Thursday, January 14, 2010

Risalah Islam: Suci & Agung

Sesungguhnya ajaran Islam itu suci, hebat dan lengkap (komprehensif). Ianya akan membawa kita semua kepada kejayaan dunia-akhirat. Syaratnya, kita semua kena kembali kepada jati-diri keislaman; menjadi muslim yang sejati dan mempertingkatkan keimanan serta ketaqwaan kita.

         
Ali-‘Imran 139: Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

Sumber kedua kekuatan ajaran Islam adalah Sunnah atau Hadis Nabi SAW. Ianya ialah khazanah ilmu yang terpelihara, tiada ternilai kandungannya – yang menunggu kita untuk meneroka dan seterusnya mengamalkannya. Nilai murni dan kudus ajaran tersebut terpancar melalui banyak dalil nas, dan salah satunya adalah melalui satu hadis panjang yang dirakam oleh Imam Bukhari daripada Abu Sufyan. Ianya adalah peristiwa ketika Maharaja Hiraqlus (maharaja Rom) ingin mengetahui tentang ‘agama baru’ yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ketika itu Maharaja Hiraqlus dan Abu Sufyan sudah dapat merasa keunggulan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW,

Abu al-Yaman al-Hakam bin Nafi’ telah menceritakan kepada kami, katanya: Syu`aib telah menceritakan kepada kami dari al-Zuhri katanya: Ubaidullah Bin Abdullah bin Utbah bin Mas`ud telah menceritakan kepada saya bahawa Abdullah bin Abbas memberitahunya, sesungguhnya Abu Sufyan bin Harb menceritakan kepadanya bahawa Hiraql mengutuskan orang untuk menjemput beliau bersama rombongan pedagang Quraisy yang berada di syam. Peristiwa ini berlaku pada masa Rasulullah SAW mengadakan perjanjian damai dengan Abu Sufyan dan orang-orang kafir Quraisy. Mereka pun pergi mengadap Hiraql yang sedang berada di Iilia’ bersama pembesar-pembesarnya. Hiraql menjemput mereka kemajlisnya. Pada ketika itu beliau di kelilingi pembesar-pembesarnya lalu beliau menjemput juru bahasanya. Seterusnya beliau bertanya, “Siapa di antara kamu yang paling hampir keturunannya dengan orang yang mendakwa dirinya sebagai Nabi? Abu Sufyan berkata, saya menyahut dengan mengatakan “Sayalah orang yang paling hampir dangannya.” Maka Hiraql memerintahkan, “Dekatkan dia kepadaku dan sahabatnya letakkan mereka di belakangnya”. Seterusnya beliau berkata kepada juru bahasanya, “Katakan kepada mereka, saya akan bertanya dia (Abu Sufyan) berhubung dengan orang ini (yang mendakwa sebagai Nabi). Jika dia berdusta denganku, kamu dustakannya.” Kata Abu sufyan, “Demi Allah, jika tidak kerana malu mereka akan mendustakan daku nescaya aku berdusta mengenainya”. Kemudian perkara yang mula-mula sekali beliau bertanya saya tentangnya (Rasulullah) ialah bagaimana keturunannya di kalangan kamu? Aku jawab, “Dia berketurunan mulia”. Hiraql terus bertanya, “Adakah sesiapa menda`wa demikian sebelumnya.” Saya jawab, “tidak ada.” Kata Hiraql, “Adakan di antara nenek moyangnya raja?". Saya menjawab, “Tidak ada.” Hiraql bertanya lagi, “Adakah orang-orang bangSAWan mengikutnya atau orang-orang lemah?” Saya menjawab, “Bahkan orang-orang lemah.” Kata Hiraql, “Adakah mereka semakin bertambah atau semakin berkurang?" Saya menjawab, “Bahkan semakin bertambah.” Dia terus bertanya, “Adakah sesiapa daripada pengikutnya berpaling tadah kerana bencikan agamanya setelah menganut agamanya?” Saya menjawab, “Tidak ada.” Dia bertanya pula, “Adakah dia pernah dituduh berdusta sebelum mendakwa sebagai Nabi?” Saya menjawab, “Tidak pernah.” Hiraql berkata, “Adakah dia pernah mengkhianati sesuatu perjanjian yang dibuatnya?” Saya menjawab, “Tidak pernah, tetapi kami masih dalam perjanjian dan kami tidak tahu apa yang dilakukannya dalam perjanjian ini.” Abu Sufyan berkata, “Saya tidak dapat memasukkan apa-apa ucapan selain daripada ucapan ini (yang mungkin dapat mengurangkan Baginda SAW).” Hiraql bertanya, “Adakan kamu pernah berperang dengannya?” Saya menjawab, “Ya.” Kata Hiraql, “Bagaimana keadaan peperanganmu dengannya?” Saya menjawab, “Silih berganti, kadang-kadang dia menang kami kalah dan kadang-kadang kami menang dia yang kalah.” Kata Hiraql lagi, “Apa yang diajarnya kepada kamu?” saya menjawab, “Dia mengatakan, “Sembahlah Allah semata-mata dan janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengannya. Tinggalkan ajaran (syirik) nenek moyangmu. Dia (juga) menyuruh kami bersembahyang, bercakap benar, meninggalkan perkara-perkara keji dan mempereratkan hubungan kekeluargaan.” Hiraql pun berkata kepada penterjemahnya, “Katakan kepadanya, aku telah bertanya kamu tentang keturunannya, kamu mengatakan bahawa dia berketurunan mulia. Begitulah para Rasul, mereka diutus daripada kalangan kaumnya yang berketurunan mulia. Saya telah bertanya kamu, adakah seseorang daripada kamu telah mendakwa seperti yang didakwanya ini. Kamu mengatakan, “tidak ada.” Kalaulah ada seseorang telah mendakwa begitu, nescaya saya berkata, dia ingin menurut jejak langkah orang sebelumnya. Saya telah bertanya kamu adakah sesiapa daripada nenek moyangnya raja. Kamu mengatakan “tidak ada.” Kalaulah ada seseorang daripada nenek moyangnya raja, tentu saya boleh berkata, dia ingin menuntut kembali kekuasaan ayahnya. Saya telah bertanya kamu adakah kamu menuduhnya berdusta sebelum dakwaannya ini, kamu mengatakan “tidak”, maka saya dapat menyimpulkan bahawa takkanlah dia tidak (pandai) berdusta dengan manusia tetapi (berani pula) berdusta terhadap Allah. Saya telah bertanya kamu adakah orang-orang mulia (pada pandangan orang ramai) mengikutnya atau orang-orang lemah. Kamu menjawab, daripada kalangan orang-orang lemah. Mereka itulah (biasanya) menjadi pengikut para rasul. Saya telah bertanya kamu adakah mereka semakin bertambah atau berkurang. Kamu mengatakan, bahawa mereka semakin bertambah. Memang begitulah keadaan iman sehingga ia sempurna. Saya telah bertanya kamu adakah sesiapa telah murtad (berpaling tadah) kerana bencikan agamanya setelah menganutnya. Kamu menjawab, “tidak ada.” Demikianlah iman, apabila kemanisannya telah meresapi hati-hati (manusia). Saya telah bertanya kamu, adakah dia berkhianat dalam perjanjiannya. Kamu menjawab, “tidak.” Begitulah rasul-rasul, mereka tidak mungkir janji. Seterusnya aku telah bertanya kamu tentang apa yang diajarnya. Kamu menyebutkan bahawa dia mengajar kamu supaya menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu dengannya, dia menegah kamu menyembah berhala, dia menyuruh kamu bersembahyang, bercakap benar dan memelihara diri daripada perkara-perkara keji. Kalaulah benar apa yang kamu cakapkan ini, maka tidak lama lagi dia akan menguasai tempat kedua-dua kakiku ini. Memanglah saya yakin bahawa dia akan keluar tetapi tidak menyangka dia akan keluar daripada kalangan kamu. Kalaulah saya pasti bahawa saya akan dapat sampai kepadanya tentu saya akan berusaha menemuinya dan kalaulah saya berada disampingnya nescaya saya akan membasuh kedua kakinya (berkhidmat kepadanya). Kemudian beliau meminta surat Rasulullah SAW yang dihantar Baginda SAW melalui Dihyah al-Kalbi kepada pembesar Bushra (pada tahun ke enam hijrah). Lalu pembesar Bushra memberi surat kepada Hiraql dan beliau membacanya. Di dalamnya tercatat: Bismillahirahmannirahim. Daripada Muhammad hamba Allah dan Rasulnya kepada Hiraql pembesar Rom, salam sejahtera kepada orang yang mengikuti pertunjuk. Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya saya menyeru kamu kepada seruan Islam. Islamlah kamu tentu kamu akan selamat dan pasti Allah akan memberikan kepadamu pahala dua kali ganda. Tetapi jika anda berpaling sesungguhnya dosa ra`yat jelata akan ditanggung oleh anda. (Wahai ahli kitab ke marilah kepada satu ajaran yang sama antara kami dengan kamu iaitu kita tidak menyembah selain dari Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu dengannya dan sebahagian dari kita tidak mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan-tuhan selain dari Allah dan jika mereka berpaling maka katakan “bersaksilah kamu bahawa kami adalah orang-orang Islam.” Abu Sufyan berkata, Setelah Hiraql selesai bersoal jawab dengan kami dan selesai juga membaca surat tersebut, riuh rendahlah majlis itu dan suara-suara orang ramai pula membumbung tinggi. Kami dikeluarkan. Ketika itu saya berkata kepada sahabat-sahabat saya, “Oh! Hebat betul kerja Ibnu Abi Kabsyah (Abu Kabsyah ialah gelaran suami Halimah penyusu Nabi SAW) Sehingga raja anak-anak orang berkulit kuning (orang-orang Rom) pun takut kepadanya. Sejak itulah saya mulai yakin bahawa dia (Nabi SAW) akan menang sehinggalah Allah memasukkan Islam ke dalam hatiku.” (petikan terjemahan daripada:
http://www.darulkautsar.com/penghadis/bukhari/texbukhari.htm)

Risalah Islam yang kudus serta agung ini sangat hebat nilai dan kekuatannya. Sehinggakan Sahabat-sahabat baginda sampai kepada ulama-ulama kita disepanjang lipatan sejarah telah menjaga, memelihara dan mempergunakannya dengan penuh hikmah. Risalah ini sebenarnya berupaya menundukkan sesiapa sahaja yang memberi ruang untuk mendengar apatah lagi menghayatinya. Ibnu Hisyam dalam buku klasiknya, “Sirah Nabawiyah” telah mengungkapkan banyak contoh-contoh dalam sirah terhadap keajaiban risalah ini. Antara satu kisah menarik adalah bagaimana Mush’ab Ibnu ‘Umair berhadapan dengan kafir Yastrib yang amat marahkannya kerana hendak berdakwah kepada orang-orang kampung di situ. Kisahnya lebih kurang seperti berikut,

Selepas perjanjian Aqabah pertama, Rasulullah SAW telah menghantar Mush’ab Ibnu ‘Umair ra untuk mengajar agama kepada penduduk Yastrib. Dalam pada itu, Mush’ab Ibnu ‘Umair bersama dengan As’ad bin Zurarah ra (yang juga dikenali dengan panggilan Abu Umamah) telah menjalankan dakwah di serata tempat di Yastrib termasuk kepada Bani Abdul Asyhal dan Bani Zhafar. Pada satu hari, kedua-dua sahabat Rasulullah SAW tersebut telah memasuki salah sebuah kebun milik Bani Zhafar.

Pemimpin Bani Asyhal pada masa tersebut adalah Sa’ad bin Mu’az dan Usaid bin Hudhair. Apabila mengetahui kedatangan penyebar-penyebar risalah Islam tersebut, mereka menjadi marah dengan amat sangat. Pada mereka, pendakwah-pendakwah tersebut hanyalah ingin menyebarkan kebodohan kepada kaumnya dan memecah-belahkan kesatuan mereka. Oleh kerana Sa’ad bin Mu’az mempunyai tali persaudaraan dengan As’ad bin Zurarah, beliau telah meminta Usaid bin Hudhair untuk menghalang dan menghalau penyebar-penyebar risalah Islam tersebut.

Lalu, dengan penuh kemarahan, Usaid bin Hudhair mencapai tombaknya untuk menjalankan amanah menyekat ‘penghasut-penghasut’ kaumnya itu. Dengan penuh emosi, Usaid telah berdiri di hadapan pendakwah-pendakwah itu sambil mengherdik bahawa jika mereka hendak memperbodoh-bodohkan kaumnya yang lemah, cepat-cepatlah tinggalkan tempat itu. Namun, dengan penuh ketenangan dan keyakinan, Mush’ab bin ‘Umair meminta Usaid duduk sekejap dan mendengar risalah yang ingin disampaikannya. Jika apa yang disampaikan benar maka terimalah dan jika salah tinggalkanlah.

Usaid bersetuju dan duduk mendengar ‘cerita bodoh’ yang akan disampaikan oleh Mush’ab. Dengan penuh hikmah, Mush’ab memberitahu keindahan dan kemuliaan agama Islam, sambil membacakan ayat-ayat al-Qur’an. Risalah yang disampaikan Mush’ab itu dirasakan cukup mengkagumkan Usaid. Riak mukanya jelas berubah semasa mendengar penerangan Mush’ab. Sebaik sahaja habis penerangan Mush’ab, Usaid telah berkata, “Alangkah indah dan cantiknya ungkapan perkataan ini! Apakah kalian lakukan jika ingin memasuki agama ini?”. Apabila diberitahu kepadanya langkah-langkah tersebut, Usaid bin Hudhair segera melakukannya (masuk Islam).

Selepas itu, Usaid ra telah memberitahu bahawa ada seorang lagi pemimpin kaumnya yang perlu disampaikan risalah tersebut (maksudnya Sa’ad bin Mu’az). Katanya, jikalah Sa’ad mendengar risalah tersebut dan seterusnya memasuki Islam, pastilah semua pengikut-pengikutnya akan turut sama memasuki Islam. Lalu Usaid berjanji untuk membawa Sa’ad berjumpa dengan mereka dan bersegera kembali kepada kaumnya.

Usaid segera pergi ke balai pertemuan kaumnya. Melihat Usaid, Sa’ad berkata kepada kaumnya bahawa riak muka Usaid sangat berbeda semasa pergi dan semasa kembali. Lalu dia bertanya, “Apakah yang telah engkau lakukan Usaid?” Usaid berkata, “Aku telah berbicara dengan kedua-dua orang tersebut. Demi Allah! Aku dapati mereka tidak berniat jahat.” Kemudian Usaid telah membuat helah agar Sa’ad pergi kepada kedua-dua pendakwah tersebut. Helah Usaid berjaya, lalu Sa’ad mencapai tombak dari tangan Usaid dan pergi dalam keadaan marah kerana Usaid tidak berjaya menjalankan “tugasnya”.

Sesampai Sa’ad di hadapan kedua-dua penyebar risalah Islam tersebut, dia terkejut melihat ketenangan kedua-dua pendakwah tersebut. Tatkala itu, Sa’ad sedar bahawa Usaid sengaja memancingnya untuk mendengar sendiri risalah yang ingin dibawakan oleh Mush’ab Ibnu ‘Umair dan As’ad bin Zurarah. Namun, kemarahannya tetap tidak reda.

Dengan penuh emosi, beliau mengherdik As’ad bin Zurarah, “Wahai Abu Umamah, demi Allah! Kalau tidak kerana hubungan kerabat antara kita, nescaya engkau tidak menginginkan ini dariku. Kenapa engkau membawa ke perkampungan kita sesuatu yang kami benci?”. Lalu Mush’ab meminta As’ad duduk dan mendengar dahulu apa yang ingin disampaikannya. Apabila diceritakan risalah tersebut, riak muka As’ad berubah; berseri dan mesra. Akhirnya memberitahu bahawa dia juga ingin memeluk Islam.

Apabila As’ad ra kembali kepada kaumnya dengan riak wajah yang jauh berbeza dari semasa dia meninggalkan kaumnya, dia berkata kepada kaumnya, “Wahai Bani Abdul Asyhal! Apakah yang kalian tahu tentang diriku?” Mereka menjawab, “Engkau adalah pemimpin kami, orang yang mempunyai pendapat yang paling baik dan orang yang mempunyai pertimbangan paling baik di kalangan kami.” Lalu As’ad memberitahu bahawa beliau telah memeluk Islam dan mengajak mereka semua memeluk Islam. Akhirnya kesemua Bani Abdul Asyhal telah memeluk agama Islam dan menerima risalah suci Islam.


Bayangkan, Risalah tersebut yang dibawa Nabi SAW dan diterjemahkan di dalam kehidupan Baginda selama 63 tahun telah dirakam dengan menyeluruh dan teliti oleh para Sahabat. Rakaman agong ini walaupun tidak dapat mencapai kesahihan al-Qur’an, namun ianya berjaya mencapai darjah kesahihan yang tinggi dan meyakinkan. Khazanah ini telah dibukukan oleh ulama-ulama kita dalam bentuk kitab-kitab hadis telah menghimpunkan ratusan ribu hadis yang menunggu kita untuk menghayatinya dan dijadikan panduan di dalam kehidupan kita.

Justeru, marilah kita sama-sama memastikan Islam akan tetap kekal tinggi, mulia dan sempurna. Marilah kita kembali kepada sumber ilmu; iaitu al-Qur’an dan Sunnah. Sedikit pengorbanan masa dan tenaga, akan memberi faedah yang besar kepada kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
                             
Az-Zumar 17-18: dan orang-orang yang menjauhi dirinya daripada menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu - yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

No comments: