Dalam kehidupan kita ini, sudah pasti ada benda-benda terpenting yang lebih penting daripada yang penting-penting. Benda-benda terpenting ini akan memberi kesan kebaikan berganda jika difahami/dihayati atau diamalkan dengan betul. Malangnya, apabila dihadapi dengan banyak benda penting kita terperangkap dengan rasa ‘telah melakukan @ melaksanakan’, tetapi pada masa yang sama kerap juga dihantui dengan rasa ‘tidak sempurna @ banyak yang tidak kena’. Dengan itu, marilah meneliti beberapa aspek yang dibentangkan di bawah, seterusnya menentukan samada kita telah memberikan hak yang sepatutnya kepada aspek-aspek yang sebenar-benarnya terpenting dalam kehidupan kita (ianya masih dalam bentuk pandangan pembicara, tidak konklusif dan tidak dalam urutan yang sempurna).
Sesungguhnya kita semakin sibuk kebelakangan ini, terdapat begitu banyak tuntutan yang hendak kita sempurnakan, khususnya tuntutan untuk memastikan anak-isteri kita mendapat kehidupan yang selesa dan sempurna. Pada masa yang sama, fitnah sedang menggasak agama kita (kes kecelaruan agama, kebejatan sosial, hidup nafsu-nafsi, murtad, dan banyak lagi). Pekerja-pekerja agama semakin berkurang (ya, sebahagian atas alasan periuk nasi perlu diselesaikan terlebih dahulu) – tindakan-tindakan semakin tidak kemas, tidak bersistematik – tidak menghasilkan kesan yang besar. Berbanding dengan peningkatan fitnah yang berlaku dalam kadar yang lebih deras.
Justeru, kita semua perlu menyemak apakah sumbangan kita sebagai khalifah Allah di mukabumi ini. Apakah kita telah sempurnakannya bersungguh-sungguh, adil dalam menginfakkan masa, harta dan tenaga kepada amanah yang telah diserahkan? Dan yang lebih penting daripada itu semua, apakah kita telah mendapat jaminan keselamatan akhirat (dengan gerak-kerja yang sedang kita lakukan hari ini)?
Marilah kita menyusun semula pengurusan diri, untuk membolehkan kita menunaikan amanah Allah di mukabumi ini, membolehkan kita infak kepada hidup yang menghadiahkan redha Allah kepada kita semua, seterusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh agar tiada lagi fitnah kepada agama.
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata (Al-Anfal:39).
Perkara I: Al-Qur’an – Mukjizatnya Luarbiasa – Marilah Kita “Dapatkannya”
Ar-Ra’d(31): Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara.
Mukjizatnya sungguh luar biasa – sekejab sahaja bangsa arab jahiliyyah menjadi begitu luar biasa ketinggian peradabannya. Puak Aus dan Khazraj menjadi puak yang luar biasa nilai marhamahnya (kasih sayang).
Ketinggian nilainya digambarkan melalui ‘beratnya Rasulullah s.a.w menerima wahyu (isinya sangat sarat dengan saranan-saranan yang luar biasa nilainya):
يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَأْتِيكَ الْوَحْيُ؟
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: أَحْيَانًا يَأْتِينِي مِثْلَ صَلْصَلَةِ الْجَرَسِ، وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَيَّ فَيُفْصَمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ عَنْهُ مَا قَالَ، وَأَحْيَانًا يَتَمَثَّلُ لِي الْمَلَكُ رَجُلًا، فَيُكَلِّمُنِي فَأَعِي مَا يَقُولُ. قَالَتْ عَائِشَةُ -رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا -: وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ يَنْزِلُ عَلَيْهِ الْوَحْيُ فِي الْيَوْمِ الشَّدِيدِ الْبَرْدِ، فَيَفْصِمُ عَنْهُ وَإِنَّ جَبِينَهُ لَيَتَفَصَّدُ عَرَقًا.
Wahai Rasulullah (s.a.w), bagaimanakah datangnya wahyu kepada tuanku?
Bersabda Rasulullah s.a.w, kadang-kadang ia datang kepadaku seumpama deringan loceng (yang sangat kuat), dan ianya sangat berat padaku. Selepas itu, maka fahamlah aku apa yang dikatakan. Dan kadang-kadang ia datang kepadaku menyerupai seorang lelaki, selepas ia memberitahuku, maka fahamlah apa yang dinyatakan. Berkata Aisyah (r.a), maka aku melihat turunnya wahyu kepada baginda, pada hari yang sangat dingin, selepas turunya (wahyu) dan sesungguhnya padanya keringat merencik.
Generasi Al-Quran (the Quranic generation) yang lahir dulu telah mendapat tarbiyyah yang luar biasa apabila mereka betul-betul ‘membacanya’:
.
Shaad (29): Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.
Muhammad(24): Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran ataukah hati mereka terkunci
Cubalah perhatikan ayat-ayat berikut (bayangkanlah jikalau kita semua ‘membacanya’):
يَوْمَ لاَ يَنْفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ. إِِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ.
"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, "Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); AS-SYUAARA: 88-89.
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. AT-TAUBAH: 38.
وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً, وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ.
“dan jagalah diri kamu daripada fitnah (dosa yang membawa bala’ bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya”. AL-ANFAL: 25.
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), - Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!. AT-TAKATSUR: 1-4.
Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman - Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, - Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk). Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal, AN-NABA’: 23-27.
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! - "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia - "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! " AL-FAJR: 27-30.
Nilai luar biasanya bakal diperolehi bila kita berusaha dapatkan ilmunya dan Allah ingin memberi kebaikkan kepada kita. Justeru, marilah kita berdoa agar Allah ‘melimpahkan mukjizatNya’ kepada kita semua.
اَللَّهُمَّ ارْحَمْنَا بِالْقُرْآنِ، وَاجْعَلْهُ لَنَا إِمَامًا وَنُوْرًا وَهُدًى وَرَحْمَةً، اَللَّهُمَّ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نُسِّيْنَا وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا، وَارْزُقْنَا تِلاَوَتَهُ ءَانَاءَ الْلَيْلِ وَأَطْرَافَ النَّهَار، وَاجْعَلْهُ لَنَا حُجَّةً يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن.
Ya Allah, kasihanilah kami dengan dengan berkat al-Qur'an, dan jadikannya sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami. Ya Allah, ingatkanlah kami apa yang telah kami lupa dari al-Qur'an, dan ajarlah kami yang kami tidak tahu tentang isi al-Qur'an, dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu-waktu malam dan siang, dan jadikanlah al-Qur'an itu sebagai hujah untuk kami, wahai tuhan pemelihara sekalian alam.
Cubalah latihkan diri dengan melembutkan hati membaca “nasihat-nasihat” Allah:
"اتلوا القرآن وابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا " - للحافظ العراقي, ابن ماجة
“Bacalah al-Qur’an dan menangilah kamu, jika tidak (dirasai hendak) menangis, maka menangislah (cuba menangis)
Jika tidak, ingatlah ingatan dan ancaman Allah yang berikut (AL-Kahfi: 57):
“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya kami jadikan tutpan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan kami jadikan pada telingan mereka penyumbat. Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah pertunjuk selama-lamanya.”
Perkara II: Antara Tema Terbesar Al-Mujizat – Memastikan Keselamatan Akhirat
Terdapat banyak perkara yang penting dalam hidup kita. Namun, antara yang terpenting adalah memastikan keselamatan akhirat untuk kita semua. Adakah kita semua sekarang telah berada dalam keadaan selamat akhirat atau sekurang-kurangnya berada pada laluan (path) yang akan selamatkan kita, adakah kita???
Sebagaimana syair Al-Imam Asy-Syafie, “Ya Ilahi, sesungguhnya aku tidak layak untuk menjadi ahli syurga FirdausMu, namun aku tidak mampu untuk menahan bakaran azab nerakaMu…”,
Kenapalah perlunya persoalan hidup akhirat ini diulang dalam hampir setiap surah (dan kadang-kadangnya berulang-ulang kali dalam satu-satu surah). Dalam juz 30 sahaja, tema berkenaan diungkapkan dalam banyak surah, antaranya dalam surah an-Naba’, an-Naziaat, al-‘Abasa, at-Takwir, al-Infitaar, al-Mutaffifin, al-Insyiqaaq, at-Taariq, al-‘Ala, al-Ghaasyiah, al-Fajr, al-Lail, al-Zalzalah, al-Qadiyat, al-Qaariah, at-Takaatsur, dan al-Humazah.
Marilah kita ‘lembutkan’ hati membaca beberapa peringatannya (jangan biarkan hati kita ‘keras’ untuk terima peringatan-peringatan maha berharga ini):
Sudahkah sampai kepadamu perihal hari yang amat dasyat? Muka-muka pada hari itu tunduk kerana merasa hina, Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah, Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar), - Mereka diberi minum dari matair yang menggelegak panasnya. Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri, Yang tidak menggemokkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun. AL-GHASYIYAH: 1-7.
يَوْمَ لاَ يَنْفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ. إِِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ. وَأُزْلِفَتْ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ. وَبُرِّزَتِ الْجَحِيمُ لِلْغَاوِينَ. وَقِيلَ لَهُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ تَعْبُدُونَ. مِنْ دُونِ اللَّهِ هَلْ يَنْصُرُونَكُمْ أَوْ يَنْتَصِرُونَ. فَكُبْكِبُوا فِيهَا هُمْ وَالْغَاوُونَ.
"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, "Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); "Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa, "Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat; "Serta dikatakan kepada mereka: `Mana dia benda-benda yang kamu sembah dahulu - ` Selain dari Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong dirinya sendiri? "Lalu mereka dihumbankan ke dalam neraka dengan tertiarap, jatuh bangun berulang-ulang, - mereka dan orang-orang yang sesat bersama”. ASY-SYUAARA: 88-94.
Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar, - Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya, - Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya, - Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), - Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, - Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. AN-NAAZIAT: 34-39.
Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. AL-KAHFI: 49.
Walaupun di akhirat hanya ada dua pilihan dan semua kita tahu apa pilihan yang kita semua mahu, namun Allah tetap mengingat & mengingat & mengingatkan kita berulang-kali, kenapa?
Justeru, marilah kita pastikan keselamatan akhirat kita semua – pada setiap detik dan keadaan. Takutilah azab pedih api neraka – bayangkan kebahagiaan berkekalan & nikmat syurga Allah kepada usaha, penat-lelah memperjuangkan agama Allah di mukabumi sementara ini (al-Ghasyiyah: 7-8).
Marilah kita mengingat ingatan dan ancaman Allah ini (Al-Kahfi: 58):
“Dan Tuhanmu maha pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatNya. Jika ia mahu menyiksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; bahkan ditentukan bagi mereka suatu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang lain daripadanya”.
Perkara III: Utamakan Kedatangan Makna, Kehadiran Hati & Keberkesanan Hasil – Nescaya Faedah/Kesannya Berganda
عن علي بن أبي طالب قال: لاَ خَيْرَ فِي عِبَادَةٍ لاَ فِقْهَ فِيهَا، وَلاَ فِي قِرَاءَةِ لاَ تَدَبُّرَ فِيهَا، وَلاَ فِي عِلْمٍ لاَ تَفَهُّمْ.
Sayyidina Ali (r.a) berkata, “tidak ada kebaikan dalam ibadat tanpa feqh padanya, dan tidak dalam pembacaan tanpa ‘memerhatikan kandungannya’ (tadabbur), dan tidak dalam ilmu tanpa memahaminya”.
Bayangkan betapa besar beza kesannya terhadap orang-orang yang membaca bacaan-bacaan berikut (berulang-kali) dengan kehadiran hati dan tadabbur isinya:
Bacaan doa iftitah
Bacaan doa antara dua sujud
Bacaan persaksian dalam tasyahud
Bacaan matsurat: kalimah ikhlas, doa elak penyakit lemah-malas.
Mengutamakan peningkatan amalan hati
نِيَّةُ الْمَرْءِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ
“Niat seseorang itu lebih baik daripada amalannya” – al-hadis dari Imam Nawawi
"إِنَّ اللهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى أَجْسَادِكُمُ وَلاَ إِلَىَ صُوَرِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَىَ قُلُوبِكُمْ" - صحيح مسلم
“Sesungguhnya Allah ta’ala itu tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu, tidak pula kepada bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hatimu sekalian”
Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti harian, utamakanlah kesan/hasilnya. Bila kita ingin melakukan sesuatu, jangan hanya usahakan agar ianya terjadi/tersedia sahaja, utamakan bagaimana untuk jadikan/sediakan agar ianya memberi kesan/hasil yang baik. Contohnya dalam menyediakan brosure, membentuk keperibadian anak (kita terkerap gunakan jalan mudah, iaitu dengan marah-marah), menyampaikan mesej (ucapan, penulisan dan sebagainya), dll.
Semuanya memerlukan kita curi sedikit masa untuk mendapat kesan berganda tersebut. Persoalannya, di mana hendak cari masa untuk semua ini? Berilah keutamaan kepada benda-benda yang lebih utama @ yang memberi hasil/kesan yang berganda.
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar. AT-TAUBAH: 20-22.
Perkara IV: Utamakan Perkara-Perkara Besar/Penting Dan Keadilan Keseimbangannya
Bila kita banyak membuat kerja-kerja kecil-kecil, kita tidak akan banyak masa untuk membuat kerja-kerja besar/penting (selalunya ianya dalam bentuk perancangan, membentuk sistem/mekanisma, menyediakan suasana yang lebih kondusif, menjalin komunikasi berkesan, membentuk kesefahaman, menyediakan tenaga sokongan yang berdaya dan berakhlak baik, dan pelbagai lagi). Ingatlah konsep 80/20 – 80% daripada kerja-kerja harian adalah bersifat rutin dan hanya 20% sahaja yang luar daripada kebiasaan.
Kita juga kerap tidak adil dalam memperuntukan masa, tenaga, fikiran, wang-ringgit kepada perkara-perkara yang lebih penting. Ketidakadilan ini akhirnya akan menimbulkan rasa tidak lengkap dalam jangkamasa panjang.
Kita juga kerap terkeliru, manakah kerja-kerja utama kita, yang lebih berharga untuk tempoh jangka panjang (sehingga akhirat). Ada dua latihan yang boleh dilakukan (dan lakukan dengan ikhlas – demi mendapat manfaatnya):
Bayangkan anda akan meninggal dunia 6 bulan daripada sekarang. Senaraikan apakah yang anda akan lakukan dalam tempoh tersebut.
Bayangkan anda meninggal. Ramai orang menziarahi anda, yang mewakili segenap sektor dalam hidup anda. Bayangkan apa yang mereka akan katakan tentang anda?
Apa kata malaikat tentang anda?
Apa kata isteri/suami dan anak-anak anda?
Apa kata pekerja atau bos anda?
Apa kata sahabat-sahabat dalam Gerakan tentang anda?
Apakah kata ibu-bapa/mentua, jiran-tetangga, saudara mara dan sebagainya?
Dan lain-lain.
Kritiklah diri selalu jika anda kerap terperangkap dengan kerja-kerja yang tidak sepatutnya dan tidak adil memberi masa kepada perkara-perkara yang sepatutnya. Gerakkanlah tindakan yang memberi kebahagiaan jangka panjang. Awasi perangkap-perangkap kerja-kerja yang tidak utama. Ambilah masa untuk memikirkan kerja-kerja yang lebih penting untuk dilakukan. Dan bagaimana hendak menjadikan kerja-kerja yang dilakukan lebih berkesan.
Perkara V: Masa Tidak Akan Menanti Kita
فَلَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ. إِنَّ فِي ذَلِكَ َلأََََََ يَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُمُ مُّؤْمِنِينَ. وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ.
" ` Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia sekali lagi, supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman. ' " Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membukitkan keesaan Allah dan kekuasaanNya); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengasihani. AS-SYUAARA: 102-104.
Beberapa kali ayat seumpama ini keluar dalam al-Qur’an, mengingatkan kita betapa menyesalnya segolongan manusia apabila dihisab nanti. Mereka (sila baca KITA) menyesal kerana tidak menggunakan masa dengan optimal untuk hidup dalam penuh redha Allah. Mereka sangat-sangat mengharap agar dapat dikembalikan ke hidup dunia untuk melaksanakan perkara yang lebih patut dan menjamin keselamatan dunia-akhirat. Tapi, nasi sudah menjadi bubur – tibalah masa untuk kita diazab dengan bakaran pedih nyalaan neraka. Allah maha mengasihi dengan mengingatkan kita berulang-kali terhadap penggunaan masa.
Namun, masa begitu pantas berlalu. Kehidupan yang semakin sibuk lebih memarahkan kecematan masa yang berlalu:
"قَالَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم: "لاَ تَقُومُ السّاعَةُ حَتّى يَتَقَارَبَ الزّمَانُ وَتَكُونَ السّنَةُ كَالشّهْرِ، وَالشّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونَ الْجُمُعَةُ كَاليَوْمِ، وَيَكُونَ اليَوْمُ كَالسّاعَةِ، وَتَكُونَ السّاعَةُ كَالضّرْمَةِ بِالنّارِ".
Bersabda Rasulullah s.a.w, Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan, dan sebulan dirasakan seperti seminggu, dan seminggu dirasakan seperti sehari, dan sehari dirasakan seperti sejam dan sejam dirasakan seperti satu pecikan api”.
(ingatlah kiamat juga merujuk kepada ‘kacau-bilau’ dalam diri)
Kecepatan perjalanan masa dan kesibukan yang ‘ganas’ – sangat mudah memerangkap kita dari menunaikan amanah sebenar peranan kita di mukabumi ini.
Kita sangat mudah diperangkap masa. Tanpa disedari (atau sengaja dibiarkan), sedar-sedar masa telah berlalu begitu pantas dan banyak lagi yang belum kita buat.
MASA
Dua tiga hari lagi
Akan ku tinggalkan kampus ini
Sudah lima tahun aku di sini
Sebelum ini aku di sekolah menengah
Sebelum itu aku di sekolah rendah
Baru semalam terasa berlalu
Dua tiga hari lagi
Akan ku berkampuskan alam
Mninggalkan kampus bangunan
Selepas ini aku akan beranak-isteri
Selepas itu anak-anakku membesar
Terasa cepat ia akan datang
Masa,
Pantas larianmu
Tidakkah dikau sedar
Banyak lagi amanah tuhanmu
Yang hendak aku tinaikan!
ASMA TT, 15/5/1990.
Justeru, bagaimana hendak mengawal masa? Jawapannya, tiada jalan yang mudah dan ianya memerlukan kekuatan anti-graviti yang cukup berkuasa untuk melepasi ‘paras tarikan graviti’ Pertama kita mesti jelas peranan-peranan dan hak-hak yang mesti kita tunaikakan, khususnya untuk menjamin kehidupan dunia-akhirat. Perkara-perkara di luar daripada itu, mestilah dikurangkan prioritinya.
Perkara VI: Gerakkan Tindakan – Adakan Mekanisma Perlaksanaan
Kata Al-Imam Asy-Syafie, “Anak panah tidak akan mengenai sasaran jika tidak dilepaskan daripada busurnya”. Sangat benar kata-kata tersebut, sesuatu itu tidak akan memberi hasil jika tidak digerakkan tindakan. Ramai juga di kalangan kita, mungkin tanpa disedari, mengambil tindakan/pendekatan. “ianya tidak berhasil kerana ...” (menghuraikan penyebab-penyebabnya, kebanyakkannya menyalahkan orang lain atau faktor-faktor lain). Menyalahkan faktor-faktor lain memberi “kelegaan” palsu kepada kita. Cubalah sedaya upaya untuk bermula dengan, “apa yang harus dilakukan untuk menyelesaikannya untuk mendapatkan hasil”.
Banyak kegagalan terjadi @ separuh jalan usaha berlaku, kerana kelemahan kekuatan-keinginan dan ketiadaan mekanisma/sistem/modus operandi. Pastikan kita membina mekanisma. Untuk membina mekanisma, kita perlukan sedikit masa berfikir. Malangnya kita tiada masa kerana “terlalu” banyak kerja yang perlu disiapkan. Ketahuilah bahawa sebahagian besar “keterlaluan banyak kerja” boleh dikurangkan dengan banyak melalui menggerakkan tindakan secara sistematik.
Setiap kali timbul masalah @ inginkan mendapat hasil tertentu, pastikan ianya bermula dengan ‘apa’ yang harus dibuat dan bagaimana ianya harus dilakukan.
Akhirulkalam
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِ الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata. YASIN: 12.
No comments:
Post a Comment