Tuesday, January 23, 2007

MEMAHAMI KRISIS DI SOMALIA

[1] Somalia adalah salah satu negara di Afrika yang mempunyai 10 juta penduduk di mana hampir 100% daripadanya adalah penganut Islam. Negara ini mengalami kekacauan berdekad-dekad, dengan pergaduhan suku yang dasyat dan ‘tiada undang-undang’. Rompakan, kekacauan, pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya berlaku dengan lumrah. Pada pertengahan tahun 2006, kumpulan yang menamakan Kesatuan Mahkamah Islam Somalia (KMIS) telah dapat menguasai sebahagian Somalia. Dalam masa hanya 2-3 bulan, kumpulan ini telah memberi banyak sinar baru kepada rakyat Somalia. Sistem kebajikan mula berjalan, senjata orang awam berkurangan, tabiat mengunyah sejenis makanan berdadah mula diharamkan, program-program dan syiar-syiar keagamaan meningkat, rakyat mula dapat merasa keamanan, pelabur mula masuk dan sebagainya. Malangnya, ianya mampu bertahan selamat 6 bulan sahaja. Sekarang, tentera dan pemerintahan Somalia tajaan barat bersama dengan musuh tradisinya Ethiopia dan Amerika telah mengebom, membunuh dan memburu semua ahli dan penyokong KMIS, dan hampir pasti mengembalikan semula Somalia ke kancah kucar-kacir dan perang suku yang tidak berkesudahan.


Latar belakang

Pada tahun 1969, Presiden Somalia telah dibunuh. Pemerintahan telah diambil-alih oleh pihak tentera. Mohammed Siad Barre telah dilantik menjadi Presiden. Pada 1991, pemerintah Somalia telah digulingkan oleh suku-suku di Somalia. Antara ketua suku yang berpengaruh pada masa tersebut adalah Mohammed Farah Aideed and Ali Mahdi Mohammed. Semenjak itu, Somalia tidak ada Presiden dan telah berada di bawah penguasaan suku yang tidak henti-henti bergaduh dan menimbulkan banyak kekacauan atau malapetaka di bumi Somalia. Amerika cuba ‘menyelesaikan’ masalah tersebut pada tahun 1992 dan berakhir dengan pengunduran (termasuk kekalahan moral dalam peristiwa Black Hawk Down, di mana 18 tenteranya terkorban dan lebih 70 cedera).

Dunia cuba ‘menyelesaikan’ kekacauan dalaman tersebut, khususnya melalui Amerika, PBB, Kesatuan Eropah dan sedikit-sebanyak melalui OIC serta negara-negara Arab. Pada 2004, setelah banyak kali mencuba, akhirnya ‘dunia antarabangsa’ telah melantik Presiden baru, Abdullahi Yusuf. Beliau dikatakan mempunyai dokongan baik daripada Amerika Syarikat dan pro-Ethiopia. Ethiopia adalah jiran Somalia yang sebahagian besar penduduknya beragama Kristian dan tidak sehaluan dengan Somalia. Walaupun Abdullah Yusuf memberi kedudukan kepada sebahagian ketua suku, hubungan mereka sentiasa saling tidak mempercayai. Hubungan Abdullah Yusuf dengan Ethiopia tidak disenangi oleh rakyat. Beliau tidak pernah rasa aman dan selamat berada di Somalia, akhirnya pada kebanyakkan masa beliau berada di luar Somalia dan ini menjadikan suasana makin tidak terkawal. Pada Jun 2006, KMIS telah menyerang dan mengambilalih Mogadishu daripada Presiden @ kerajaan tajaan barat. Pihak kerajaan interim telah berpindah ke bandar Biodia, berhampiran dengan Ethiopia.


Apakah Kesatuan Mahkamah Islam Somalia?

Semasa berada dalam keadaan kucar-kacir dan ‘tiada undang-undang’, para peniaga tempatan telah menubuhkan mahkamah-mahkamah setempat untuk menangkap dan menghukum orang-orang yang menganggu perniagaan, seperti mencuri, melanggar kontrak dan sebagainya. Beberapa mahkamah setempat ini telah bersatu dan menubuhkan Kesatuan Mahkamah Islam Somalia. Mereka mempunyai pelbagai unit yang terdiri daripada unit kebajikan, penguasaan dan ketenteraan. Akhirnya unit tentera telah mempunyai kekuatan untuk menyerang dan merampas Mogadishu. Mereka telah membentuk ode baru di bumi Somalia yang secara relatifnya ode bumi Somalia yang aman. KMIS telah diketuai Sheikh Sharif Ahmed oleh dan dibantu oleh Sheikh Abdul-Qader Ali Omar.

Seterusnya mereka menguasai beberapa bandar lain khususnya di sebelah Selatan. Mereka mula membuka lapangan terbang dan pelabuhan-pelabuhan. Dengan motto “Mari Kita Bina Somalia Bersama-sama”, pelabur-pelabur mula datang. Antaranya dari India, kuwait dan lain-lain. Biasanya penerbangan-penerbangan daripada Kenya dan Dubai penuh dengan potensi-potensi pelabur dan pelarian-pelarian yang ingin pulang ke Somalia. Ada yang terpaksa tempah berhari-hari untuk mendapatkan tiket penerbangan kerana muatan biasanya padat dengan penumpang.

Keamanan yang jarang dikecapi mula dirasai oleh rakyat Somalia. Pembunuhan orang awam dan rompakan yang berleluasa mula berkurang. Kedai-kedai jual narkotik dihapuskan. Kereta-kereta mula kelihatan banyak, perniagaan semakin subur, road-block (‘pemungut tol haram’) sudah ditiadakan, perjalanan semakin aman (sudah tidak perlu ditemani ‘gangster’), harga barang menurun dengan mendadak (akibat kurangnya ‘pampasan’ kepada pelbagai orang tengah).

Penganut-penganut Islam merasa aman untuk ke masjid-masjid. Wanita-wanita juga sudah boleh keluar dengan selesa. Pada Ramadhan yang lalu, buat pertama kali selepas 16 tahun, mereka dapat sembahyang tarawikh tanpa diancam rompakan. Banner yang mengucapkan selamat datang bulan Ramadhan dan ucapan-ucapan untuk tidak mensia-siakan bulan mulia itu semakin banyak kelihatan. Projek-projek kebajikan untuk berbuka puasa dan bersahur semakin aktif. Projek-projek kebajikan lain juga semakin banyak, seperti membantu mangsa banjir dan sebagainya.

Usaha untuk berbincang dengan kerajaan interim juga cuba dijalankan tetapi berakhir dengan kebuntuan!


Berakhirnya Sinar Keamanan

Setelah diusir oleh KMIS pada Jun 2006, pemerintahan interim dokongan US telah berada di bandar Biadoa. Mereka berhubungan baik dengan kerajaan Ethiopia. Ethiopia dikatakan telah menghantar ribuan tentera ke dalam Somalia, tetapi dinafikan oleh kerajaan Ethiopia dan dikatakan hanya menjalankan latihan ketenteraan dengan kerajaan interim. Ethiopia mempunyai kekuatan ketenteraan yang jauh lebih baik daripada Somalia dan mendapat dokongan US dengan baik.

Erithia adalah jiran kepada Ethiopia yang dikatakan saling bermusuhan. Erithia telah dikatakan mendokong Somalia (khusus KMIS) dan ini menjadikan permusuhan antara Somalia dan Ethiopia semakin tinggi.

Pada 1998 berlaku serangan di kedutaan Amerika di Tanzania dan Kenya. Penyerang dikatakan bersembunyi di Somalia. Begitu juga pada tahun 2002, serangan dilaukan pada sebuah hotel dan penerbangan milik Israel di Kenya. Justeru, Amerika dan Israel telah menuduh Somalia menjadi sarang pengganas. Kesempatan ini juga telah diambil leh beberapa negara, khususnya Amerika dan Ethiopia untuk menggunakan frasa peperangan anti pengganas untuk memungkinkan mereka menyerang Somalia.

KMIS juga sedikit sebanyak mempunyai masalah dalam; sebahagiannya menggunakan pendekatan yang agak keras dan sebahagian mengambil pendekatan yang sederhana; ada yang sukakan konfrontasi dan ada yang sukakan pendekatan berbincang. Ada penganalisis yang menyebutkan kekehadapanan tren jihad sebahagian ahli KMIS adalah salah satu punca kepada tragedi ini, dalam keadaan mereka belum cukup kesediaan untuk mempertahankan bumi Somalia. Berlaku cabaran (@ancaman) agar tentera Ethiopia meninggalkan bumi Somalia pada akhir 2006. Sebaliknya Ethiophia telah menambah bilangan tenteranya dan berakhir dengan mereka menyerang tentera KMIS dan berjaya mengusir dari bandar-bandar yang ditakluki KMIS. Ada laporan mengatakan bahawa suku-suku tertentu yang bersama dalam kesatuan telah meninggalkan (sila baca ‘melarikan’) medan perang, malah ada melaporkan mereka telah disogok dengan wang. Kumpulan yang sederhana lebih sukakan pendekatan ‘berbaik’ dengan kerajaan interim. Rundingan awal di Khartom hampir berjaya (usaha OIC dan negara-negara teluk). Namun, terdapat maklumat bocor yang menyatakan kerajaan interim sedang membuat perbincangan dengan beberapa syarikat berasaskan ketenteraan di US telah menyebabkan rancangan ini tidak berjaya.

Amerika juga telah menggunakan kesempatan ini untuk menghantar kapalterbang tempur dan mengebom tempat-tempat strategik dan persembunyian KMIS. Mereka telah menghantar kapal-kapal perang untuk meronda perairan untuk mengelakkan ahli KMIS lari melalui jalan laut. Tentera Kenya dan Ethiopia pula menjaga di sempadan negara mereka menyebabkan tiada lagi jalan keluar dan masuk. Tentera Ethiopia juga telah mengebom lapangan terbang Mogadishu. US pula menggunakan satelit pengintip dan kapalterbang tidak berpemandu kononnya untuk menjejaki semua ahli KMIS yang ada kaitan dengan al-Qaeda. Malah, maklumat perisik ketenteraan ini (khususnya pergerakan KMIS dan lokasi-lokasi strategik) dikatakan telah diberi kepada tentera Ethiopia dari semasa ke semasa, sebelum perang bermula lagi.


Masa Depan Somalia

Tentera kerajaan Interim hanya dalam ribuan orang sahaja. Kebanyakan dikatakan tidak fit untuk berperang dalam tempoh yang panjang. Tentera KMIS kurang sedikit daripada jumlah tersebut. Kebanyakan rakyat Somalia, termasuk suku-suku yang berkuasa di daerah-daerah tertentu tidak menyenangi Ethiopia dan Amerika. Sokongan yang diberi oleh kerajaan Interim kepada kedua-dua negara tersebut menjadikan mereka hilang sokongan setempat dan tidak mampu untuk memerintah Somalia tanpa dokongan kuat dari luar.

Tentera Ethiopia dan Amerika dijangka tidak akan berada lama di bumi Somalia. Kebencian penduduk setempat kepada mereka menjadikan bumi Somalia tidak aman dan selamat untuk mereka ‘jajahi’. Semua ini akan menjadikan bumi Somalia kembali tidak stabil, beranarki dan mengundang pergaduhan suku berulang.

Sebahagian penganalisa juga bimbang krisis ini boleh mengugat kestabilan rantau tersebut. Permusuhan antara Erithia dan Ethiopia akan meningkat akibat saling membantu dua puak yang bertentangan di Somalia. Peranan yang dimainkan Kenya untuk menghalang KMIS lari dari bumi Somalia akan menjadikan permusuhan mereka ke Kenya.

Walaupun tentera KMIS ‘mengalah’ dengan cepat tetapi kebanyakan mengatakan itu penukaran taktikal dan strategi perang. Menyedari kekuatan musuh yang tinggi dan berbekal semangat jihad dan pengalaman perang yang lama, sebelum meninggalkan Mogadishu, mereka membuat pengumuman bahawa mereka tidak ingin berperang di tempat awam yang akan menyebabkan ramai kanak-kanak, wanita dan orang awam yang akan terbunuh.

Para penganalisis sangat membimbangi akan nasib bumi Somalia akan menjadi seperti Afghanistan dan Iraq. Tentera KMIS akan berperang secara gerila, mereka akan sukar dihapuskan, dicari dan mereka mungkin berada di mana-mana. Sebahagian dikatakan telah menukar kepada pakaian dan kehidupan orang awam, sebahagian kembali ke kubu-kubu tersembunyi dan mereka boleh bertindak-balas pada bila-bila masa sahaja.

Rata-rata penganalisis mengatakan Amerika menggunakan strategi yang salah lagi kali ini. Sekarang ramai penganalisis meramalkan sukarnya untuk menyelesaikan krisis ini secara aman. Mereka meramalkan Somalia akan menjadi seperti Afghanistan atau Iraq, atau sekurang-kurangnya Somalia lama yang penuh dengan kekacauan dan ketiadaan undang-undang.

Rata-rata penganalisis merasakan (untuk penyelesaian pasca perang) perlunya kehadiran pasukan pengaman yang kuat. Malangnya, usaha-usaha mengwujudkan pasukan pengaman adalah daripada barat. Antara cadangan yang paling mungkin adalah pengaman-pengaman daripada Kesatuan Afrika, yang sebelum ini ditolak oleh KMIS. Masalah besar kepada penghantaran pasukan pengaman ini adalah pembiayaannya yang memerlukan jumlah yang sangat besar.

Presiden kerajaan interim somalia, Abdullahi Yusuf telah menyatakan bahawa sebarang usaha untuk berbincang dengan KMIS sudah tertutup.

Penutup

Kedudukannya yang strategik di Afrika dan dengan timur tengah, menjadikan ianya lokasi yang diidamkan oleh Amerika untuk memperluaskan kekuasaannya. Kestabilannya akan menyukarkan Amerika untuk mendapat lokasi strategik itu. Pemikiran clash of civilization barat juga menjadikan mereka mencemburui sinar kebangkitan Islam dan terlalu menjaga kepentingan kristian. Ketika rencana ini disediakan Amerika terus menjatuhkan Bom di bumi Somalia. Timbalan Presidennya (kerajaan interim) mengajak US untuk meletakkan tentera darat di sana kononnya untuk terus memburu dan menangkap (sila baca ‘membunuh’) saki baki al-Qaeda di Somalia. (ramai juga merasakan bahawa AS ingin membalas dendam kekalahan memalukan dalam ‘Black Hawk Down’)

Walaupun penduduk Somalia bersuku-suku, namun mereka nampak boleh bersatu dengan menggunakan pendekatan yang Islamik. Jika lebih tempoh masa diberi kepada KMIS, dan proses tarbiyyah boleh berjalan dengan baik nescaya Somalia akan menjadi negara yang aman damai dan menjadi model yang baik. Namun, tanpa banyak alasan logik dan dunia mula menyaksikan pendekatan Islamik KMIS berkesan, mereka telah merosakkannya, yang entah bila akan pulih… Semoga Allah membantu pejuang-pejuang Islam yang ikhlas di sana dan memberi keamanan kepada bumi Somalia.

Disusun oleh:
Ahmad Suki Che Mohamed Arif
9hb. Januari 2006
[1] Kebanyakan sumber diambil daripada IslamOnline dan BBC.

No comments: