Sunday, December 21, 2008

KEBAJIKAN MUALAF: MEMBINA WAJAH KEPRIHATINAN ISLAM

Ketika singgah di Bank Islam Jitra pagi tadi, ada seorang perempuan tua India berpakaian lusuh seperti seorang pengemis menghampiriku. Beliau memberi salam sambil merayu-rayu untuk diberi sedikit sumbangan kepadanya, katanya beliau orang Islam.

Katanya penglihatannya sudah kabur dan suaminya pula tidak dapat berjalan dengan elok (sebenarnya pertuturannya tidak berapa jelas, loghat Bahasa Melayunya agak sukar difahami). Bunyi macam mereka tinggal secara merempat (sekali lagi tidak berapa jelas). Aku cuba minta alamatnya, beliau dalam kepayahan menerangkan tempat tinggalnya, yang tidak juga difahamiku.

Aku memaklumkan bahawa aku mengetahui, satu pusat khidmat saudara baru yang mungkin boleh membantu mereka dengan lebih baik. Namun, beliau seperti tidak percaya boleh mendapat bantuan. Mungkin akibat pengalaman sebelum ini atau sememangnya bantuan segera agak sukar diperolehi kerana jabatan-jabatan tertentu mempunyai prosedur-prosedur tertentu untuk memberi bantuan.

Akhirnya, aku memberi sedikit sumbangan dan memberi satu kertas penerangan berkenaan Pusat Khidmat Saudara Baru dan memaklumkan kepadanya bahawa beliau boleh menghubungi Pusat tersebut jika perlu bantuan (sebenarnya dia tidak tahu membaca dan menulis). Justeru, aku memaklumkan kepadanya untuk minta bantuan sesiapa untuk membaca kepadanya. Beliau dengan bersungguh-sungguh memberitahu bahawa suaminya boleh membaca.

Oleh kerana aku agak tergesa-gesa untuk ke pejabat, aku menefon rakan di Pusat Khidmat untuk mencari perempuan tersebut di sekitar bank tersebut (pada masa aku sedang menelefon, kelibat perempuan tersebut sudah tidak kelihatan). Sempat ku bertanya sebelum itu, katanya namanya Siti Faridah dan suaminya Mohd Ali.

Begitulah nasib seorang mualaf… Sama ada sistem sokongan kita lemah, mualaf tersebut tidak berinisiatif, atau masyarakat kadang-kadang cemuh melihat seorang yang meminta-minta (ini kali kedua aku melihatnya di Bank Islam Jitra) atau apa sahaja. Agak banyak juga kes yang tidak genuine, mereka mengambil kesempatan atas keIslaman mereka. Namun, aku kira banyak juga kes yang genuine, yang sangat memerlukan keprihatinan kita semua, tetapi kita membiarkannya. Kadang-kadang kita membiarkannya kerana kita ragu-ragu ‘ke-genuine-an kes’ tersebut. Sedangkan kita mungkin perlu bermula dengan rasa bertanggungjawab untuk menyantuni saudara baru, saudara kita seIslam. Pada masa yang sama perlu ada kewaspadaan. Atau mungkin kita boleh memperkasakan institusi sokongan saudara baru, untuk mereka membela dengan berkesan saudara kita ini.

Di bawah adalah, bahan Pusat Khidmat Saudara Baru yang dikeluarkan oleh Pusat tersebut,

**************

$yJ¯RÎ) â‘É‹Yè? Ç`tB yìt7©?$# tò2Ïe%!$# zÓÅ´yzur z`»uH÷q§9$# Í=ø‹tóø9$$Î/ ( çn÷ŽÅe³t6sù ;otÏÿøóyJÎ/ 9ô_r&ur AOƒÍŸ2 ÇÊÊÈ
Yasin 11. Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang Engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.



Pernah saya diperkenalkan dengan seorang pemuda melayu yang berumur di awal
20-an. Orang yang memperkenalkan kepada saya adalah seorang saudara
baru. Katanya, pemuda tersebut baru sahaja memeluk Islam. Sangat
terkejut mendengar perkara tersebut kerana pemuda itu sememangnya orang
melayu. Katanya semasa pemuda itu kecil, ayahnya memberikan pemuda itu
kepada keluarga bukan Islam (mungkin kejahilan akibat desakan kemiskinan
hidup). Lalu agamanya juga mengikut agama keluarga angkat tersebut.
Apabila mendapat hidayah beliau telah memeluk Islam semula.



Sekarang beliau menjadi sebatang kara, keluarganya angkatnya telah tidak
menerimanya. Apabila memeluk Islam, tiada yang menyambutnya. Lalu
beliau ‘merempat’ tidak tentu arah. Lelaki mualaf yang memperkenalkan saya
kepada pemuda itu memberitahu sesuatu yang sangat mengesankan hati saya dan
menginsafkan kelemahan kita, katanya, “Saudara baru ini, bukan macam anak
kucing yang kita harus biarkan merempat begitu sahaja…”



Kes Fatimah Tan Abdullah sesungguhnya harus menjadi ikhtibar dan rasa pertanggungjawaban yang sangat besar kepada semua umat Islam. Dalam kes tersebut, beliau telah memohon untuk keluar Islam kerana dakwanya beliau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan terus mengamalkan amalan-amalan dalam agamanya sebelum itu. Katanya selepas mengucap dua kalimah syahadah kerana hendak mengahwini seorang lelaki muslim, beliau telah kembali ke rumah seperti tidak pernah memeluk Islam dan meneruskan rutin amalan agama asalnya sebagaimana hari-hari sebelumnya.

Menurut Yang Arif Hakim yang memutuskan kes tersebut, beliau terpaksa memenuhi permintaan Fatimah Tan Abdullah kerana dia tidak lagi Islam. Beliau dengan penuh kesal menegur sistem pengurusan kebajikan saudara baru kita yang hanya membiarkan seseorang yang baru memeluk Islam (tanpa tindakan susulan). Menurut peguam yang mengendalikan kes tersebut, selepas itu datang sekeluarga yang ingin diistiharkan sebagaimana kes Fatimah Tan Abdullah di atas alasan yang sama.

Walaupun kes tersebut berlaku di Pulau Pinang, namun pada hampir kesemua tempat lain di Malaysia ini mempunyai sistem tindakan susulan dan penjagaan kebajikan saudara baru yang sangat minimum. Biasanya (di Kedah), selepas seseorang memeluk Islam mereka akan diberi sedikit hadiah wang tunai dan ditawarkan berkursus selama tiga bulan di pusat bimbingan saudara baru (PUSBA), Sungai Petani. Selepas itu, sama ada mengikuti kursus atau tidak, mereka akan dibiarkan meneruskan/menguruskan hidup mereka sendirian. Sedangkan saudara baru menempuhi berbagai kesulitan di peringkat awal memeluk Islam; ditolak (tidak diterima) keluarga asal, hilang pekerjaan, tiada tempat penginapan, permasalahan asal (ketagihan arak, dadah dll), penghinaan malah ancaman bunuh oleh penganut ekstrim agama asalnya, tiada ilmu / tidak tahu beramal, tiada sokongan masyarakat, dan banyak lagi. Ramai juga isteri-isteri (saudara baru dari tempat lain berkahwin dengan orang setempat) yang ditinggalkan oleh suaminya, menyebabkan mereka hilang tempat bergantung dan tiada pelindung untuk meneruskan hidupnya (yang akhirnya sebahagian kembali murtad).

Fatimah binti Abdullah (bukan nama sebenar) adalah seorang mualaf daripada Siam. Suaminya adalah usahawan daripada Kedah. Semasa ingin mengahwininya, sisuami berjanji akan menjaganya dan memberi kemewahan hidup sebaiknya. Selepas mendapat anak ketiga, suaminya telah meninggalkannya terkontang-kanting dengan anaknya. Rumahnya yang disewa sudah tiga bulan tidak berbayar. Tuan rumah telah menghalaunya. Beliau tidak tahu hendak ke mana? Hendak pulang ke kampungnya semula, bermakna beliau akan kembali dalam agama keluarga asalnya (suaminya yang jahil, pernah memberi sedikit belanja untuk beliau pulang semula ke kampungnya). Dalam kebingungan untuk meneruskan hidupnya, beliau berasa amat kesal kerana beliau tidak dapat merasai ‘keadilanan’ dan ‘keprihatinan’ Islam sebagaimana yang beliau pernah dengar daripada ceramah-ceramah agama…

Semua latar belakang di atas sangat menuntut untuk diperkasakan sistem kebajikan saudara baru. Walaupun sudah terdapat badan-badan yang menguruskan hal tersebut, namun mereka sangat terbatas dari segi tenaga kerja mahupun tenaga sukarelawan. Lagipun, kerencaman permasalahan saudara baru menjadikan banyak pihak menjauhkan diri daripada terlibat dalam pertanggungjawaban amanah ini. Akhirnya, masyarakat Islam tidak digembelingkan untuk membantu, membina dan menunjukkan persaudaraan kasih-sayang, sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam!

*****************

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah dan Yayasan Nusrah telah menubuhkan Pusat Khidmat Saudara Baru (mualaf) berkakitangan tetap di Jitra, Kedah. Antara lain, Pusat ini berhasrat untuk menampung kekurangan sistem sokongan, memberi bimbingan, menjaga kebajikan dan pembangunan Saudara Baru di Negeri Kedah, khususnya pada permulaan ini, di Daerah Kubang Pasu. Ianya juga berhasrat untuk menjadi pemangkin dalam mewujudkan suasana prihatin dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai tanggungjawab terhadap saudara baru Islam. Pusat ini beralamat seperti berikut,

Lot 41, Desa Tanjong, Jalan Istana,
Kg. Tanjong Kapor, 06000 Jitra, Kedah.
(Tel: 04-9163807)


Pihak Pusat Khidmat sangat mengalu-alukan sebarang bantuan dalam apa sahaja bentuk untuk terus menjaya dan memberi khidmat sebaiknya kepada warga saudara baru, saudara kita dalam Islam. Sila berhubung dengan Ku Mohd Nazri (012-432-7573) atau Cikgu Zain (014-3050-739).

1 comment:

Anonymous said...

salam..

sekalung tahniah ats pembukaan pusat mualaf ni..

lot 41 nie mmg dinfakkan utk pusat nie ka