Sunday, January 24, 2010

Isu Kalimah Allah: Menjernihkan Kekeliruan

[tidak berniat untuk memanjangkan kekliruan dan banyak pendapat terhadap isu ini, cuma untuk memperbanyakkan suara-suara yang tidak rela nama Allah dipermainkan, diduakan apatah lagi untuk ditigakan.

juga nota ini ditulis tanpa berpeluang untuk membuat pembacaan yang mendalam terhadap isu ini serta penyusunan penulisan yang berkesan serta baik - masa sangat mencemburui diri ini]


Isu ini timbul apabila pihak gereja di Malaysia (khususnya melalui penerbitan mereka, Herald-The Catholic Weekly) ingin menterjemahkan perkataan God didalam agama mereka sebagai "Allah".

Isu ini menjadi semakin mengelirukan apabila umat Islam sendiri mempunyai berbagai pendapat yang saling bertentangan. Kepada yang bersetuju, mereka berpendapat kalimah tersebut telah digunakan oleh bukan Islam semenjak sebelum kedatangan Rasulullah saw. lagi serta telah digunakan secara meluas oleh penganut-penganut Kristian di Sabah dan Sarawak. Mereka juga berpendapat bahawa inilah ruang dakwah untuk mengajak orang bukan Islam kepada mengenali Allah yang esa, sebagaimana yang diajar oleh agama-agama samawi.

Kepada golongan yang menentang kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam di Malaysia ini, mereka berpandangan bahawa kepada Islam “Allah” adalah adalah satu kalimah yang maha kudus, merujuk kepada Tuhan yang satu, Dia-lah permulaan dan Dia-lah akhiran, tiada sesuatupun yang menyamai-Nya, dan Dia-lah segala-galanya – tiada tuhan lain melainkan Dia. Lagi pun, kalimah Allah tidak digunakan dalam kitab-kitab Kristian kecuali beberapa tahun kebelakangan ini apabila penerbitan-penerbitan mereka hendak menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu.

Mungkin (saya perlu lebih memperbetulkan fakta berikut) ada konteks tertentu yang membolehkan kita berdalil bahawa Islam membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada penganut agama lain. Contohnya, kalimah ini telah digunakan oleh penganut bukan Islam sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw. Selepas Rasulullah saw menjadi Rasul dan Islam telah kuat, tidak jelas adanya larangan mutlak penggunaan kalimah tersebut oleh penganut agama lain. Namun saya kira konteksnya sangat berbeza dengan Malaysia dan dari aspek kesejahteraan rakyat Malaysia serta keharmornian perhubungan antara agama, larangan penggunaan sangatlah tepat. [justeru, saya kira tidaklah boleh kita mengkafirkan orang yang membolehkan kalimah Allah digunakan dalam agama lain]

a) Dalam kitab-kitab asal agama Kristian yang sampai ke Malaysia semenjak awal kedatangannya, di dalam bahasa Latin, ianya langsung tidak menggunakan kalimah Allah. Malah mereka menggunakan istilah-istilah seperti El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh. Kemudian apabila mereka menterjemahkan kitab-kitab mereka ke dalam Bahasa Inggeris, mereka juga tidak langsung menggunakan kalimah Allah, malah menterjemahkan sebagai “God”.

b) Di Malaysia, “Allah” telah semakin sebati dikalangan penganut-penganut agama Islam sebagai Tuhan yang satu-satu-Nya, tiada yang lain melainkan-Nya, maha berkuasa, maha sempurna, tiada yang menyamai-Nya dan tiada yang boleh disamai dengan-Nya. Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Namanya, tidak boleh ditukar-tukar, ianya adalah nama khas, nama yang tidak ada ‘root word’, ianya telah digunakan semenjak kewujudan manusia pertama lagi, Nabi Adam dan Hawa (malah itulah nama yang digunakan Allah semenjak azali). Justeru untuk menggunakan “Allah” dalam konteks nama-nama am, menamakan rumah ibadat mereka sebagai rumah “Allah” (sebagai contoh), menyifatkan Allah dengan berbagai sifat sebagaimana yang difahami dalam agama mereka, apatah lagi mendua atau men-tigakan “Allah” (menyifatkan “Allah” sebagai tuhan bapa, sebagai contoh), sangat-sangat menguris hati serta sensitiviti umat Islam.

c) Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik. [dipetik daripada, http://www.wadah.org.my/kenyataan-media/54-info-wadah.html - “KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH: SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN” oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)]

d) Justeru, dalam situasi tiada keperluan mendasar untuk penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah sebagai tuhan mereka dan sensitiviti umat Islam yang memuncak kepada penggunaan Allah dalam merujuk kepada selain daripada yang difahami oleh Islam, pihak penganut Kristian tidak perlu berterusan meningkatkan provokasi. Lagipun hanya minoriti daripada penganut Kristian yang ingin menggunakan kalimah “Allah” untuk merujuk kepada tuhan apabila menggunakan Bahasa Malaysia.

e) Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. [dipetik daripada, http://www.wadah.org.my/kenyataan-media/54-info-wadah.html]. Sebagai contoh, lihat apa sudah terjadi kepada kalimah “jihad”, satu kalimah yang suci dalam Islam dan menjadi tuntutan yang besar kepada umat Islam. Kalimah yang sebenarnya lebih berupa kesungguhan umat Islam dalam mempertahankan hak, jauh daripada sifat zalim dan khianat, sekarang telah menjadi istilah teroris dan ekstrim. Akhirnya umat Islam sudah ketandusan jiwa jihad malah sesetengahnya takut hendak menggunakan istilah tersebut.

f) Penganut-penganut Islam di Malaysia memiliki sifat tolenrasi yang sangat tinggi, sebagaimana yang diajarkan agama Islam, telah membolehkan penganut-penganut agama lain mengamalkan ajaran-ajaran agama mereka dengan selesa dan merasai keadilan dalam beragama, walaupun kedudukan Islam mendapat tempat istimewa dalam perlembagaan. Justeru, penganut Kristian seharusnya membalas budi baik tersebut dengan menarik semula tuntutan untuk menggunakan kalimah “Allah”, apabila menggunakan Bahasa Malaysia.


Beberapa catatan tambahan:


1) Sebahagian daripada kekeliruan timbul kerana tidak berupaya melihat isu ini daripada aspek asasnya. Contohnya, sebahagian daripada masyarakat keliru apabila melihat UMNO begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan isu ini, sedangkan dalam banyak kes survival agama Islam yang lain, kesungguhan itu amat mendukacitakan. Justeru, mereka menganggap kes ini “dicipta” (apatah lagi kebetulan terdapat beberapa kes “high profile” yang mengacam sokongan UMNO/BN, seperti kes kehilangan enjin jet pejuang F5). Lalu mereka menganggap isu ini telah diadakan-adakan dan tidak berupaya melihat keseriusan isu serta kesan buruk kepada umat Islam di Malaysia.

2) Pihak Pakatan Rakyat pula menggunakan pendekatan “play safe” dan pada masa yang sama cuba memprojeksi diri sebagai golongan yang mencari penyelesaian dengan kaedah berdialog. Setakat ini pendekatan tersebut berjaya. Namun, akan ada beberapa implikasi tambahan:

i. Pakatan mesti berhati-hati agar tidak terperangkap dengan pendirian membenarkan penggunaan kalimah Allah secara terhad (hanya dikalangan penganut agama itu sendiri dan tidak menyalahgunakan nama Allah untuk mengelirukan) kerana ianya mungkin difahami kepada penyokong-penyokongnya bahawa Pakatan menyokong penggunaan kalimah Allah secara terbuka.
ii. Tidak strategik untuk mengungkapkan sokongan secara terhad ini dalam jangka masa panjang kerana majoriti orang Islam akan menganggap Pakatan tidak mempertahankan Islam dan lebih bersikap bermuka demi meraih undi.
iii. Pada jangkamasa pendek, UMNO mengalami sedikit setback apabila kelantangannya memperjuangkan isu ini telah mengalami masalah apabila terdapat unsur-unsur ekstrimis yang seolah-olah menyahut keagresifan mereka memperjuangkan isu ini. Apabila timbulnya unsur-unsur pembakaran gereja misalnya, telah menyebabkan pihak BN terpaksa ‘memperbetulkan keadaan’.
iv. Kedua-dua pihak perlu ikhlas dan melihat isu dari aspek maslahah kepada umat Islam. Secara jangka masa panjang perjuangan isu ini perlu jelas ke arah itu.
v. Memperjuangkan isu ini tidak sekali-kali dalam kerangka memusuhi agama lain. Apatah lagi menggunakan pendekatan membakar gereja serta mencerca agama lain. Ianya bukan ajaran agama Islam. Pendekatan dialog lebih harmoni dalam usaha mempertahankan hak Islam.

3) NGO Islam seharusnya menggunakan kesempatan ini. Selain daripada mempertahankan agar kekuatan akidah umat tidak ‘tercair’ oleh pengistilahan-pengistilahan yang mengelirukan, ianya juga harus menjadi landasan untuk memperteguhkan akidah umat. Siri-siri penerangan @ penjelasan perlu disekalikan dengan tarbiyyah memperkasakan aqidah umat.

4) Dalam situasi terdapat kepelbagaian pendapat, khususnya yang saling mengelirukan, umat perlulah kembali kepada al-Qur’an atau as-sunnah. Sekurang-kurangnya kita perlu kembali kepada pihak-pihak yang ada autoriti agama. Mungkin asas yang perlu kita sepakati (dikalangan orang awam) adalah fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa Malaysia. Berikut adalah rumusan muzakarah majlis fatwa terhadap isu ini;

i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

ii. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika ada ketidaksetujuan dengan keputusan muzakarah majlis fatwa, kita perlulah tidak bersetuju secara cermat. Kehormatan muzakarah majlis fatwa perlu terus dijaga agar umat Islam terus menghormati badan-badan berotoriti dalam agama.

No comments: