Tuesday, January 23, 2007

Mempertahankan keotoritian keilmuan Islam

Pada awal bulan Jun 2006, dalam muzakarah ulama-ulama di Ipoh, Mufti Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Harussani Zakaria menyatakan kebimbangan para ulama terhadap fahaman pluralisma dan liberalisma yang mula menular di Malaysia. Fahaman pluralisma ini lebih menjurus kepada kepercayaan bahawa semua agama sama dan semuanya mengajak kepada kebenaran. Menurut fahaman ini, tidak boleh mengatakan Islam lebih tinggi daripada agama lain, malah sesetengahnya mengatakan bahawa apa sahaja agama yang dianuti akan membawa masuk syurga (tidak Islam sahaja). Dengan fahaman yang sedemikian mereka merasakan inilah formula terbaik kepada perpaduan masyarakat. Fahaman liberalisme pula mengutamakan logik dan akal dalam menentukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama. Mereka dengan mudah mengatakan sesuatu hukum dalam agama ada tujuan, selagi kita tidak terkeluar dari tujuan tersebut, walaupun nas yang qat’i telah ada atau ulama telah ijmak, ianya masih boleh diubah dengan wewenangnya.

Menurut muzakarah tersebut, fahaman ini sebenarnya mempunyai pola yang sama dengan apa yang berlaku di Indonesia 30 tahun yang lalu. Di akhir muzakarah tersebut, satu resolusi telah dikeluarkan agar semua negeri menubuhkan jawatankuasa ad hoc untuk memerangi pemikiran ini. Semua ini mengambarkan betapa membahayanya pemikiran ini kepada fikrah ummah yang perlu diperangi sebelum ianya menjadi tidak terkawal.

Sebagaimana yang kita dimaklumi, pada sebahagian besar tempat di Indonesia, gejala pemikiran liberal telah berakar dengan kemas, ianya telah meracuni segala asas-asas keotoritian pemikiran syariat Islamiyyah. Di Indonesia, bila MUI (Majlis Ulama seIndonesia) menfatwakan Islam Liberal dan kewenangan kahwin campur adalah haram. Sebahagian daripada ummatnya menolak dan mengatakan fatwa itu langkah terkebelakang. Kononnya selama ini rakyat Indonesia telah hidup aman damai dalam suasana semua agama sama dan boleh tinggal serumah tanpa mempunyai batasan jelas. Malah tentangan itu juga mendapat sokongan NU (Nahdatul Ulama) yang mana keahliannya menjejah 40 juta orang, dan juga pertubuhan-pertubuhan lain. Akhirnya, sebahagian memutuskan fatwa itu hanyalah pendapat MUI sahaja dan mereka (yang membantah) boleh mempunyai pendapat yang berbeza.

Bila sebahagian rakyat membantah penerbitan majalah Playboy, bekas Presiden Indonesia Abdul Rahman Wahid, pengerusi NU mengatakan bahawa tidak perlu dibesar-besarkan isu porno Playboy. Menurutnya, al-Qur’an sendiri mempunyai bahan-bahan porno (kerana ada ayat-ayat yang menyebutkan hubungan lelaki-perempuan). Begitulah juga dengan berbagai kecelaruan lain, yang nas qat’i sudah jelas, mereka mempersoalkan pembahagian harta pusaka (dua bahagian untuk lelaki dan satu bahagian untuk perempuan), mereka mengkritik hebat poligami, mereka menyarankan boleh sembahyang dwi-bahasa dan berbagai lagi.

Semua itu menggambarkan bahawa bila keadaan sudah berlaku seperti itu, ianya sukar untuk diperbetulkan semula. Justeru, asas-asas pemikiran dan keotoritian keilmuan Islam mesti dipertahankan. Rujukan-rujukan kepada nas yang muktabar, perlulah dijadikan satu kemestian tanpa perlu melakukan tafsiran yang jauh daripada nas asal. Bukankah panduan kepada kecelaruan ini sudah jelas;

فَإِنّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفاً كَثِيراً، فَعَلَيْكُم بِسُنّتِي وَسُنّةِ الْخُلَفَاء الرّاشِدِينَ المَهْدِيّينَ تَمَسّكُوا بِهَا، وَعَضّوا عَلَيْهَا بِالنّوَاجِذِ، وَإِيّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأمُورِ، فَإِنّ كُلّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكلّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَة.ٌ
"Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat”. Al-hadis oleh Abu Daud, al-Tirmizi (hadis hasan sahih), Ibn Majah, al-Darimi, Ibn Hibban, al-Hakim (hadis sahih), dan al_Imam al-Zahabi.

إنما هما اثنتان. الكلام الهدى. فاحسن الكلام كلام اللّه. وأحسن الهَدْيِ هَدْيُ مًحَمَّد. ألا وإيَاكُم ومحَدّثَات الأمور. فان شر الأمور محَدّثَاتها. وكل محَدّثَة بدعة. وكل بدعة ضلالة.
“sesungguhnya tiada lain melainkan dua perkara sahaja, iaitu firman Allah dan petunjuk. Sebaik-baik firman ialah firman Allah dan sebagus-bagus petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Ketahuilah dn jauhilah perkara-perkara baru yang diada-adakan kerana sejelek-jelek perkara itu ialah perkara-perkara yang baru diada-adakan, dan semua perkara baru yang diada-adakan adalah Bid’ah dan semua bid’ah adalah sesat” – Al-Hadis Ibnu Majah.


Walaupun nampak macam baru bermula, kita tidak boleh sekali-kali rasa selesa dengan perkembangan itu. Sesungguhnya melihat pola dan gerakan yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan ini, dijangka ianya akan berjaya dalam kadar uang cepat, jika tidak ditangani dengan sistematik dan berkesan. Mereka telah mendapat tempat yang selesa dalam media-media arus perdana. Mereka dapat menyebarkan pemikiran secara mingguan dan bulanan dengan selesa, tanpa bantahan yang berkesan daripada kalangan pencinta agama yang asli.

Mereka telah hantar memorandum kepada parlimen agar dimansuhkan semua undang-undang berkaitan moral hanya atas nama menjaga kebebasan hak asasi manusia. Mereka juga mendapat sokongan sebahagian ahli parlimen. Mereka pernah mendesak agar mufti-mufti dan majlis-majlis fatwa ini tidak diberikan ‘imuniti’, dalam erti kata lain sesiapa sahaja di Malaysia ini tanpa mengira bangsa dan agama boleh mencabar keputusan yang dibuat oleh mufti-mufti dan majlis-majlis fatwa.

No comments: