Monday, May 4, 2009

Islam dan Budaya Membaca

Sebagaimana kita semua maklum bahawa ayat pertama yang diturukkan adalah iqra’ (bacalah).

Justeru, umat Islam seharusnya unggul kerana berbudaya membaca setelah mendapat perintah secara langsung daripada Allah melalui firmanNya, “Bacalah!”.

Seharusnya juga kita sentiasa ingat betapa pentingnya membaca dan ketinggian ilmu yang bakal kita perolehi daripadanya,

     
Al-Qalam 1: Nuun. Demi pena dan apa yang mereka tulis.


Kelebihan Membaca

Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni ialah seorang penulis prolifik dan popular yang telah mengarang banyak buku termasuk buku terlarisnya, “la tahzan” (jangan bersedih). Dalam bukunya yang bertajuk “Aku, Buku dan Cinta”, beliau telah mengungkapkan pengalaman peribadinya terhadap kelebihan serta kecintaannya dalam membaca,


Ada sebuah perjalanan panjang yang menemani perjalanan buku ini. Saya mendakapnya di atas dada, membiarkannya tidur di atas lengan dan merangkulnya dalam pelukan. Ia berbicara dan membuat saya senang, sedih, tertawa dan bahkan menangis. Ia menghembuskan kata-katanya ke dalam jiwa saya dan saya pun tak dapat melupakannya. Ia merupakan teman yang paling setia, paling dekat dan merupakan penghantar yang terindah. Bersamanya pula, saya lupa akan segala kesulitan, duka cita dalam hidup dan seharian yang dipenuhi kekeruhan. Ia membalut luka, pelipur lara, meringankan penderitaan, mengusir kesepian dan menghilangkan rasa jenuh saat saya sedang bersendirian. Ia menjadi pengganti dari semua orang yang telah pergi meninggalkan saya, Ia boleh menjauhkan saya dari semua perkara yang tidak menyenangkan. Ia memperbanyakkan masa umur saya dengan banyak faedah, kesaksian dan kisah-kisah jenaka. Bersamanya juga, saya laksana berada di sebuah taman yang rendang, kebahagiaan yang besar, kumpulan orang-orang yang menyenangkan, percakapan yang menarik dan munajat yang tulus. Bersama dengan buku ini pula, akal saya menjadi tumbuh, jiwa saya menjadi bersih, keyakinan dan kepercayaan saya bertambah. Saya terus mengulangi kata-katanya, membolak-balik rahsianya, berjalan di sela-sela kebunnya. Saya tidak pernah jemu dengan ucapannya dan juga tidak pernah letih menemaninya. Saya hilangkan beban berat antara kami berdua dan hubungan kami pun semakin erat. Ia menyimpan rahsia saya, meringankan beban, menyokong pendirian, membantu saya – insyaAllah - dalam segala urusan.

Di saat engkau berduaan dengan sebuah buku, maka zaman pun akan menjadi singkat. Masa akan hadir di depanmu. Pelajaran-pelajaran akan datang mendekati. Nasihat yang menyentuh dan pengalaman-pengalaman akan datang untuk menambahkan semangatmu. Keajaiban akan datang dan membuatmu kagum. Perahlah ilmu dari dalam buku. Di dalamnya terdapat istana pemikiran. Pemilik buku lebih kaya daripada Qarun, lebih kuat daripada tentera al-Nu’man, lebih baik daripada al-Baramikah (para menteri yang ada di zaman Khalifah Harun al-Rashid). Orang yang dekat dengan kertas lebih baik hidupnya daripada seorang pemabuk. Orang yang mempelajari sejarah lebih mulia daripada orang yang hanya mendengarkan irama. Berteman dengan buku boleh memelihara seseorang daripada kesesatan para penguasa, boleh melindunginya daripada omong kosong orang-orang yang zalim. Berteman dengan buku juga boleh menjagamu daripada pengaruh orang yang zalim, juga boleh menjagamu daripada celaan orang yang dengki. Oleh itu, saya mengajak kepada anda untuk lebih banyak membaca, banyak bermutala’ah, banyak menengok buku-buku karangan para ulamak. Apalah erti hidup ini tanpa ada buku? Tengoklah sejarah masa lampau. Berapa banyak negeri yang telah hancur, berapa ramai raja yang telah binasa, berapa banyak bangunan yang kini tinggal runtuhannya sahaja? Semuanya kini telah sirna. Tetapi, cubalah lihat ilmu! Adakah ia binasa bersama dengan masa? Sampai sekarang, buku-buku yang mengandung ilmu masih tetap utuh. Tengoklah para nabi, adakah mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mahu mengambilnya, maka berbahagialah dalam hidupnya!

Saya memperhatikan banyak perkara yang terjadi pada saya dan juga banyak pengalaman yang saya peroleh. Semuanya terjadi kerana bimbingan daripada Allah swt sehingga saya boleh menelaah buku. Banyak keanehan, keajaiban, pengalaman dan bencana yang telah saya lalui. Berabad-abad zaman seakan-akan digulung di depan saya seperti menggulung lembaran catatan. Saat membaca, sepertinya banyak sekali bangsa-bangsa yang dikumpulkan di satu tempat di hadapan saya. Wahai orang yang diberi kesabaran untuk menyediri dan diberi kemudahan untuk memasuki pintu ilmu pengetahuan. Wahai orang yang setia bersahabat dengan buku, jangan pernah menyesal apa yang telah pergi! Orang yang merasakan manisnya menyendiri bersama buku, tidak akan menerima sesuatu apapun sebagai ganti daripada buku. Ia takkan sudi menukarnya meskipun diberikan kerajaan Parsi dan Rom.


Ulama dan Kecintaan Terhadap Membaca

Dr. ‘Aidh juga menulis tentang kesungguhan yang tinggi para alim-ulama kita serta kecintaan mereka terhadap membaca,

Imam Ibn al-Jauzi rahimahullah pernah bercerita tentang pengalamannya dalam menuntut ilmu, “Selama hidupku, aku belum pernah merasa puas dalam mengkaji kitab-kitab keilmuan. Bila aku bertemu dengan kitab-kitab yang baru aku lihat, aku merasa sedang terjatuh ke dalam sumur yang penuh dengan permata yang mahal. Aku pernah membaca kitab-kitab yang dibahagikan kepada madrasah-madrasah yang ada di negeriku. Kitab-kitab itu jumlahnya mencapai enam ribu jilid. Aku juga pernah membaca seluruh kitab karangan Abu Hanifah, Imam al-Humaidi, Syeikh Abdul Wahhab bin Nasir dan Abu Muhammad bin al-Khasysyab. Kitab-kitab itu jumlahnya berkarung-karung. Dan masih banyak lagi kitab-kitab lain yang aku telah baca. Andai aku boleh membaca dua puluh ribu jilid, tentulah itu akan lebih bagus lagi”.

Ibn ‘Aqil bercerita: “Aku berusaha sekuat tenagaku memangkas waktu kesibukanku yang lain. Demi menjaga waktu agar dapat membaca lebih banyak, aku rela meninggalkan roti dan hanya makan manisan dengan segelas air. Ini kerana bila aku makan roti, maka banyaklah masaku yang terbuang.”

Al-Hafiz Abu Tahir bin Abu Shaqr diceritakan sebagai seorang yang suka mengembara demi ilmu. Dia pernah berkata: “Bukuku ini lebih berharga daripada emas, walaupun emas itu seberat buku-buku ini.”

Dikatakan bahawa Abu al-Barakat bila setiap kali hendak masuk ke dalam tandas, dia selalu berkata kepada anaknya: “Tolong bacakan buku ini dan kencangkan suaramu agar aku boleh mendengarnya!”

Al-Mustanshir Billah Abu al-‘Ash al-Hakam bin ‘Abdurrahman al-Umawi adalah seorang yang mempunyai sejarah hidup yang baik, rajin mutala’ah dan mempunyai banyak buku yang jarang dijumpai, sama ada buku tentang kebaikan mahupun sebaliknya. Jumlah buku yang dimilikinya sekitar dua ratus ribu bundal. Dia rela menjual seluruh emasnya hanya untuk membeli buku, sehingga simpanan wangnya habis langsung. Dia tidak menemukan kenikmatan melainkan dengan meletakkan seluruh hartanya terhadap buku.

Imam Tsa’lab pula tangannya tidak pernah kosong daripada buku. Ke mana pun pergi, dia selalu membawa buku-buku dia. Apabila ada jemputan daripada orang lain, dia selalu meminta agar mereka memberikan tempat secukupnya untuk menempatkan buku-bukunya.

Ibnu al-Juham berkata, “Apabila aku mengantuk sedangkan belum tiba waktu untuk tidur, maka aku terus mengambil buku dan membacanya. Saat membaca, aku merasakan hatiku bergoncang dan seronok kerana telah mendapatkan apa yang kucari. Semangat yang kurasakan ketika membaca adalah semangat yang boleh membangunkan tidurku. Ia melebihi ringkikan seekor keldai dan juga melebihi bunyi pukulan tukul yang jatuh menimpa dinding bangunan.”

Al-Hafiz Abdul Gani al-Maqdisi telah mengalami penyakit mata kabur kerana dikatakan dia sering membaca dan menangis. Maka tidak hairanlah bahawa pada zamannya hanya dia satu-satunya ulamak yang paling pandai dalam ilmu hadis.

‘Abdullah bin Ahmad atau Ibn al-Khassyab adalah seorang ulamak pakar nahwu. Pada satu hari beliau ingin membeli buku yang berharga lima ratus dinar. Padahal pada waktu tersebut dia tidak mempunyai apa-apa. Kemudian, dia minta kepada penjual buku itu agar menunggunya selama tiga hari. Keesokkan harinya, Ibn al-Khassyab pun menjual rumahnya. Dia menawarkan rumah itu seharga lima ratus dinar. Setelah rumah itu laku dan memiliki wang sebanyak lima ratus dinar, maka pergilah dia kepada penjual buku tempoh hari dan akhirnya, barulah dia mendapat buku-buku itu.

No comments: