Sunday, April 11, 2010

Bila Orang Alim “Bertengkar”, Siapakah yang Menang?

Dengan amat menghormati kedua-dua ahli panel dalam forum tersebut, maafkan saya kerana menggunakan tajuk di atas. Namun saya kira, mungkin tanpa disedari kedua-dua ahli panel yang mulia, rata-rata peserta merasa semakin keliru & bingung atas “perdebatan” tersebut.

Forum “Pemikiran Islam” anjuran Pusat Islam UUM minggu lalu (1hb. April 2010) telah mempertemukan dua golongan yang kelihatan saling bertentangan. Forum tersebut telah mempertemukan Al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady dan al-fadhil mantan Sahibuh Samahah Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Dari awal lagi, forum itu nampak “panas” dan malangnya ianya tidak sejuk sehingga ke akhir. Selepas keluar dewan, seorang bertanya, “siapa menang?” Jika saya ingin menjawab, inilah jawapan saya, “ISLAM yang RUGI!”

Walaupun saya tidak berkesempatan mengikut perkembangan “pertentangan” antara mereka sebelum ini, namun imbasan pada media-media massa, jelas menampakkan ketidak-setujuan yang tinggi di antara dua golongan yang diwakili mereka. Al-Fadhil Dr Uthman ingin mempertahankan agar masyarakat Islam di Malaysia tidak “diganggu” terhadap pengangan mereka selama kini, iaitu “pegangan akidahnya adalah akidah ulama tauhid, Imam Abu Hassan al-Asy'ari (324H) manakala pegangan fiqh dan usul fiqh adalah mengikut mazhab Imam Shafie manakala tasawuf dan akhlak pula mengikut Imam al-Ghazali.”

Manakala al-fadhil Dr Asri pula ingin kita lebih bersikap terbuka terhadap mazhab dan tidak fanatik kepada satu-satu mazhab sahaja. Mazhab lain juga dikitirafkan oleh ahlus sunnah wal-jamaah (ASWJ). Kefanatikkan terhadap mazhab boleh menyebabkan kita “menghina” ulama lain yang tidak kurang kehebatan dan sumbangan mereka.

Pada pandangan saya, walaupun asasnya nampak bertentangan, namun saya kira banyak persamaan. Kedua-dua amat sayangkan agama yang ingin melihat penganut Islam tetap utuh, bersatu, dinamik/maju dan memberi sumbangan besar kepada dunia Islam. Cuma mungkin membimbangi aliran yang dibawa oleh pihak yang satu lagi menjejaskan hasrat murni tersebut, jadi kedua-dua pihak telah ‘over react’ dan ‘over protective’ terhadap pandangan mereka (sekali lagi maafkan insan kerdil ini yang tidak sepatutnya menggunakan istilah yang mungkin biadap itu – mungkin saya telah ‘over obsess’ untuk melihat pejuang-pejuang Islam meneruskan usaha-usaha murni mereka menyelesaikan masalah-masalah besar ummah dan tidak mengulangi titik-titik perbezaan yang merugikan dan timbul dari masa ke semasa di sepanjang lipatan sejarah ini).

Saya kira, forum hari tersebut menjadi panas kerana beberapa sebab. Pertama Dr Asri memulakan dengan kisah bagaimana ulama-ulama dulu “saling mengkritik” apabila ada yang dirasakan tidak kena atau apabila kelihatan terdapatnya kemerbahayaan fanatik mazhab. Beliau membawa contoh bagaimana Imam Syafie mengkritik pandangan gurunya, Imam Malik, apabila kelihatan ketaksuban terhadap pandangan gurunya oleh masyarakat setempat.

Saya tidak pasti kesahihan cerita atau ketepatan penceritaan semula Dr Asri (walaupun beliau mendakwa memetik daripada Imam-iman besar, seperti Imam Zahabi). Namun, saya kira kemungkinan cerita itu sahih, Cuma kalau nak khilaf pun daripada sudut pandangan terhadap isu kritik keras para alim ulama silam. Sebagai seorang yang mendalami bidang hadis, beliau amat menyedari kesalahan untuk tidak mengambil fakta dengan tepat, justeru saya kira beliau telah berhati-hati mengambil faktanya.

Namun, tidak semestinya isu kritik para ulama silam ini perlu menjadi sumber bahawa kita boleh ‘berbalahan’ atau menampakkan ulama kita ada kecenderungan untuk berselisihan. Konteks perselisihan ulama muktabar selalunya ingin menekankan pentarjihan mereka yang insyaAllah lebih baik berbanding pentarjihan ulama lain. Pendebatan mereka adalah dalam konteks atau level tersebut dan ianya tidak perlu diumumkan sehingga kepada orang awam. Ianya tidak perlu dibincangkan pendebatan mereka kepada orang awam (kecuali orang awam yang sedang menuntut ilmu, ingin melonjakkan maqam ilmu ke satu level yang lebih tinggi). Cukuplah untuk ulama sekarang memberitahu orang awam apa yang sesuai untuk diikuti, mereka akan menurut sahaja pandangan alim-ulama.

Lagipun, dari segi pengaplikasian dalam masyarakat, alim-ulama dahulu telah menunjukkan contoh yang sangat baik dari aspek penghormatan terhadap satu sama lain (kita juga boleh memperbanyakkan sudut ini dalam masyarakat sekarang). Imam Syafie rahimahullah pernah tidak membaca qunut semasa pergi ke Iraq, walaupun dia berpendapat baca qunut adalah sunat yang dituntut. Namun kerana menghormati pegangan masyarakat Iraq ketika itu yang rata-rata bermazhab Hanafi dan tidak berpendapat bacaan qunut dalam solat subuh itu dituntut. Begitu juga hormatnya yang tinggi kepada gurunya sehingga beratnya dia untuk meninggalkan bumi Madinah (tempat Imam Malik) selagi gurunya masih hidup. Begitu juga perhubungannya dengan anak muridnya, khususnya Imam Ahmad ibnu Hambal (Mazhab Hambali), beliau kerap menziarahi anak muridnya. Walaupun kita tahu akhirnya, Imam Ahmad membina mazhab yang lain daripada gurunya. Saya kira kisah-kisah harmoni seumpama itu sangat banyak untuk kita popularkan dan akan member kesan yang lebih baik kepada masyarakat.

Sebab lain kepada “kepanasan” forum hari tersebut adalah penggunaaan istilah-istilah yang tajam/sinis terhadap satu sama lain, seperti “biadap” / “kebiadapan intelektual”, tidak faham konsep “wacana intelektual Islam” dan menurut pandangan yang diacukan oleh barat, ulama cowboy dan sebagainya. Saya kira ayat-ayat atau frasa-frasa seumpama itu tidak berapa sesuai untuk keharmonian perkembangan kemajuan Islam di Malaysia. Namun, saya kira kerapnya pengucapan satu-satu ayat/frasa mempunyai konteks tertentu yang tidaklah dituju 100% kepada individu yang terlibat dalam “perselisihan” ini. Namun, kadang-kadang kita “mendengar” ayat atau frasa tersebut melalui media atau sebelah pihak, lalu kita mentafsir secara umum, maka kesannya kita rasa sangat terguris dengan istilah/frasa tersebut. Lalu kita membentuk satu pandangan bahawa pihak lain memang ingin “lanyak” kita. Dengan itu juga, pada kesempatan-kesempatan pertemuan yang ada selepas itu, kita akan lihat lebih kepada aspek “clash” berbanding daripada bagaimana hendak pimpin ummah ke arah kecemeralangan dunia-akhirat dengan harmoni!

Saya kira, sebenarnya pandangan-pandangan yang kelihatan saling bercanggah itu boleh diharmonikan. Contohnya dalam isu “mempertahankan pegangan arus perdana” dan “bersikap terbuka kepada pandangan mazhab lain”. Kedua-dua pihak menerima bahawa, walau bagaimanapun pandangan ulama, nas al-Qur’an perlu jadi dalil utama dan diikuti nas al-Hadis, sebarang yang bercanggah daripada kedua-duanya perlu ditolak. Apa yang samar, ianya adalah khilaf dan kedua-duanya (pendapat) diterima sebagai satu keluasan atau kemudahan dalam agama.

Justeru, saya berpendapat bahawa satu pihak ingin supaya masyarakat awam tidak dikelirukan dengan kepelbagaian mazhab/pandangan tentang satu-satu hukum, khususnya pengaplikasian di Malaysia. Cukuplah masyarakat awam di Malaysia berpegangkan mazhab Syafie namun tidak menolak boleh mengaplikasikan pandangan mazhab lain dalam kes-kes yang memerlukannya cumanya ianya tidak boleh terlalu terbuka. Biar pihak berautoriti tentukan, sebagaimana yang telah dilakukan sebelum ini seperti dalam kes zakat fitrah yang boleh menggunakan duit (sedangkan ini pandangan Mazhab Hanafi). Orang awam hanya menurut apa yang pihak berotoriti putuskan.

Saya kira pada pihak yang satu lagi, yang inginkan berlaku keterbukaan, juga tidak bermaksud keterbukaan tanpa batasan, sehingga orang-orang “jalanan” (man on the street) juga perlu faham khilaf ulama tersebut yang membawa hukum sedemikian. Sehingga semua pihak tidak perlu ada pegangan mazhab dan terus kembali kepada al-Qur’an dan al-Hadis, dan meneliti/menilai semula semua-semua hukum-hukum yang telah alim-ulama dahulu ijtihadkan. Saya berpendapat mereka rasakan bahawa ustaz-ustaz kita terlalu atau over-protective. Sedangkan kita memang telah mengamalkan keterbukaan sebagaimana yang telah disebut dalam perenggan di atas. Justeru, saya kira itulah kesamaan tersebut. Kita perlu lebih banyakkan melihat daripada sudut kebersamaan daripada sebaliknya – jika tidak kita akan mengulangi “perdebatan” yang merugikan berbanding banyak lagi masalah ummah yang lebih mendesak.

Contoh yang lain (bahawa dalam perbezaan terdapat kesamaan), adalah dari aspek “isu kalimah Allah pada penganut agama lain”. Walaupun jelas bahawa satu pihak menegaskan TIDAK BOLEH GUNA pada agama lain kerana kita tidak redha kalimah Allah akan didua atau ditigakan (kerana tuhan dalam agama lain tidak mengaku keesaan Allah) dan pada pihak yang satu lagi BOLEH GUNA kerana kita tidak mahu menghalang penganut agama lain mengatakan bahawa tuhan Allah yang menurunkan hujan (adalah sangat tidak munasabah untuk kita melarang mereka menggunakan nama Allah di situ dan menyuruh mereka menggunakan nama tuhan mereka). Ketidakharmonian yang timbul kerana kita terlalu melabelkan satu-satu golongan tersebut dengan apa yang saya tulis dengan huruf besar di atas. Sedangkan saya kira kedua-dua pihak boleh mempersetujui kedua-dua konteks di atas. Justeru, kedua-dua pandangan boleh diterima dalam konteks yang mereka rujuk. Cuma yang menjadi pertikaian adalah kemaslahatan ummah dalam menentukan boleh atau tidak boleh secara umum. Dan untuk tentukan kemaslahatan tersebut ada beberapa pandangan yang juga akan tertakluk kepada konteks masing-masing. Justeru, kita tidak perlu bukakan pandangan berbeza kepada tanggapan (impression) orang awam sehingga nampak satu pihak semacam memperlekehkan (apatah lagi seolah menghina) pandangan satu pihak lagi.

Akhirulkalam, mohon maaf terhadap entri ini, yang tidak bertujuan untuk jadi lebih hebat daripada kedua-dua ahli panel (sumbangan mereka terhadap agama selama ini adalah terlalu banyak berbanding saya). Namun, saya kira pendebatan ini telah terheret kepada sesuatu yang merugikan ummah. Terlalu banyak permasalahan ummah yang mendambakan sentuhan-sentuhan daripada mereka dan orang-orang yang menyokong mereka. Sebenarnya, saya tidak begitu kisahkan perdebatan ilmuan tersebut, malah saya seronok mendengar arguments mereka walaupun sebahagiannya tidak dapat saya garap dengan baik. Namun, saya bimbang orang-orang awam atau penyokong-penyokong yang mengikut pendebatan itu melalui media (khususnya media mulut ke mulut / Internet ke Internet), kemudian membawanya (baca menyebarkannya) dalam bentuk yang negatif, ‘clash’, taksub, ‘memperlekehkan’ pihak yang satu lagi dan akhirnya merugikan ummah keseluruhan.

Teringat pada sesi dialog banyak tahun yang lalu dengan bekas Menteri Luar Thailand, Surin (seorang yang beragama Islam) tentang perkembangan Islam di Thailand. Dia mengucapkan syabas kepada umat Islam di Malaysia kerana telah menjadi semakin maju dari aspek penghayatan Islam. Katanya Thailand baru keluar dari perselisihan kaum muda kaum tua beberatahu sebelum itu. Sekarang Umat Islam di Thailand baru menampakkan kemajuan. Hub halalnya sudah berkembang maju, malah jika ada sesuatu syarikat menipu atau menindas Islam, umat Islam Thailand akan bersatu memboikot industri tersebut. Jelas kelihatan semasa mereka memboikot minuman Coca-cola semasa krisis umat Islam Palestin memuncak. Katanya, umat Islam telah keluar daripada isu ini puluhan tahun yang lalu, Thailand baru sahaja dapat keluar daripada perselisihan yang merugikan itu.

Pengalaman bergaul dengan pelajar-pelajar Islam Kemboja di KUIN juga memberi saya impression yang sama. Mereka masih agak tebal berselisih dalam isu kaum tua kaum muda / Wahabi-Salafi sehinggakan pemikiran-pemikiran atau usaha-usaha untuk membangunkan umat Islam Kemboja menjadi sangat perlahan. Mereka tidak dapat bersatu untuk mengerak memperkasakan Umat Islam Kemboja.

Apabila merenung nasib umat Islam di serata dunia dan membaca pula gerakan dakwah/tarbiyyah yang dibawa oleh Hassan al-Banna sekitar 30-an (bermula awal 20-an), saya merasa kagum dengan risalah super nipis "Asas 20"-nya, tetapi cukup fundamental untuk mempersatukan ummah ke satu level yang lebih tinggi. Semua perkara titik-bengik ummah, yang memperselisihkannya ummah diungkap dengan ringkas tetapi sangat padat dan membawa kita memikirkan bagaimana untuk keluar dari kepompong "clash" kepada sesuatu yang lebih mengugat kemajuan ummah. Wallahu 'alam.


[kesempatan untuk saya menyunting tulisan ini sangat terbatas, justeru mungkin natijahnya tidak baik sebagaimana hasrat asas saya mencuri masa untuk menghasilkan catatan ini]

2 comments:

Ahmad Suki Che Mohamed Arif said...

http://ahmadsuki.blogspot.com/2007/02/isu-bidah-salafi-dan-fahaman-wahhabi.html

Mohd Hisham Mohd Sharif said...

Benar en suki, saya pun pening kepala