KATA PENGANTAR PENYUSUN
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. حَمْدًا شَاكِِِِِرِينَ. وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ. وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِنَا مُحَمَّدٍ وَءَالِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِينَ. أما بعد.
žw uŽöyz ’Îû 9ŽÏVŸ2 `ÏiB öNßg1uqôf¯R žwÎ) ô`tB ttBr& >ps%y‰|ÁÎ/ ÷rr& >$rã÷ètB ÷rr& £x»n=ô¹Î) šú÷üt/ Ĩ$¨Y9$# 4 `tBur ö@yèøÿtƒ šÏ9ºsŒ uä!$tóÏFö/$# ÏN$|ÊósD «!$# t$öq|¡sù ÏmŠÏ?÷sçR #·ô_r& $\K‹Ïàtã ÇÊÊÍÈ
An-Nisa 114: Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.
Dengan penuh rasa rendah diri, saya persembahkan kepada para pembaca karya kecil ini. Saya berharap karya ini dapat menjadi salah satu sumbangan kecil untuk terus menghargai sumber ilmu autentik kedua dalam Islam. Sumber suci ini akan terus memberi panduan berharga sepanjang kita menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah di mukabumi sementara ini.
Saya namakan buku ini sebagai 40 Bimbingan Hadis untuk Kecemerlangan Umat Islam untuk mengambil keberkatan hadis-hadis seumpama berikut:
مَنْ حَفِظَ عَلَى أُمَّتِيْ أَرْبَعِيْنَ حَدِيْثًا مِنْ سُنَّتِيْ أَدْخَلْتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيْ شَفَاعَتِي. ابن النجار - عن أبي سعيد.
“Barang siapa memelihara bagi umatku empat puluh hadis daripada sunnahku, nescaya aku masukkan akan dia pada hari Kiamat di dalam syafa’atku”
Walaupun kebanyakkan hadis seumpama ini dikelaskan dalam kumpulan hadis dhoif (lemah), namun Imam Nawawi tetap membawa hadis seumpama ini dalam muqadimmah kitab hadis 40 beliau. Ini menunjukkan walaupun hadis seumpama ini lemah dari segi sanadnya (silsilah) namun ianya ada kekuatan dari segi matannya (kandungannya).
Dalam buku ini saya muatkan dengan hadis-hadis (daripada gudang khazanah hadis) yang insyaAllah amat sesuai untuk kita amalkan. Hadis-hadis utama dalam buku ini, saya cuba pastikan sekurang-kurangnya ianya berada dalam kategori Hasan (baik).
Saya secara peribadi telah mendapat kebaikan yang sangat banyak daripada khazanah ilmu yang sangat berharga ini. Setelah mengkhatamkan sepuluh jilid Tafsir al-Azhar (kitab tafsir al-Qur’an karya Pak Hamka) beberapa tahun yang lalu, saya sangat merasai keluasan dan betapa komprehensifnya ilmu agama wahyu ini. Setelah itu, Allah memberi peluang (petunjuk) untuk saya belajar kitab al-Hadis, khususnya kitab Sahih Bukhari. Ianya bermula dengan saya membeli cakera padat (CD) kuliah kitab Sahih Bukhari yang diajar oleh al-Fadhil Maulana Muhammad Asri Yusoff, Sheikhul Hadis tersohor di Malaysia dari DarulKautsar, Kelantan. Semenjak itu hati saya terus jatuh cinta dengan ilmu ini. Keluasan dan kedalaman kupasan al-Fadhil Maulana telah benar-benar menginsafkan saya terhadap “panjang”, “lebar” dan “dalamnya” khazanah ilmu maha berharga ini[1].
Juga sebagaimana yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi; As-Sunnah adalah tafsiran praktis al-Qur’an atau ajaran-ajaran Islam. Justeru, berinteraksi dengan As-Sunnah melalui bimbingan guru-guru yang mendalam ilmunya, akan dapat memberi kita bayangan yang jelas serta dekat bagaimana kehidupan Rasulullah SAW dan para Sahabat mengharungi kehidupan beragama yang unggul, sempurna dan menyeluruh. Bayangkanlah, Sahabat-Sahabat Baginda telah merakam dengan tekun, cermat dan tepat setiap tingkah-laku dan tutur-kata Rasulullah SAW sepanjang hidupnya. Malah mereka juga merakam Sahabat-Sahabat yang merealisasikan ajaran-ajaran Rasulullah SAW tersebut. Seterusnya rakaman itu dipelihara dari satu generasi kepada generasi seterusnya dengan sangat amanah serta menggunakan metodologi pemeliharaan keaslian dengan amat berkesan. Justeru itulah, apabila mempelajari satu-satu hadis daripada al-Fadhil Maulana, beliau akan membaca semua perawi daripada pengarang kitab hinggalah kepada Rasulullah SAW, demi menghargai dan mendapat barakah daripada pengorbanan mereka yang sangat tinggi.
Bila kenangkan semua itu, timbul rasa kurang selesa untuk menyusun buku yang ringan serta serba-ringkas ini. Saya mungkin akan merendahkan ketinggian dan keluasan ilmu ini. Saya juga mungkin akan merendahkan ilmu para guru saya. Namun, apabila menilai bahawa khazanah hadis/sunnah ini sangat banyak yang boleh dimanfaatkan dan masyarakat kita agak kurang berminat mempelajarinya, saya usahakan juga menyempurnakan setakat termampu. Mungkin sebahagian segmen masyarakat boleh mendapat sedikit-sebanyak manfaat daripadanya dan meningkatkan minat untuk mendalami ilmu ini.
Justeru, pada setiap hadis yang saya tulis dalam buku ini saya akan beri sedikit keterangan serta cadangan atau idea untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan. Saya utamakan keterangan, tambahan atau penekanan daripada al-Qur’an dan al-Hadis – agar ianya sekurang-kurangnya memberi berkat apabila kita membacanya dan berselawat ke atas Nabi SAW (memperbanyakkan perdampingan kita dengan al-Qur’an dan as-Sunnah). Saya juga banyak memasukkan di sana-sini kisah-kisah yang benar sama ada melalui sirah Rasulullah SAW dan para Sahabat, mahupun kisah-kisah semasa yang boleh kita ambil iktibar.
Saya berharap dengan keberkatan hadis-hadis yang dikemukakan dalam buku ini, ianya dapat memberi keberkatan kepada saya dan kepada anda semua. Saya juga, seperti dalam muqadimmah kitab Riyadus Sholehin oleh Al-Imam An-Nawawi, ingin meminta kepada pembaca yang memperolehi kemanfaatan sekalipun sedikit daripada buku ini, sudilah kiranya mendoakan rahmat Allah kepada saya, keluarga saya, kedua ibu-bapa saya, para guru saya, penjaga-penjaga hadis/sunnah dari dahulu sehingga sekarang yang telah membuat begitu banyak pengorbanan demi memastikan hadis-hadis dapat sampai kepada kita secara sahih.
Akhirulkalam kepada kata pengantar ini, saya juga ingin meminjam tulisan Al-Imam An-Nawawi dalam pendahuluan kitab hadis 40 beliau yang tersohor itu,
Sepatutnya setiap orang yang menggemari akhirat mengetahui hadis-hadis ini kerana ianya mengandungi berbagai kepentingan dan peringatan ketaatan di dalam semua perkara. Perkara ini jelas bagi sesiapa yang memerhatikannya.
وصلى لله عَلَى سيدنا محمد وعَلَى ءاله وصحبه وسلم.
سبحان ربك رب العزة عما يصفون, وسلام عَلَى المرسلين والحمد لله رب العالمين.
PENYUSUN
Al-Faqir ilallah
AHMAD SUKI BIN CHE MOHAMED ARIF
Jalan Istana, Desa Tanjong, Jitra,
Kedah Darul Aman.
13 RabiulAkhir 1430
9hb. April 2009[1] Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya, “Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Sunnah” menulis tentang “kepanjangan” ilmu as-Sunnah (al-Hadis) merangkumi jangka masa hidup seseorang, iaitu sejak lahirnya sehingga mati, malah bermula dari masa janinnya hingga masa selepas mati. Aspek “lebarnya” pula merangkumi ruang yang meliputi ufuk; sama ada di rumah, di pasar, di masjid, di jalan, semasa kerja dan sebagainya. Ianya meliputi segenap kehidupan hubungan, sama ada dengan Maha Pencipta, diri sendiri, hubungan dengan keluarga, masyarakat – Islam dan bukan Islam, haiwan dan benda-benda tidak bernyawa yang lain. Manakala aspek “dalamnya” merangkumi ruang kelengkapan kehidupan manusia, iaitu meliputi tubuh, akal dan roh, termasuklah zahir dan batin, dan mencakupi perkataan, perbuatan dan niat.
p/s - Sebenarnya penulis sudah menyiapkan draf pertama manuskrip buku ini dan sedang berunding dengan Sahibuh Samahah Mufti dan Timbalan Mufti Kerajaan negeri Kedah untuk menyemak. Alhamdulillah mereka telah bersetuju, namun mereka juga sangat sibuk. Bertambah malang, Sahibuh Samahah Timbalan Mufti telah menyatakan kesediaan untuk mula baca bukan oktober ini, penulis pula yang 'terlebih sibuk (atau sengaja menyibukkan diri)' untuk package/print untuk memudahkan al-fadhil menyemakkannya. Semoga Allah lebih melapangkan waktu penulis dan penyemak. Amin.
----
Senarai Kandungan
Beberapa Catatan Tambahan Tentang Ilmu Hadis
Hadis 1: Segala-galanya Bermula Dengan Niat
Peranan Niat dan Matlamat Dalam Pengurusan Barat
Hadis 2: RAJIN BeriBADAT TETAPI JAHIL, BERILMU TETAPI TIDAK BERTAQWA
Hadis 3: hendaklah Menuntut Ilmu
Kata-kata Ulama Tentang Menuntut Ilmu
Ulama dan Kecintaan Terhadap Membaca
Pengurusan Keluarga oleh Dr James Dobson
Hadis 4: Kelebihan Orang Berilmu
Pengajaran dari sirah: Kelebihan Orang Berilmu
Hadis 5 (Hadis Mauquf): Bertanya Kunci Ilmu
Hadis 6: hindari niat terseleweng Menuntut Ilmu
Hadis 7 (Hadis Qudsi): Banyak Beribadat Dapat Memperkayakan Jiwa
Hadis 8: Marilah Perbanyakkan Baca Al-Qur’an
Kisah Sahabat Meneruskan Bacaan al-Qur’an Walaupun Musuh Memanahinya
Hadis 9: Marilah Menghayati Al-Qur’an
Hargailah Ketinggian al-Qur’an
Peringatan-Peringatan al-Qur’an
Kisah Yusuf Islam (Cat Steven) Mendapat Hidayah
Hadis 10: MARILAH PERBANYAKKAN MENGINGATI ALLAH
Kelebihan Zikir dalam Kehidupan Duniawi
Hadis 11: Ketinggian Kalimah “La ilaha ilallah”
Kisah Keyakinan Seorang Anak Muda Setelah Menerima Kalimah Tuhan yang Satu
Hadis 12 (Hadis qudsi): Marilah Perbanyakkan Infak (Bersedekah)
Hadis 13: Beristiqamahlah (Konsisten) Dalam Beribadat
Hadis 14: Mengutamakan pembaikan berterusan
Hadis 15: Tingkatkan Sama Amalan Dari Hati
Coretan Kisah: Kehebatan Mujahidin Afghanistan
Orang Hebat Boleh Mengawal Responnya Terhadap Sesuatu
Orang Islam Memiliki Pandangan Hidup Yang Hebat
Hadis 17: Doa – Senjata Berbisa Orang Mukmin
Hadis 18: Hikmah (Kebijaksanaan) Adalah Barangan Orang Islam
Alatan Penyakut Ingatan untuk Meningkatkan Ingatan (Memory Tool)
Hadis 19 (Hadis Jibrail): Buatlah Apa Sahaja yang kita kehendaki, tetapi…
Hadis 20: Islam Akan Lemah Apabila Umatnya Terlalu Cintakan Dunia DAN Takutkan Kematian.
‘Krisis-Krisis’ Umat Islam Hari Ini
Tragedi Amukan Pelampau Hindu di Gujarat 2002
Tragedi Tawanan Chechen Beslan Rusia 2004
Krisis Perang Saudara 2006 di Somalia
Memahami Isu Berdarah Uzbekistan 2005
Kisah Dua Sifat Orang Yang Mati
Hadis 21(Hadis Mauquf): Al-Khusyuk – Ilmu yang Mudah Hilang Daripada Dada Kita.
Hadis 22: Allah Suka Melihat Umat Menikmati Kurniaan-Nya
Rasulullah SAW Juga Bermesra dan Bergurau
Hadis 23: Allah Sukakan Orang Kaya Bertaqwa
Kisah-Kisah Sahabat yang Kaya Jiwanya
Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq ra
Hadis 25: Penyebab Terbanyak Kenapa Orang Masuk Syurga Atau Neraka
Penyebab Terbanyak Masuk Syurga
Nasihat Luqman dan Nasihat Nabi Kepada Abu Dzar Berkenaan Akhlak-akhlak Mulia
Satu Kisah Kemuliaan Akhlak Nabi Muhammad SAW.
Penyebab Terbanyak Masuk Neraka
Hadis 26: Ramai Perempuan Di Neraka Kerana Kufur Kepada Kebaikan ORANG LAIN
Hadis 27: Perhiasan Dunia yang Terbaik
Kisah Kemuliaan Sayyidatina Khadijah R. Ha
Hadis 28: Orang Islam yang Sebenar
Kisah Salahudin Ayubi Rahimahullah
Kisah Sultan Muhammad al-Fateh
Kisah Kezaliman Bukan Islam Terhadap Islam
Hadis 29: Allah Menyayangi Orang yang Menyayangi Makhluknya
Teladan Daripada Rasulullah SAW
Peranan Syaitan Memupuk Kebencian di Kalangan Umat
Kisah Kematian Ayahnda Seorang Sahabat Rasulullah SAW
Hadis 30: Segala Kebaikan Diri Terletak di Hati
Hadis 31: Masa Semakin Cepat, Kiamat Semakin Dekat – Manfaatkanlah Masa Kita!
Hadis 32: Bagaimana Hendak Menjanakan Pahala Walaupun Sudah Meninggal?
Cara Untuk Terus Dapat Bekalan Pahala Walaupun Sudah Berada di Alam Kubur
Hadis 33: Orang kuat yang Sebenar
Hadis 34: Takutilah Memakan Perkara Haram
Kisah-Kisah Menarik Ulama Menjaga Pemakanan
Hadis 36: Pejuang Islam Akan Dipandang Pelik
Hadis 37: Ganjaran Ketinggian darjat Pejuang Agama
Kisah Abu Talhah dan Sahabat-Sahabat Lain
As-Syahid Abdul Aziz Ali Abdul Majid al-Rantisi
Hadis 38: Orang yang Mendalami Ilmu Agama Akan Mendapat Kebaikan yang Banyak
Kisah Ketekunan Para Salabat dan Alim Ulama Mendalami Ilmu
Hadis 39: rosaknya ilmu kerana tiga golongan