-ayat tersebut bukan sebarangan perkataan dan bukan buku-buku biasa. Ianya adalah Firman Allah taala atau Sabda Rasulullah saw, ianya bersumberkan wahyu. Perkataan-perkataan tersebut sarat dengan nilai-nilai kudus yang tidak tertanding oleh mana-mana teks lain di dunia fana ini, hatta dikumpulkan semua sekalipun. Justeru, interaksi mereka dengan nas al-Qur’an dan al-Hadis adalah dengan penuh penghayatan. Mereka amat sedar bahawa nasihat al-Qur’an dan al-Hadislah yang akan memberi kejayaan sebenar hidup di dunia dan di akhirat;

An-Nuur 51: Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat" dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.

Justeru itulah, para sahabat menerima apa sahaja yang disampaikan berkenaan sunnah Rasulullah saw tanpa banyak pertanyaan. Begitu banyak catatan sirah berkenaan dengan sikap benar sahabat dalam berinteraksi dengan sunnah atau hadis Rasulullah saw:
عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ جَاءَ إِلَى الْحَجَرِ الْأَسْوَدِ فَقَبَّلَهُ فَقَالَ إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ لَا تَضُرُّ وَلَا تَنْفَعُ وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
Berkenaan (Sayyidina) Umar ra, sesungguhnya beliau apabila tiba ke tempat batu hitam (Al-Hajaratul Aswad) lalu mengucupnya. Dan beliau berkata, sesungguhnya aku tahu bahawa engkau adalah seketul batu, tidak berfaedah dan tidak juga memudharatkan, dan kalaulah tidak aku melihat Baginda Rasulullah saw mengucupmu nescaya aku tidak mahu mengucupmu.

Justeru, untuk mendapat kebaikan yang banyak daripada sumber wahyu al-Qur’an dan al-Hadis, kita hendaklah menerimanya dengan penuh perhatian, tidak seperti membaca bahan-bahan bacaan ringan. Cubalah teliti apa yang hendak disampaikan dan berusaha setakat yang termampu untuk menunaikan apa yang disarankan oleh sumber maha berharga tersebut.


Belajar Ilmu Hadis

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Bagaimana Berinteraksi dengan al-Sunnah” menulis bahawa,
Al-Sunnah adalah tafsiran praktis bagi al-Qur’an juga sebagai perlaksanaan yang benar dan unggul bagi Islam. Sesiapa yang ingin mengetahui manhaj praktis Islam dengan ciri-ciri dan rukun-rukunnya, hendaklah ia mengetahui secara detail penjelmaannya dalam al-Sunnah al-Nabawiyyah sama ada melalui Sunnah Qawliyyah (perkataan-perkataan Rasulullah saw), ‘Amaliyyah (perbuatan) dan Taqririyyah (pengakuan).

Justeru, umat Islam perlu mempelajari ilmu hadis untuk mendapat kebaikan maksimum hidup beragama. Ilmu hadis adalah merujuk kepada ilmu yang digunapakai untuk mengetahui dan menilai kedudukan serta martabat sesebuah hadis melalui ilmu riwayah dan dirayah-nya. Ilmu hadis riwayat merangkumi rangkaian perawi, penjagaan lafaz, pemindahan dan pengambilan hadis yang sahih dan terjaga. Ilmu hadis dirayah membincangkan kedudukan hadis dari segi matan; sama ada dari segi ‘ila (kecacatan), pertentangan/pencanggahan dan sebagainya.

Mempelajari ilmu hadis akan memberi banyak kebaikan, apatah lagi mendalaminya. Kekeliruan masyarakat, fitnah (saling menyalahkan - sehingga memecah-belahkan perpaduan), terheret dengan amalan-amalan bid'ah (ulama-ulama dahulu memberi keutamaan yang tinggi kepada permasalahan ini), terpesong daripada maksud asal ajaran, menambah keyakinan beramal, kurang bertaklid, dan banyak lagi kebaikan-kebaikan yang boleh diperolehi daripadanya.

فَإِنّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفاً كَثِيراً، فَعَلَيْكُم بِسُنّتِي وَسُنّةِ الْخُلَفَاء الرّاشِدِينَ المَهْدِيّينَ تَمَسّكُوا بِهَا، وَعَضّوا عَلَيْهَا بِالنّوَاجِذِ، وَإِيّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأمُورِ، فَإِنّ كُلّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكلّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.
رواه أبو داود والترمذي وابن ماجه وابن حبان في صحيحه وقال الترمذي حديث حسن صحيح.
"Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat”.

Malangnya, ramai juga yang mengabaikan hadis secara sedar ataupun tidak. Malah, kelompok yang ekstrim telah membentuk fahaman mahupun gerakan anti-hadis. Mungkin kerana mereka merasakan terlalu banyak hadis yang tidak logik, bercanggah antara satu sama lain atau sebagainya. Sebaliknya orang Islam yang sejati tetap menganggap hadis sebagai sumber yang tidak boleh ditolak sama sekali. Itulah salah satu sebab ummah Nabi Muhammad s.a.w itu dinamakan ahlus sunnah wal jamaah.

Menurut Maulana Muhammad Asri Yusuff, “Walaupun dalam praktiknya Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengutamakan dan mendahulukan Al-Quran daripada Al-Hadith atau As Sunnah namun mereka tidak dinamakan Ahlul Quran atau Ahlul Kitab. Ini adalah kerana Al-Quran atau Al-Kitab itu didakwa oleh semua golongan yang mengaku Islam sebagai ikutan dan panduan serta pegangan mereka tetapi sikap mereka tentang As Sunnah adalah tidak sama. Mereka mempertikaikannya dan menolaknya sedangkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah selain dari berpegang teguh dengan Al-Quran, mereka juga berpegang dengan As Sunnah dengan memeliharanya sebaik-baiknya dan mempertahankannya. Kerana ciri inilah Ahlus Sunnah ini dinamakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.” (Pengajian al-Hadis dan Tuntutan Masakini).

Dalam pada itu, kita perlu mempertingkatkan kedalaman ilmu hadis untuk meletakkan hadis pada kedudukan yang tepat. Terdapat berjuta kalimah yang dikatakan hadis; sebahagian besarnya telah dikaji oleh ulama-ulama hadis dan mereka telah mengkelas dan menyusunnya dalam bentuk yang tersusun dan telah mendokumentasikannya dengan kemas. Justeru, kita sekarang ini boleh mengenalpasti dengan mudah, mana satu hadis yang Sahih dan Hasan (perlu@boleh diterima), Dhoif (hadis lemah - tetapi boleh digunakan untuk buat amalan namun tidak boleh untuk dijadikan hujah atau hukum) dan hadis Maudhuk (hadis palsu - tidak boleh diterima sama sekali).

Antara motivasi besar Imam Bukhari menyusun jamik as-sahih-nya adalah apabila beliau bermimpi berjumpa dengan Rasulullah saw. Dalam mimpinya beliau melihat lalat-lalat berterbangan berhampiran dengan Rasulullah s.a.w, lalu beliau menghalaunya. Apabila beliau menceritakan mimpinya kepada guru-gurunya, mereka memaklumkan kepada Imam Bukhari bahawa beliau akan melakukan satu usaha besar untuk menyisih dan membuang hadis-hadis yang tidak betul daripada ‘hadis-hadis’ yang dikatakan hadis Rasulullah saw.

Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyarankan agar umat Islam lebih memperdalamkan ilmu as-Sunnah, untuk mengelakkan ekstrim dalam agama lebih menjadi-jadi. Biasanya satu-satu ekstrim muncul bila adanya satu ekstrim yang berlawanan. Contohnya, bila hadis-hadis tertentu tidak difahami oleh kita dalam konteks yang betul, ianya boleh menyebabkan kepercayaan sebahagian puak kepada al-hadis longgar, malah mungkin menolak hadis-hadis yang sahih.


Hadis Satu Ilmu Yang Ajaib

Ulama-ulama hadis telah berjihad dan membuat pengorbanan yang besar untuk memelihara ilmu hadis dalam bentuk yang agak ajaib. Dari satu peringkat kepada peringkat seterusnya ianya dijaga dengan penuh ketelitian dan menghasilkan satu sistem penjagaan ilmu yang mengkagumkan ramai orang, sehingga kita boleh yakin dengan ilmu tersebut.
Kajian terhadap isnad membuat ulamak Islam yakin tentang perkara ini. Mereka bukan sahaja menyelidik nama-nama perawi dan latar belakangnya untuk mengetahui zaman mereka hidup, keadaan perekonomian dan persekitaran hidup mereka selain daripada perhubungan mereka dengan tokoh-tokoh yang lain. Bahkan mereka juga memastikan kualiti seseorang tokoh hadith itu dengan menguji kebenaran dan kedustaannya di samping ketelitian dan amanah mereka di dalam menukilkan matan-matan untuk dihukum siapakah diantara perawi-perawi itu yang boleh dipercayai riwayatnya.”
(Maulana Muhammad Asri, ”Pengajian Ilmu Hadis dan Tuntutan Masakini”).

Ianya telah didokumen, diisih, ditapis oleh ulama-ulama yang sangat baik akhlak, luar-biasa ingatannya, sangat tinggi displin dan sangat besar pengorbanannya. Bukan itu sahaja, ianya telah dilengkapkan dengan dokumentasi lengkap ilmu rijalu hadis[1], al-jarh wa ta’dil[2], asbabul wurud, nasikh wa mansuh dan pelbagai lagi, sehinggakan tidak ada kemungkinan untuk berlaku penyelewengan. Sehingga tiada sebab untuk kita tidak mempercayainya.

Hadits-hadits telah sampai kepada kita melalui perawi-perawi yang diketahui sebagai orang-orang yang benar dan dipercayai. Adakah kita akan teragak-agak untuk menerimanya, padahal sejarah yang langsung tidak mempunyai sanad boleh pula diterima oleh mereka, bahkan mereka memberikan ruangan yang istimewa kepada sejarah itu dengan mengadakan jabatan yang khusus mengenainya.

Sejarah-sejarah yang ada ini walau bagaimana pun tinggi kedudukannya tidak dapat menyamai selemah-lemah hadits kerana sejarah langsung tidak mempunyai sandaran yang hidup sedangkan hadits pula mempunyai sandaran dan saksi yang hidup
.” – Maulana Muhammad Asri Yusuff, ”Kedudukan al-Hadis Sebagai Sumber Rujukan Kedua Dalam Islam”.

Sangat benar kenyataan di atas; para sahabat, tabi’i dan alim-ulama di sepanjang zaman telah memelihara ilmu ini dengan penuh ketelitian dan menggunakan piawaian pemeliharaan yang sangat tinggi. Mereka sedar bahawa ilmu ini (hadis@sunnah) adalah ilmu wahyu yang perlu dipelihara keaslian dan kemurniannya. Pengorbanan yang mereka lakukan sangat luar biasa, menyebabkan ianya dapat terpelihara sebagaimana asalnya.

Alim ulama di sepanjang lipatan sejarah telah memperlihatkan sikap bijaksana dan memandang ke hadapan. Mereka telah membaca isyarat yang jelas tentang perlunya memelihara keautentikan hadis untuk generasi seterusnya apabila membaca nas-nas seperti di bawah (masih banyak nas yang seumpamanya);

Al-Hasyr 7: dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

[1] Ilmu yang membahaskan tentang sejarah hidup perawi-perawi hadis; tempat lahir, tarikh lahir, kematian, guru-guru, aliran mazhab yang diikuti, negeri yang pernah dikunjungi dan didiami serta lainnya. Ianya juga berkaitan dengan kedhabitan atau keadilan perawi, mahupun penyebab kecacatan serta keadilan perawi.
[2] Antara ilmu yang sangat penting dalam ilmu hadis. Ilmu yang membicarakan tentang kecacatan dan keadilan seseorang perawi dengan menggunakan kaedah-kaedah tertentu. Selanjutnya ia membawa kepada penolakan dan penerimaan sesebuah riwayat yang mereka bawa.