Wednesday, July 6, 2011

KETINGGIAN RISALAH ISLAM: MENGINGATI KISAH MUHAMMAD ASAD PADA PENGEMBARAANNYA MENCARI RISALAH ISLAM

(Sebahagian besar daripada kisah berikut diolah daripada maklumat yang didapati daripada halaman web
berikut, http://www. welcome-back org/profile/m asad 01.shtml)


Nama asalnya adalah Leopold Weiss. Beliau berasal dari Lemberg, Austria-Hongaria dan lahir pada bulan Julai tahun 1900, iaitu di negara Sepanyol. Agama asalnya adalah Yahudi. Keluarganya secara turun-temurun adalah rabbi (pemuka agama Yahudi) kecuali ayahnya yang menjadi seorang pengacara. Semasa kecilnya, beliau telah diberi seorang tutor khas untuk mengajar agama dengan mendalam. Beliau fasih berbahasa Ibrani dan dapat membaca kitab-kitab Yahudi yang terkemuka. Setelah masuk Islam, iaitu pada tahun 1926 (umurnya pada masa tersebut 26 tahun) beliau telah mengembara dan bekerja di seluruh dunia Islam, mulai dari Afrika Utara sampai ke Afghanistan di bahagian Timur. Setelah beberapa tahun mempelajari Islam, beliau telah menjadi seorang Muslim terpelajar yang terkemuka di abad kita sekarang. Akhirnya, beliau telah dikenali sebagai seorang cendekiawan Islam dan menjadi mantan Duta Besar Pakistan ke pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau menulis beberapa buku menarik dan berkesan berkenaan Islam dan pengembaraannya, khususnya dalam mencari Risalah kebenaran. Antara bukunya tentang Islam adalah seperti Islam at the Crossroads, The Road to Mecaa, This Law of Ours, Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam dan sebuah tafsir Al Qur'an moden, iaitu The Message of the Qur'an.

Risalah Islam telah datang ke dalam dirinya dengan hidayah serta pemerhatiannya kepada kehidupan, khususnya pada perbandingan antara kehidupan di dunia barat dengan di dunia Islam. Katanya, "Perhatian saya terhadap bangsa-bangsa yang saya kunjungi itu mula-mula adalah sebagai orang luar sahaja. Saya melihat susunan masyarakat dan pandangan hidup yang pada dasarnya berbeda dengan susunan masyarakat dan pandangan hidup orang-orang Eropah. Timbul dalam hati saya kekaguman terhadap pandangan hidup yang tenang, yang boleh saya katakan lebih bersifat kemanusiaan jika dibanding dengan cara hidup di Eropah yang serba terburu-buru dan mekanistik. Rasa kagum ini secara perlahan-lahan telah menyebabkan timbulnya keinginan saya untuk menyelidiki sebab adanya perbedaan itu, dan saya menjadi tertarik dengan ajaran-ajaran keagamaan orang Islam. Dengan persoalan ini, saya belum merasa tertarik untuk memeluk agama Islam, tetapi ianya telah cukup membuka pemandangan baru mengenai masyarakat kemanusiaan yang progresif dan teratur, yang mengandung hanya sedikit pertentangan. Tapi dengan rasa persaudaraan yang sangat besar dan benar. Walaupun pada kenyataannya hidup orang-orang Islam sekarang masih jauh berbeda dengan kemungkinan-kemungkinan yang dapat diberikan oleh ajaran-ajaran Islam.

Peristiwa-peristiwa yang Mendekatkannya kepada Risalah Islam

Di antara peristiwa yang menyentuh hatinya adalah ketika dia hendak ke Jerusalem pada tahun 1920 (lebih kurang enam tahun sebelum dia memeluk Islam). Pada ketika itu, dia naik keretapi dari Mesir ke Semenanjung Sinai melalui padang pasir (gurun) Sinai. Di depan kerusi yang menghadap kepadanya duduk seorang Arab Badwi. Apabila berhenti di satu stesyen persinggahan, datang penjual-penjual makanan dan minuman. Si Arab Badwi tadi telah membeli sekeping roti. Apabila dia hendak duduk, dia ternampak Muhammad Asad. Segera dia membahagikan roti tersebut kepada Muhammad Asad, sambil berkata "tafaddhal" (silakan). Kepadanya peristiwa tersebut sangat mengesankan kerana suasana itu sudah tiada dalam masyarakat Eropah. Menurutnya, kespontanan tersebut datang daripada satu nilai yang mulia.


Pada peristiwa yang lain, dia kagum dengan suasana orang Islam solat. Pada masa tersebut dia pergi melawat sebuah masjid. Dia rasa sangat terkesan melihat orang Islam sembahyang di belakang seorang imam yang sudah tua, dengan barisan yang tersusun rapi umpama displin sepasukan tentera. Dia begitu terasa, keasyikan penganut-penganut Islam solat dengan rukuk dan sujud serentak, seolah-olah Tuhan berada di depan mereka. Dia dapat merasakan bahawa orang Islam dekat dengan Tuhan mereka.

Beberapa tahun selepas itu, semasa perjalanan dengan menaiki kapal, beliau telah menaiki sebuah kapal yang penuh sesak dengan penganut-penganut Islam yang ingin menunaikan fardhu haji ke Mekah. Pada satu hari, beliau telah turun ke dek sebelah bawah. Dek sebelah bawah adalah dek kelas kedua yang biasanya diduduki oleh orang-orang yang tidak berapa mampu. Dalam dek tersebut beliau dapati ada seorang lelaki Islam yang terlantar sakit. Beliau dimaklumkan bahawa doktor kapal tersebut tidak dapat turun ke dek tersebut. Setelah diselidiki didapati lelaki tersebut mengalami demam malaria. Kebetulan dia ada bekalan ubat demam malaria lalu memberikannya kepada lelaki tersebut. Semasa sedang berinteraksi dengan pesakit tersebut, dia ternampak kawan-kawan pesakit tersebut dari Yaman berbisik-bisik sesama mereka. Kemudian, salah seorang daripada mereka datang kepadanya dan menghulurkan kepadanya beberapa not duit kertas. Lelaki tersebut memberitahunya bahawa duit telah dikumpul daripada kawan-kawan yang lain dan berharap dia dapat menerimanya sebagai tanda penghargaan, walaupun jumlahnya sedikit sahaja. Terkejut Muhammad Asad dengan sikap spontan penghargaan itu dan telah menolaknya dengan baik. Mereka terus mendesak, "Kami tahu bahawa khidmat tuan tidak mengharap balasan. Ini bukanlah bayaran tetapi sebagai satu hadiah, sebagai satu penghargaan dan tanda persaudaraan. Kami sangat bersyukur dengan kebaikan tuan. Jadi kami berharap tuan dapat menerimanya sebagai tanda penghargaan kami." Akhirnya, Muhammad Asad terpaksa menerimanya, walaupun beliau tahu bahawa mereka amat lebih memerlukannya berbanding dirinya.

Ketika umumya hampir mencecah 24 tahun, beliau telah menghantar manuskrip bukunya untuk diterbitkan. Buku itu ada menghuraikan tentang sikap Zionis yang bertindak dengan tidak benar. Ianya ditulis secara ilmiah seumpama seorang professor. Pada satu hari, beliau telah ke pejabat penerbitan untuk berbincang dengan penerbit tersebut. Ketua editor penerbit itu, Dr Heinrich Simon, apabila sahaja bertemu dengan Muhammad Asad, beliau melihatnya seolah-olah orang yang kehairanan. Muhammad Asad yang mula rasa tidak selesa dilihat begitu, telah bertanya, "Adakah sesuatu yang tidak kena Dr Simon?". Dr Simon dengan tergagap menjawab, "Bukan, bukan, tiada yang tidak kena atau mungkin semuanya tidak kena... " Kemudian dia ketawa lalu menjelaskan, "Sebenarnya saya menjangkakan penulis manuskrip tadi adalah seorang yang sudah berumur dengan kaca mata yang tebal. Rupanya dianya adalah seorang budak yang genius." Kemudian bukunya yang diberi judul "Unromantisches Moegenland" telah diterbitkan. Buku yang kelihatan anti-zionis itu telah mendapat tentangan dari banyak pihak, termasuk rakan-rakannya sendiri. Hanya beberapa kerat sahaja yang menghargai buku yang juga menunjukkan penghargaan penulisnya kepada kehidupan orang Arab. Antaranya adalah Elsa, seorang perempuan yang 15 tahun lebih tua daripadanya. Akhirnya Elsa telah menjadi isterinya dan menjadi sumber ilham kepada Muhammad Asad; menenangkannya, bersimpati dengan kerja-kerjanya dan memberi keselesaan apabila menghadapi dugaan atau tekanan. Baginya, Elsa umpama Siti Khadijah yang juga 15 tahun lebih tua berbanding Nabi Muhammad SA W.

Pada ketika yang lain, selepas banyak mengembara di Asia Tengah, beliau telah ke Afghanistan. Dia telah berkuda dari Kabul ke Herat dengan melalui lembah-lembah yang dilitupi salji. Apabila kudanya mengalami masalah di satu perkampungan, dia telah berhenti untuk memperbetulkan masalah tersebut buat beberapa hari. Gabenor daerah tersebut yang mengetahui kedatangan orang asing telah menjemput dia untuk berehat di rumahnya. Selepas makan malam, gabenor tersebut telah menghiburkannya dengan lagu sambil bermain kecapi (alat muzik). Bilik tersebut lengkap dengan karpet dan hangat (menyegarkan suasana yang mana di luarnya sejuk akibat salji). Lagu yang diperdendangkan adalah berkenaan Nabi Daud melawan Jalut (dalam peperangan tersebut angkatan Nabi Daud bersama Talut yang kecil dapat mengalahkan tentera Jalut yang besar). Selepas berakhir lagu tersebut, gabenor tersebut menyebutkan, "Nabi Daud kecil tetapi semangat dan kepercayaannya besar." Lalu Muhammad Asad membalasnya, "... dan anda semua banyak tetapi kepercayaan anda kecil." Jawapan tersebut mengejut dan memalukan Gabenor tadi. Dia terus menyambung, "Kenapakah anda telah menjadi orang Islam yang telah hilang jati-diri keislamannya? Sebuah jati-diri yang telah menjadikan anda semua mampu menyebarkan kepercayaan dari negara Arab ke Atlantik kemudian memasuki China - tetapi anda sekarang telah menyerah dengan mudah dan lemah kepada pemikiran dan kebudayaan barat. Kenapa anda yang mana datuk-nenek anda telah menguasai dunia dengan sains dan seni pada masa Eropah tenggelam dalam barbarisme dan kejahilan? Beritahu saya bagaimanakah ajaran Nabi kamu yang begitu jelas dan mudah telah menghadapi kegersangan akibat kecelaruan pemikiran para cerdik pandai kamu. Bagaimanakah boleh terjadi tuan tanah-tuan tanah hidup dalam kekayaan dan kemewahan sedangkan pada masa yang sama saudara-saudara orang Islam kamu berada dalam kemiskinan dan kebuluran - sedangkan kamu diajar oleh Nabi kamu bahawa 'Tidak beriman seorang kamu yang makan dengan kenyang sedangkan jiran-jirannya kelaparan?' Bagaimana boleh terjadinya begitu ramai orang Islam yang jahil dan sedikit yang boleh membaca dan menulis, sedangkan Nabi kamu telah menyatakan bahawa 'Mengejar ilmu pengetahuan dengan bersungguh-sungguh adalah satu tugas yang sangat mulia untuk setiap orang Islam lelaki dan perempuan dan kelebihan orang yang berilmu berbanding dengan orang warak umpama matahari berbanding bintang-bintang yang lain'? " Terkedu gabenor tersebut mendengar 'syarahan' Muhammad Asad, sambil berkata, "Tetapi anda seorang Islam ... ". Muhammad Asad ketawa dan membalas, "Tidak, saya bukan seorang Islam, tetapi saya telah melihat keindahan Islam yang menjadikan saya rasa marah melihat anda 'membazirkannya'... maafkan saya jika telah bercakap dengan kasar... " Gabenor tersebut menggelengkan kepalanya, "Tidak, ianya sebagaimana yang saya katakan tadi; anda ialah seorang Islam, hanya anda tidak mengetahuinya... " Kata-kata Gabenor itu rupanya terus bermain dalam kepalanya buat satu jangkamasa yang lama.

Detik-Detik Keislamannya

Pada tahun 1926, Muhammad Asad telah kembali ke Berlin, Jerman. Negara-negara Eropah pada masa tersebut baru pulih daripada inflasi buat beberapa tahun. Justeru, kemakmuran kehidupan mudah kelihatan di mana-mana. Selepas beberapa peristiwa yang disebut di atas, Muhammad Asad dengan isterinya semakin intensif melakukan pencarian. Mereka kerap membaca al-Qur’an bersama dan membincangkan idea-idea al-Qur'an. Mereka semakin tertarik terhadap mesej-mesej yang terdapat dalam al-Qur'an, khususnya betapa eratnya ajaran akhlak al-Qur'an dan idea praktikal al-Qur'an untuk kehidupan harian manusia.

Pada satu hari, semasa dia dan isterinya menaiki keretapi di Berlin, mereka mengalami satu suasana yang ganjil. Mereka menaiki keretapi kelas pertama. Di depan Muhammad Asad, duduk seorang lelaki yang berpakaian kemas kelihatan seperti seorang usahawan yang berjaya. Di haribaannya terletak sebuah beg yang bergaya dan dijarinya terdapat cincin berlian. Begitulah keadaan pasca inflasi di Eropah Tengah, kelihatan ramai orang dapat menikmati kemakmuran dan dapat kehidupan yang selesa. Namun, apabila terus mengamati suasana dalam keretapi kelas mewah tersebut, beliau dapati suatu keadaan yang menghairankannya.

Beliau menerangkan keadaan tersebut seperti berikut, "Apabila saya melihat kepada wajah lelaki tadi, saya mengesan bahawa dia tidak berada dalam keadaan yang menyenangkan. Riak wajahnya kelihatan dalam keadaan kebimbangan dan jelas tidak gembira. Matanya kelihatan memandang kosong ke hadapan dan pada bibirnya kelihatan seolah-olah menanggung keperitan tetapi bukan kesakitan fizikal. Tanpa ingin nampak biadab, saya memaling penglihatan ke tempat lain. Di sebelahnya terletak seorang perempuan yang juga kelihatan bergaya. Namun pada riak wajahnya juga kelihatan ekspresi ketidakgembiraan yang ganjil, seolah-olah dia sedang mengalami sesuatu yang menyebabkan keperitan. Kemudian saya terus memandang kepada wajah-wajah lain di sekitar kawasan tersebut yang mana kebanyakkan daripada mereka terdiri daripada orang-orang yang fizikal berpakaian kemas, bergaya, cukup segala keperluan lahiriah, tetapi pada kebanyakan wajah mereka kelihatan ekspresi menanggung satu masalah dalaman yang tersembunyi dalam kehidupan mereka.

Saya baru perasan bahawa saya tidak pernah dapati begitu banyak wajah-wajah yang tidak gembira di sekitar saya. Rasa ganjil itu begitu kuat dalam diri saya sehingga saya memberitahunya pada Elsa. Elsa terus memerhati dengan penuh perhatian, kemudian dia berpaling kepada saya dengan wajah kehairanan. Dia memberitahu bahawa dia mendapati perasaan yang sama. Saya tahu bahawa apa yang mereka tidak tahu kerana jika mereka tahu, mereka tidak akan berterusan membiarkan diri mereka berterusan begitu (mengejar kehidupan seolah-olah tiada akhirnya). Mereka kelihatan tiada kepercayaan yang mengikat mereka kecuali mereka berterusan hidup demi kesenangan kebendaan, lebih banyak peralatan-peralatan canggih dan mungkin untuk mendapat lebih kuasa.

Apabila saya kembali ke rumah, kebetulan ternampak di atas meja al-Qur'an yang sedang terbuka (sebelum keluar dia telah membaca al-Qur'an tersebut). Lalu beliau pergi mengambil al-Qur'an tersebut untuk diletak pada tempat yang sesuai. Semasa ingin menutup al-Qur'an tersebut, mata saya 'terlekat' pada ayat-ayatnya. Apabila di baca ayatnya adalah seperti berikut,

                          •        • 
At-Takatsur: Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), - sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui - (Apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari Akhirat). (Ingatlah) Demi sesungguhnya! - kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu - demi sesungguhnya! - kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!


Buat seketika lidah saya kelu. Saya rasa macam kitab tersebut menggenggam tangan saya. Kemudian saya memberinya kepada Elsa, sambil mengatakan kepadanya, 'Baca ini. Bukankah ini jawapan terhadap misteri yang kita dapati di atas keretapi tadi?' Ketamakan telah menjadi manusia sentiasa dalam pencarian, mereka sentiasa tidak pernah puas. Sifat tersebut semakin lama semakin sebati dengan mereka sehingga mereka kabur terhadap aspek-aspek lain kehidupan. Hidup mereka sentiasa tidak berkesudahan, sentiasa mengejar kehidupan dan sentiasa tidak pernah ada kepuasan di atas apa yang mereka dapat. " Kini beliau telah betul-betul yakin bahawa kitab yang dia baca adalah kitab yang didatangkan oleh Yang Maha Kuasa. Kandungannya bukanlah satu hasil kebijaksanaan masyarakat Arab. Al-Qur'an memberi nilai yang lebih daripada yang dapat disampaikan oleh nabi Muhammad SAW. Keesokkannya, beliau terus berjumpa dengan Imam masyarakat Islam setempat di Berlin, lalu melafazkan "Sesungguhnya aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad pesuruh Allah".

Peristiwa itu berlaku pada bulan September 1926. Isterinya Elsa telah memeluk Islam beberapa minggu selepas itu. Selepas isterinya memeluk Islam, mereka berdua telah ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji. Sebelum dapat mengerjakan haji, isterinya jatuh sakit. Akhirnya mereka berdua dapat menunaikan haji tersebut. Allah Maha Kaya, isterinya telah meninggal dunia selepas itu. Betapa bertuahnya isterinya itu, setelah beberapa tahun dalam 'pencarian', dia telah mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah. Sebaik sahaja mendapat hidayah, dalam keadaan yang belum ada dosa, beliau telah dipanggil oleh Allah.

Setelah menjadi orang Islam, beliau telah melakukan banyak sumbangan kepada dunia Islam. Padanya, penyebab kemunduran sosial dan budaya orang Islam sekarang adalah karena mereka secara beransur-ansur telah meninggalkan semangat ajaran Islam. Islam masih tetap ada, tetapi hanya merupakan badan tanpa jiwa. Masyarakat Islam sejak awalnya telah kuat kerana dibina atas dasar keagamaan, maka kelemahan yang terjadi kerana umat Islam telah lupa terhadap dasar keagamaannya.

Beliau mengatakan bahawa Islam telah masuk ke dalam lubuk hatinya, seperti seorang pencuri yang memasuki rumah di tengah malam. Bezanya Islam telah masuk untuk terus menetap selama-lamanya, tidak seperti seorang pencuri yang masuk rumah dan kemudiannya dengan tergesa-gesa keluar. Semenjak itu dia telah bersungguh-sungguh mempelajari apa yang seharusnya dia pelajari tentang Islam. Dia telah mempelajari Al-Qur'an dan Sunnah Rasul SAW. Dia mempelajari bahasa agama Islam dan sejarahnya, dan dia telah menekuni sebahagian besar buku-buku dan tulisan-tulisan mengenai ajaran Islam serta juga buku-buku dan tulisan-tulisan yang menentangnya. Semua itu dia lakukan selama lebih dari lima tahun di Hijaz, Madinah dan tempat-tempat lain di dunia Arab, di tempat asal ia dikembangkan untuk pertama kalinya oleh Nabi yang berbangsa Arab.

Padanya, Risalah Islam itu sangat istimewa. Bukanlah ada aspek tertentu yang menariknya kepada Islam, kerana menurutnya keseluruhan Islam itu menakjubkan. Ajarannya sangat luar biasa; sama ada dari aspek akhlak, program kehidupan yang praktikal - sukar untuk dijelaskan, seolah-oleh ikatannya erat antara satu sama lain dalam membentuk sistem ajaran yang mengkagumkan. Islam umpama satu struktur senibina yang sempurna, di mana setiap bahagian saling melengkapi dan saling menyokong secara cukup harmonis. Tiada yang terlebih dan tiada yang terkurang, yang menghasilkan satu perimbangan yang sempurna dan binaan yang kukuh.

No comments: