Kuala Lumpur, 26.1.1991
Petang semalam, aku melawat rumah kawan di Kampung Baru. Sejak aku buat Master, amat jarang aku ke sana. Kebetulan mereka asyik tengok drama Mandarin jam 6 petang. Jadi akupun tumpang sekaki.
Drama tersebut mengisahkan seorang perempuan yang menghadapai masalah suami sering pulang lewat (dengan alasan mesyuarat, projek baru, makan malam syarikat). Suaminya, dulunya adalah seorang yang penyayang. Suatu hari, entah macamana beliau melihat suaminya bercumbuan dengan perempuan lain. Apa perasaan anda jika terlihat suami anda sedemikian (sedangkan anda amat menyayangi suami anda)? Apa tindakan anda jika anda sendiri melihat perbuatan sedemikian? Dan apa anda teka si perempuan tersebut akan lakukan?
Dalam rasa sedih dan memilukan perempuan tersebut mengguling-gulingkan badanya di atas katil, menangis-nangis - melayan rasa pilunya terhadap suami sedangkan beliau begitu setia pada suami - beliau begitu penyayang dan pelayan kepada suaminya - tetapi suaminya tetap menduakannya. Kenapa?
Apabila suaminya pulang dari kerja, beliau buat seperti biasa, melayan, menyediakan makanan dan sebagainya. Kenapa beliau tidak memarahi/mengherdik suaminya? Rupa-rupanya beliau cuba mencari silapnya terlebih dahulu. Bimbang layanannya selama ini tidak mencukupi, bimbang selama ini dia menjemukan dan beliau cuba mencari ruang untuk membaiki diri.
...tapi suaminya tidak membalas segala keikhlasan, kesetiaan, kesayangan, dan kepelayanannya. Malah suaminya seolah-olah menuduh beliau - seolah-olah cuba mencari kesalahan beliau.
Apabila aku 'tenggelam' dalam cerita tersebut, aku dapat merasai kepedihan dan keperitan perempuan tadi - aku dapat merasai betapa kecewanya perempuan tadi. ...ia... cerita tadi telah meluaskan rasa, meneroka perasaan dari sudut keperempuanan. Dengan cerita tersebut aku boleh berada di kacamata perempuan. "Cerita boleh menghaluskan rasa".
Apa yang aku hendak 'highlight' di sini ialah mengenai penyuburan penghalusan rasa. Caranya mungkin banyak dan apa-apa sekalipun adalah sesuatu yang bermanfaat untuk kita mengutip segala pelajaran dan pengajaran daripada apa yang kita lihat atau apa-apa yang berlaku di hadapan kita.
Dalam kes menyuburkan kehalusan rasa, kita boleh dapati daripada sajak, pembacaan novel, catatan-catatan hidup atau kita sendiri berada dalam situasi-situasi 'rasa'. Contohnya kita cuba hidup susah (sebagai satu pengalaman) dan sebagainya.
'RASA' itu amat tinggi nilainya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment