Sunday, April 11, 2010

ORANG YANG MENDALAMI ILMU AGAMA AKAN MENDAPAT KEBAIKAN YANG BANYAK

مَنْ يُرِيدِ اللَّهُ بِهِ خَيْراً يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ. متفق عليه.
Barang siapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan yang banyak akan diberi kefahaman mendalam dalam agamanya. Disepakati kesahihannya.

• Orang yang mendalam ilmu pengetahuan agamanya akan dapat mengenalpasti dengan baik jalan yang lurus dan jalan yang bengkok. Justeru, mereka dapat menjalani hidup sebagai khalifah Allah dengan lebih sempurna mengikut kehendak ilahi.

• Orang yang ingin mendapat kebaikan agama hendaklah mendalami ilmu pengetahuannya dan mendoakan agar Allah kurniakan kepadanya ilmu yang faqeh (mendalam).

• Jika Allah kurniakan ilmu pengetahuan yang mendalam kepada kita, bermakna Allah telah membuka pintu kebaikan yang banyak kepada kita.

• Justeru, pendalamilah ilmu pengetahuan kita. Belajarlah dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan mudah merasa gelisah, apatah lagi untuk rasa ‘gila’ apabila belajar lama sedikit. Tradisi belajar di kalangan umat Islam sangat cemerlang; ulama-ulama kita belajar berjam-jam setiap hari, dengan berbagai displin ilmu pengetahuan.


Kisah Ketekunan Para Salabat dan Alim Ulama Mendalami Ilmu

• Sesungguhnya para Sahabat dan alim ulama kita sangat mementingkan kedalaman ilmu. Mereka sanggup menghadapi kesukaran atau apa sahaja rintangan demi mendalami agama kerana mereka begitu menghayati kelebihan berilmu. Berikut sebahagian daripada kisah tentang ketekunan para Sahabat dan alim ulama kita mendalami ilmu yang saya petik/sunting daripada buku “Aku, Buku dan Cinta” karya Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni dan buku “Fadhailul Amal” karya Maulana Syeikh Zakaria al-Kandahlawi;

Abu Hurairah ra adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang paling unggul sekali. Tidak ada seorang pun yang lebih banyak meriwayatkan hadis sebagaimana yang telah dilakukannya walaupun hanya sempat hidup bersama Rasulullah SAW selama empat tahun sahaja. Beliau telah menerangkan bagaimana beliau dalam masa yang singkat dapat mengingat banyak hadis daripada Rasulullah SAW, “Orang-orang merasa hairan tentang bagaimanakah aku dapat meriwayatkan begitu banyak hadis. Sebenarnya, saudara-saudara kaum Muhajirku (sehabat-sehabat yang turut sama berhijrah ke Madinah) mempunyai urusan perniagaan mereka manakala saudara-saudaraku kaum Ansar pula mengusahakan kebun-kebun mereka. Aku pula sering berada di samping Rasulullah SAW. Aku adalah salah seorang daripada ahli Suffah. Aku tidak ada cara untuk mencari nafkah bagi keperluanku dan aku merasa puas dengan makanan sedikit yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepadaku. Aku akan tetap berada disamping baginda pada waktu orang lain tidak ada bersamanya. Kerjaku hanyalah menghafal apa yang telah diucapkan olehnya.” Pada kisah yang lain, pernah apabila Rasulullah keluar daripada rumah baginda, kelihatan Abu Hurairah terguling di tanah kerana kelaparan akibat tidak makan beberapa hari.

Ibnu Abbas ra ialah salah seorang Sahabat dan bapa saudara Nabi SAW. Beliau seorang yang sangat terkenal kerana memiliki ilmu tafsir al-Qur’an yang hebat. Beliau juga telah dikenali sebagai Hibrul Ummah (orang yang terpelajar di kalangan umat Islam) dan Bahrul Ulum (lautan ilmu). Beliau menceritakan bagaimana usaha yang dilakukan untuk mendalami ilmu, “(Selepas Rasulullah SAW telah wafat) Aku masih belum merasa hampa (dalam mendalami ilmu). Aku mula bertanyakan ilmu dan menghampiri setiap orang yang kurasa telah mendengar sesuatu daripada Rasulullah SAW. Akhirnya, aku berjaya mendapatkan sebagaian besar ilmu daripada orang orang-orang Ansar. Jika sekiranya kudapati setengah daripada para Sahabat itu sedang tidur ketika aku melawat mereka (untuk mendapatkan ilmu), aku terus menghamparkan kain serbanku di pintu mereka di mana ketika itu aku akan duduk sambil menunggu mereka. Kadang-kadang kudapati muka dan badanku diliputi debu tetapi aku tetap menunggu sehingga mereka bangun dan berazam agar dapat menghubungi mereka.” Sebenarnya para Sahabat lain sangat menghormati Ibnu Abbas kerana kedudukannya dan memaklumkan kepadanya bahawa mereka sanggup ke tempat Ibnu Abbas jika diperlukan. Namun, Ibnu Abbas berkata, “Aku yang seharusnya menemui kamu kerana aku adalah seorang murid dan kamu semua adalah guruku.”

Diceritakan bahawa Imam Bukhari telah keluar mengembara untuk mendalami ilmu pengetahuannya pada tahun 216 Hijrah, setelah sudah belajar dengan guru-guru di daerah kelahirannya. Oleh kerana ayahnya telah meninggal dunia, beliau tidak sanggup meninggalkan ibunya yang telah janda itu menetap seorang diri. Justeru, beliau turut membawa ibunya bersama-sama beliau dalam perjalanan yang jauh ke Balkhi, Baghdad, Mekah, Kufah, Asqalan, Hims dan Damsyik. Dikatakan pada masa tersebut beliau tidak mempunyai sehelai janggut pun di dagunya (masih belia-remaja).

Yahya bin Muin adalah seorang syeikh yang termasyur dalam bidang hadis. Beliau pernah berkata, “Aku telah menulis sebanyak sejuta hadis dengan tanganku sendiri.”


Abdullah bin Mubarak adalah seorang Muhaddith yang begitu masyur namanya. Usaha dan ketekunannya terhadap pengumpulan hadis telah dikenali ramai. Beliau pernah berkata, “Aku telah pun mempelajari mengenai hadis daripada empat ribu orang guru.”

Ibn Hajar Asqalani rahimahullah juga salah seorang hafiz dalam bidang hadis dan sangat masyur. Imam al-Sakhawi bercerita tentang gurunya, “yang dia paling sukai adalah mutala’ah, membaca, mendengar, beribadah dan mengarang kitab. Dia tidak pernah membiarkan waktunya terbuang sia-sia tanpa melakukan perkara-perkara yang disebutkan di atas. Dia terus belajar sehingga ketika waktu makan dan beribadah.” Dia juga dilaporkan pernah berkata, “Aku sangatlah hairan terhadap orang yang duduk seronok padahal dia tidak mempunyai kesibukan yang bermakna.”

Abu Zurah berkata, “Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah telah menghafal sejuta hadis di dalam hatinya. Aku berjaya mengumpulkan 100,000 hadis dan aku menghafal 30,000 di antara hadis ini.”

Abu Darda’ ra menceritakan bahawa pada satu ketika, semasa dirinya berada dalam masjid di Damsyik, ada seorang lelaki dari Madinah telah menghampirinya. Lelaki tersebut memberitahu bahawa dia ingin mempelajari satu hadis (HANYA satu hadis) yang dia dimaklumkan bahawa Abu Darda’ telah mendengar sendiri hadis tersebut daripada Rasulullah SAW. Abu Darda’ terkejut kerana lelaki tersebut datang dari tempat yang jauh hanya untuk mempelajari SATU hadis daripadanya.

Diceritakan tentang Ahmad bin Sulaiman bin Nasrullah al-Bulqasi al-Qahiri al-Syafi’i rahimahullah, “Dia adalah seorang imam yang sangat alim, kuat hafalan, bagus pemahaman, menguasai berbagai bidang ilmu, pandai bertutur, suka membaca, banyak berdiskusi dan seorang yang produktif. Jangankan di rumah atau di majlis, di tengah jalan juga dia sering mutala’ah. Bahkan sambil makan pun dia tetap belajar. Itu tak lain adalah kerana dia takut kehilangan waktu. Ini sungguh luar biasa! Pada masa itu rasanya tidak ada seorang pun yang boleh menyamainya dengan ketekunannya. Orangnya sederhana, tawadhu’ dan suka bergaul dengan orang-orang fakir.”

Imam al-Hafiz al-Hasan adalah seorang yang qana’ah, tidak tergila-gila dengan harta benda. Dia rela menjual seluruh harta warisan yang menjadi haknya untuk membiayainya menuntut ilmu. Sehingga untuk pergi ke Baghdad dan Ashbihan, dia harus berjalan kaki kerana tidak ada lagi wang di tangannya.

Said bin al-Musayyab adalah seorang tabi’i yang termasyur pernah berkata, “Untuk mempelajari hanya satu hadis aku terpaksa mengembara dengan berjalan kaki selama beberapa hari dan malam berturut-turut.”

Diceritakan tentang riwayat hidup Ibn al-Khatib al-Tibrizi bahawa pada suatu ketika dia telah mendapat naskhah kitab al-Azhari yang bernama Tahdzib al-Lughah. Naskhah itu sebanyak beberapa jilid. Dia ingin mempelajari isi naskhah itu daripada ulamak yang pakar bahasa. Lalu dia diberitahu bahawa ulamak yang pakar bahasa itu ialah Abu al-Ala al-Ma’arri. Mendengar berita itu, dia terus memasukkan naskhah tersebut ke dalam karung besar. Karung itu dipikulnya di pundak. Kemudian pergilah dia menuju al-Ma’arrah. Waktu itu, tidak ada satu tunggangan pun yang boleh menolongnya membawa barang itu. Barang itu dibawanya sendiri, sehingga seluruh badan dia basah kerana terlalu berpeluh. Di tengah perjalanan, dia bertemu dengan orang kampung yang jujur. Orang itu menyangka bahawa karung itu basah kerana tercebur ke dalam air. Padahal dia tak mengetahui bahawa basah yang menimpa karung itu bukanlah kerana tercebur ke dalam air, tetapi badannya yang membuat karung itu menjadi basah.”

Al-Qadhi ‘Iyadh menceritakan riwayat hidup imam al-Faqih Abu Muhammad ‘Abdullah bin Isyaq atau lebih dikenali sebagai Ibn Tabban. Ibn Tabban pernah mengungkapkan, “Ketika menjadi seorang pelajar baru, aku sering berjaga malam. Ibuku sering melarang aku melakukan hal itu. Tapi aku tetap ingin membaca. Sekejap aku padamkan lampu bilik dan aku pura-pura tidur. Tatkala Ibu sudah tertidur, aku ambil lampu itu lalu aku membaca buku.”. Ada yang mengatakan bahawa Ibn Tabban memang banyak belajar, sehingga ia mampu membaca pelajarannya sampai seribu kali.

Syeikh al-‘Allamah Jamaluddin al-Qasimi al-Dimisyqi pernah bercerita tentang pengalamannya dalam menuntut ilmu. Dia berkata, “Alhamdulillah, aku telah menamatkan Shahih Muslim hanya dalam masa empat puluh hari, menamatkan Sunan Ibn Majah selama dua puluh satu hari, menamatkan al-Muwattha’ Imam Malik selama sembilan belas hari, menamatkan Tahdzib al-Tahzib, mentashih beberapa kesilapan yang ada dalam naskhah-naskhah tersebut dan juga memberi keterangan tambahan bila perlu, pekerjaan itu aku lakukan hanya dalam masa sepuluh hari.”

Imam Malik menceritakan, “Aku mendatangi Nafi’ (gurunya yang belajar terus daripada Ibnu ‘Umar ra) dan menunggu ia keluar rumah selama setengah hari. Di sana, tidak ada sebatang pokok pun yang boleh memberiku tempat bernaung. Aku menunggu sehingga ia keluar. Tatkala keluar, aku memanggilnya dan bertanya sedikit kemudian mempersilakannya pergi. Dan tatkala ia kembali lagi ke rumahnya pada petang hari, aku memanggilnya lagi dan bertanya tentang pendapat Ibn ‘Umar tentang sesuatu masalah. Setiap kali aku bertanya, ia memberitahu jawapan. Setelah menjawab pertanyaan-pertanyaanku, aku menahannya lagi untuk pertanyaan selanjutnya.”

Kesungguhan Imam Syafi’i dalam menuntut ilmu sudah nampak sewaktu beliau masih kanak-kanak lagi. Mengenai ketelitiannya dalam mengambil ilmu, ia pernah berkata, “Sesiapa belajar ilmu, maka hendaklah ia berlaku teliti supaya jangan kehilangan ilmu-ilmu yang paling kecil sekalipun.” Beliau pernah ditanya, “Bagaimana keinginananmu terhadap ilmu?” Dia menjawab, “Aku mendengar sesuatu menggunakan huruf yang aku tulis kerana ia mampu mendengar apa yang telingaku tidak boleh dengar. Dan anggota badanku yang lain terasa ingin sangat mempunyai telinga, agar ia juga boleh merasakan apa yang didengar oleh telinga.” Lalu dia ditanya lagi, “Bagaimana kesungguhanmu terhadap ilmu?” Dia menjawab, “Seperti orang yang haus terhadap harta, seperti itu juga kehausanku terhadap ilmu.” Dia ditanya lagi, “Bagaimana caramu menuntut ilmu itu?” Dia menjawab, “Seperti seorang perempuan yang sedang mencari anaknya hilang. Begitu pula kesungguhanku dalam mencari ilmu.” Beliau juga pernah bercerita, “Selama enam belas tahun aku tidak mempunyai makanan selain dua ketul roti dan sebiji kurma. Aku memakannya sekadar untuk mengganjal perutku yang lapar.” Dia ditanya, “Untuk apa engkau melakukan itu?” Dia menjawab, “Aku melakukannya agar membuatku mudah dalam menghafal ilmu dan feqh. Aku meninggalkan makanan itu demi ilmu. Dan kemudian Allah memberiku rezeki lagi.”

No comments: