Daripada Salman r.a.: Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”.
Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: “Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan … menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).” (Riwayat Tirmizi dan Nasa’i)
Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala (bersungguh dalam mengira-ngira amalan-amalan yang membawa rahmat Allah), nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru, selain menggandakan amalan-amalan sunat umum, marilah memperhatikan beberapa amalan yang diisyaratkan khusus dalam nas
1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar:- Daripada Anas r.a., bahawa Rasulullah saw bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash r.a., bahawa Rasulullah saw bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)
2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka:- Daripada Sahl bin Sa’d r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
3. Banyak berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka:- Rasulullah saw bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.” (HR Tirmidzi)
4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa:- Daripada Abu Hurairah r.a.bahawa Rasulullah saw bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5. Bermurah hati dan banyak menderma:- Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya: “Rasulullah saw adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)
6. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran:- (Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah saw bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran.
7. Memberi makan untuk berbuka puasa:- Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhanny r.a., bahawa Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka puasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR Tirmidzi)
8. Mendirikan malam dengan solat sunat (Tarawih):- Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
9. Giat beribadah & beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan:- Aisyah r.ha. berkata: “Rasulullah saw apabila masuk 10 terakhir Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkan ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)
Bahan diolah daripada http://cahaya-pemimpin.deviantart.com/journal/34460688/ &
http://warkahseharumcinta.blogspot.com/2011/07/antara-kelebihan-bulan-ramadhan.html
No comments:
Post a Comment