Tuesday, January 23, 2007

Apakah Kayu Ukuran Kita?

Orang-orang A'raab berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam '. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). (ِAl-Hujuraat: 14-15).


Ayat 14 dan 15 surah al-Hujuraat, mengambar seseorang di kalangan arab badwi (untuk menambah kesan pembacaan tersebut, eloklah dirasakan ayat tersebut berbicara tentang kita) yang mengatakan dirinya telah beriman. Namun, Allah dengan tegas menyuruh Rasulullah s.a.w memberitahu si arab badwi tersebut, jangan kata beriman terlebih dahulu, katalah dahulu Islam (kerana keimanan mempunyai ukuran-ukuran tertentu). Seterusnya ayat 15 menyatakan syarat-syarat tersebut;
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Begitulah kalau kita cuba memerhatikan ayat-ayat lain tentang keimanan. Semuanya mempunyai kayu ukur atau arasnya tersendiri. Semaklah pada surah al-Mukminuun ayat 1-10, surah al-Anfal ayat 2-4, dan semua ayat-ayat yang seumpamanya.

Tujuan saya membawa isu ini, kerana ternampak dampak kekeliruan pemikiran di dalam masyarakat hari ini, tidak terkecuali pada diri kita. Kita mula menilai sesuatu serta berkelakuan menurut ukuran masyarakat, menggunakan cerminan sosial (social mirror) dan cerminan rasa dalam diri. Akibatnya, timbul sikap-sikap seperti tidak apalah kita buat sedikit-sedikit untuk mengatasi masalah parah sosial hari ini, kerana hidup pada hari ini terlalu sibuk. Tidak apalah kita bertaqqarub 5-10 minit setiap hari dengan Allah, manalah kita ada masa untuk lebih daripada itu. Apakah kayu ukur yang kita gunakan itu (untuk ketetapan sedemikian)? Bukankah kita telah menggunakan cermin sosial? Kemana perginya panduan agung kita, kitab Ilahi?

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)". Yunus: 57-58.

Bukankah Sayyidina Ali r.a pernah mengingatkan kita,
عن علي بن أبي طالب قال: لاَ خَيْرَ فِي عِبَادَةٍ لاَ فِقْهَ فِيهَا، وَلاَ فِي قِرَاءَةِ لاَ تَدَبُّرَ فِيهَا، وَلاَ فِي عِلْمٍ لاَ تَفَهُّمْ.
Sayyidina Ali (r.a) berkata, “tidak ada kebaikan dalam ibadat tanpa feqh padanya, dan tidak dalam pembacaan tanpa ‘memerhatikan kandungannya’ (tadabbur), dan tidak dalam ilmu tanpa memahaminya”.

Justeru, marilah kita semua bermuhasabah, meneliti adakah kita menggunakan kayu ukur yang betul dalam menilai apa sahaja tindak-tanduk dan rasa kita. Marilah kita mendaulatkan nas al-Qur’an dan al-Hadis agar petunjuk Nabawi ini benr-benar membimbing kita.

No comments: