Monday, May 4, 2009

Teladan daripada Salehudin al-Ayubi dan Sultan Muhammad al-Fateh

Tertarik membaca dua buku Novel Sejarah Islam oleh Abdul Latip Talib keluaran PTS Publication...

Salahudin Ayubi: Penakluk Jerusalem

Barangkali antara kisah paling menarik selepas zaman Sahabat daripada aspek menunjukkan jati diri sebenar seorang Islam adalah berkenaan dengan kepahlawanan Salahudin Ayubi. Dalam usahanya membebaskan Jerusalem serta mendapatkan kembali masjid al-Aqsa, masjid ketiga tersuci dalam Islam, beliau tidak melakukannya secara zalim. Malah keperibadian Islamnya yang adil, tidak membalas dendam dan berjuang hanya kerana Allah serta hanya berharap keredhaan-Nya begitu terserlah semasa melakukan usaha-usaha jihad tersebut.

Banyak buku yang membicarakan keperibadian Islamiknya yang unggul. Antaranya adalah siri novel sejarah Islam, “Salahudin Ayubi: Penakluk Jerusalem” yang dikarang oleh Abdul Talip Latib. Di dalamnya digambarkan bagaimana syaksiyah Islamiyyah terserlah tatkala banyak berlembut serta membebaskan ramai tawanan tentera Salib. Katanya, “Kita berjuang kerana Allah, namun mereka berjuang umpama syaitan” (kita tidak perlu turut mengikut cara kezaliman mereka).

Sejarah banyak merakamkan kezaliman tentera bukan Islam terhadap Islam apabila berperang. Sebahagian kezaliman itu langsung tidak ada keperimanusiaan dan ianya menghairankan kita terhadap ajaran agama mereka. Contohnya, apabila tentera Salib menawan Kota Jerusalem pada tahun 1099 Masehi, mereka telah melakukan kezaliman terhadap tawanan perang dengan begitu menyayat hati. Mereka telah membunuh hampir kesemua penduduk yang beragama Islam, termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak. Pembunuhan kejam itu dilakukan selama seminggu sehingga tidak ada lagi penduduk Islam di Kota Jerusalem yang terselamat.

Menurut Ibnu Khaldun, seorang sejarawan Islam, “Tentera Salib yang ganas dan kejam itu telah mengganas di Baitul Maqdis selama seminggu. Mereka melakukan rompakan, perkosaan dan membakar rumah penduduk-penduduk. Apabila dihitung jumlah mayat di sekitar masjid, dalam rumah dan di sepanjang jalan, jumlahnya tidak kurang tujuh puluh ribu orang.” Malah, kezaliman tersebut turut disinggung oleh orang bukan Islam. Misalnya Gustav Le Bon menulis, “Kaum Salib kita yang mengaku kuat berugama itu tidak cukup melakukan kerosakan dan kezaliman kepada umat Islam. Bahkan mereka sudah bermesyuarat dan mengambil keputusan yang seluruh penduduk Baitul Maqdis dibunuh. Korban kekejaman itu bukan sahaja kepada orang Islam bahkan juga orang Yahudi dan Kristian yang enggan bekerjasama dengan mereka bagi melakukan tindakan yang kejam itu. Akibat kekejaman itu, kira-kira enam puluh ribu orang dibunuh selama lapan hari lapan malam sehingga tidak ada lagi yang selamat.”

Namun, sebagai seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama dan jelas tentang suruhan agamanya, Salahudin tidak mengambil sikap berdendam. Walaupun beliau mendapat banyak ‘peluang keemasan’ dan mengetahui kezaliman maha dasyat tentera Salib, beliau tetap melakukannya menurut garis panduan agama. Contohnya, selepas mengalahkan tentera Salib dalam perang di Bukit Hittin dan mendapat tawanan perang yang sangat ramai, termasuk panglima serta musuh utamanya, iaitu Birnis, beliau terlebih dahulu mengarahkan tentera-tentera yang tercedera dirawat. Rawatan tersebut juga diberi kepada tawanan perang yang tercedera. Malah kepada musuh utamanya Birnis, beliau mengarahkan diberi air terlebih dahulu akibat kedahagaan yang amat sangat semasa perang.

Beliau amat menyedari kezaliman tentera Salib. Semasa hampir berjaya menakluk Kota Jerusalem dan pihak musuh mengusulkan pendamaian, beliau memberitahu kepada wakil tersebut, “Tentera Salib merampas Jerusalem dengan kekerasan dan membunuh semua tentera Islam yang menyerah. Mereka juga menganiayai kanak-kanak dan memperkosa wanita-wanita Islam lalu membunuhnya. Mereka menjadikan kanak-kanak kami sebagai barang mainan. Mereka lambung anak-anak kecil itu ke udara kemudian tadahkan dengan tombak ataupun pedang sehingga tubuh anak-anak yang tidak berdosa itu berkecai”. Semasa menyatakan hal tersebut, air mata berlinangan di pipinya membayangkan rasa sedihnya terhadap kezaliman pihak musuh.

Banyak ketikanya, tentera Islam telah menunjukkan sikap yang sangat baik. Contohnya, semasa ingin menawan kota Kark, Raja Reymond salah seorang pemerintah musuh yang belot telah membantah serangan tersebut kerana dibimbangi membahayakan nyawa orang-orang perempuan dan kanak-kanak. Namun, Raja Reymond telah diyakinkan, “Tentera Islam dididik dengan disiplin yang tinggi dan mereka tidak membunuh kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua. Tentera Salib sahaja yang sanggup membunuh mereka.”

Pada contoh yang lain, iaitu semasa menakluk kota Tabariyah dan salah seorang tawanannya adalah isteri Raja Reymond sendiri. Penulis Abdul Talip Latib telah menggambarkan peristiwa berikut melalui dialog diantara Salahudin dan isteri Raja Reymond seperti berikut,

“Mengapa puan berada di kota ini dan tidak tinggal di Jerusalem?” tanya Sultan Salahudin bin Ayubi.

“Raja Jerusalem menghadiahkan kota ini kepada suami saya sebagai balasan dia kembali ke pangkuan kami. Sekarang semuanya sudah tidak bermakna kerana kota ini akan dimusnahkan dan saya menjadi tawanan,” jawab isteri Raja Reymond.

“Suami saya amat mencintai saya dan tidak mahu kami berjauhan. Dia menempatkan saya di sini kerana yakin tempat ini selamat. Sekarang saya menjadi tawanan perang dan tuan boleh lakukan apa sahaja kepada diri saya,” katanya lagi.

“Suami puan pernah menjadi sahabat saya. Dia pernah bergabung dengan kami menyerang wilayah Kark. Disebabkan itu saya tidak apa-apakan puan. Puan selamat berada dalam jagaan tentera Islam,” kata Sultan Salahudin bin Ayubi.

“Tuan lebih baik daripada suami saya. Dia jadikan wanita cantik yang ditawan sebagai pemuas nafsunya apabila berjaya mengalahkan musuh, namun tuan sebaliknya. Inilah yang membezakan tuan dengan suami saya.”

“Saya berperang bukan kerana pangkat ataupun mahukan harta dan perempuan cantik, tetapi kerana mencari keredhaan Allah, menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman. Kami juga bertanggungjawab menyebarkan syariat Tuhan di muka bumi ini.”



Begitulah juga pada masa yang lain ketika hendak menembusi satu kubu besar musuh yang sangat kukuh. Setelah diselidiki, tentera Islam mendapati ada satu saliran air yang memasuki kubu tersebut dan ianya digunakan oleh tentera musuh sebagai bekalan air ke dalam kubu. Apabila timbul satu cadangan agar air tersebut diracuni yang akhirnya akan mengakibatkan banyak pihak musuh mati dek terminum air tersebut, ianya telah dibantah keras oleh Salahudin. Menurut Salahudin, Islam melarang meracuni air untuk mematikan musuh. Lalu dicari idea lain. Akhirnya mereka mendapat idea untuk mengalirkan air tersebut ke tempat lain dengan cara membuat satu saluran baru. Dengan itu, musuh terpaksa menyerah diri kerana tidak mendapat bekalan air.

Begitulah jati diri orang Islam yang sebenar. Sahabat Salahudin, Bahaudin, menulis satu kesimpulan menarik tentang perkara ini,

“Sifat penyayang dan belas kasihan tentera Islam semasa menawan Jerusalem jauh berbeza dengan tentera Salib. Salahudin menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya amat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan sehinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Jalan-jalan dipenuhi mayat ketika tentera Kristian menawan Baitul Maqdis buat kali pertama pada tahun 1099. Orang-orang Islam yang tidak bersenjata dibunuh sesudah diseksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat oleh tentera Kristian. Darah orang Islam tersimbah ke bumi ketika tentera Kristian memasuki Jerusalem, namun tiada setitik darah orang Kristian tumpah semasa tentera Islam menawannya.”




Kisah Sultan Muhammad Al-Fateh
Begitu juga dengan kisah jati diri keislaman Sultan Muhammad Al-Fateh. Beliau adalah pemerintah empayar Usmaniah dan telah memerintah sebanyak 25 buah negeri semasa kemuncak kegemilangannya. Beliau telah dilahirkan pada 29hb. Mac 1432 dan mangkat pada 3hb. Mei 1481, iaitu pada usia 49 tahun.

Pada masa tersebut, kota Konstantinopel menjadi kota rebutan, khususnya kerana kedudukan yang strategik. Sehinggakan ada yang mengatakan bahawa jika dunia ini mempunyai ibu negeri, maka kota Konstantinopel-lah ibu negerinya.

Rasulullah saw juga pernah bersabda bahawa pada suatu hari Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan orang Islam. Menurut Baginda, ianya hanya akan jatuh ke tangan Islam apabila ianya berketuakan seorang ketua yang baik, tenteranya baik dan rakyatnya juga baik. Justeru, di sepanjang lipatan sejarah, beberapa pemimpin Islam telah mencuba untuk menakluk Kota tersebut. Antaranya adalah Sayyidina Ali ra, Sayyidina Muawiyah ra, Khalifah Harun al-Rasyid dan ramai lagi, namun tidak berjaya.

Pada tahun 1453 Masehi, semasa kota Konstantinopel diperintah oleh pemerintahan Rom, ianya telah jatuh ke tangan orang Islam di bawah pemerintah Sultan Muhammad Al-Fateh. Sebagaimana dengan Salahudin Ayubi, pemerintah Islam ini telah memperlakukan para tawanan perang dengan baik. Walaupun mereka amat menyedari bahawa pihak musuh tidak pernah ada belas kasihan kepada tawanannya tatkala berkuasa.

Kebaikan Sultan Muhammad Al-Fateh ini telah digambarkan oleh Abdul Latip Talib dalam siri Novel Sejarah Islamnya yang bertajuk, “Sultan Muhammad Al-Fateh: Penakluk Konstantinopel”,

“Tuanku, semua tawanan perang dan penduduk kota Konstantinopel sudah berkumpul di kawasan lapang. Kami menunggu hukuman daripada tuanku,” kata Panglima Sulaiman Oglo.

“Saya bertemu mereka sebentar lagi,” kata Sultan Muhammad al-Fateh.

Baginda teringat kisah penaklukan kota Mekah pada zaman Rasulullah saw. Orang-orang Quraisy yang sekian lama memusuhi serta memerangi baginda dikumpulkan di depan Kaabah. Mereka menunggu hukuman yang bakal dijatuhkan oleh Rasulullah saw sambil menangis. Kini perkara yang sama berlaku di kota Konstantinopel. Tentera Rom dan mereka yang selama ini memusuhi dikumpulkan. Mereka juga sedang menunggu hukuman yang bakal dijatuhkan.

“Ya Allah, berikan aku petunjuk. Apakah hukuman yang paling baik aku jatuhkan ke atas mereka.” Bisik hatinya.

Kemudian Sultan Muhammad al-Fateh melangkahkan kakinya ke kawasan lapang di mana para tawanan perang dikumpulkan. Melihat kedatangan baginda, para tawanan itu menangis kerana menyangka hukuman mati bakal dijatuhkan ke atas mereka.

“Maharaja Konstantine mengatakan kota Konstantinopel tidak mungkin jatuh ke tangan musuh selagi ada matahari dan bulan. Tetapi hari ini ternyata kata-kata itu dusta belaka. Kota Konstantinopel yang menjadi kebanggaan kita jatuh ketika matahari sedang terbit,” ratap salah seorang daripada mereka.

“Pada hari ini kita bakal dijatuhkan hukuman mati. Darah kita disimbah ke bumi. Kemudian mayat-mayat kita dibiarkan supaya dimakan oleh anjing dan burung. Alangkah malangnya nasib kita,” balas yang lain pula.

Namun Sultan Muhammad al-Fateh bukanlah seorang pemimpin yang kejam ataupun tidak bertimbang rasa. Walaupun baginda tahu tentera Rom banyak menyebabkan kematian terhadap tentera Islam dan penduduk kota itu pula memberi bantuan namun baginda mahu mencontohi apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw ketika menakluk kota Mekah. Sultan Muhammad al-Fateh berdiri di depan para tawanan lalu berkata, “Hari ini adalah hari kemenangan kepada kami, umat Nabi Muhammad saw. Kamu sudah menjadi hina dengan kekalahan ini. Sesungguhnya apabila datang yang hak lenyaplah yang batil. Apabila datang kebenaran, lenyaplah kemungkaran. Apabila datang keadilan, lenyaplah kezaliman. Sesungguhnya kami datang kepada kamu membawa yang hak. Kami membawa cahaya kebenaran dan kami menegakkan keadilan. Percayalah tidak ada sesiapa yang dianiayai pada hari mulia ini.”

Salah seorang tawanan bangun lalu berkata, “Tuanku seorang yang baik dan berhati mulia. Semoga pada hari ini kami mendapat manfaat daripada kebaikan tuanku. Maafkanlah kesalahan kami kerana kami rakyat biasa yang terpaksa mengikut arahan maharaja.”

Sambil tersenyum Sultan Muhammad al-Fateh pun bertanya, “Tahukah kamu apa hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas kamu?”

“Tuanku seorang pemimpin yang baik. Pasti tuanku memaafkan kami,” jawab mereka.

“Sekiranya kami bukan umat Nabi Muhammad saw nescaya pada hari ini kepala kamu bercerai dari badan. Kalaulah kami bukan umat Islam nescaya pada hari ini darah kamu mengalir bagaikan sungai. Anak-anak gadis kamu diperkosa dan anak-anak kamu dibakar hidup-hidup. Tetapi agama Islam melarang kami berlaku zalim. Kami disuruh mencontohi pemimpin kami yang mulia, Nabi Muhammad saw kerana baginda sebaik-baik pemimpin yang mesti kami contohi,” kata Sultan Muhammad al-Fateh.


Bukan sahaja mereka dibebaskan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, malah mereka turut dibenarkan memilih seorang ketua di kalangan mereka. Ketua tersebut diberi taraf seorang menteri untuk menjaga hal-ehwal kaum Kristian. Mereka langsung tidak dipaksa untuk menganut agama Islam, malah dibenarkan beribadat di dalam gereja-gereja mereka sebagaimana biasa.

1 comment:

myGG2u said...

kedua-2 buku ini aku dah beli n baca.... rekemen..