Monday, March 22, 2010

Sebahagian Ilmu daripada Buku

Saya kira semua orang yang rajin membaca akan dapat mengetahui nilai membaca. Banyak pengalaman, pengetahuan, kebijaksanaan, ketajaman fikiran, berpemikiran penyelesaian dan malah kemahiran dalam kehidupan akan diperolehi.

Penulisan-penulisan agama oleh para alim-ulama kita sangatlah bermutu tinggi. Bayangkan, kitab hadis yang dikarang oleh Imam Bukhari telah di beri penilaian sebagai kitab kedua tersahih selepas al-Qur’an. Kitab tersebut telah dikarang selama belasan tahun dan telah disyarahkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani selama lebih 20 tahun. Kitab Imam Ghazali, Ihya Ulumuddin, misalnya mengandungi perubatan hati/jiwa yang bernilai antara yang terhebat di dunia. Begitulah dengan kitab-kitab agama Islam yang lain.

Disamping tidak sama sekali dapat dinafikan kebaikan dan keutamaan membaca kitab-kitab agama, kita juga boleh mendapat banyak kebaikan hatta daripada buku-buku barat yang ada di pasaran. Sebahagiannya telah mengungkap permasalahan serta penyelesaian hidup seharian dengan begitu baik dan berkesan sekali. Seharusnya seorang Islam yang berbudaya iqra’ tetap memanfaatkan segala kebijaksanaan tersebut (rujuk hadis 18).

Berikut adalah sebagaian contoh ilmu yang boleh didapati daripada buku;

Pengurusan Keluarga oleh Dr James Dobson

Dr James Dobson adalah seorang pengasas dan presiden kepada “Focus on the Family”, seorang yang pakar dalam pengurusan keluarga. Dia telah memberi kaunseling melalui berbagai media dan telah menjadi penasihat kepada tiga orang presiden Amerika Syarikat dalam perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan. Rancangan radionya, khususnya “Focus on the Family” telah di dengar oleh lebih 200 juta orang di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Antara buku yang ditulisnya adalah, “Complete Marriage and Family: Home Reference Guide” (Kelengkapan Perkahwinan dan Kekeluargaan: Panduan Rujukan di Rumah). Buku ini telah memuatkan lebih 400 soalan yang kerap di tanya berhubung dengan permasalahan perkahwinan dan kekeluargaan. Ianya telah dijawab dengan begitu menarik dan berkesan oleh Dr. James Dobson.

Berikut adalah dua contoh menarik soalan dan jawapan (daripada lebih 400 soalan/jawapan) yang dikemukakan dalam buku tersebut (telah disunting dan diolah semula);

Soalan:
Saya mengalami situasi yang sungguh dasyat apabila hendak menyediakan anak-anak ke sekolah setiap pagi, khususnya anak lelaki saya yang berumur 10 tahun. Dia hanya menggeliat apabila saya mengejutkannya. Namun, apabila saya keluar, dia terus berlengah-lengah di atas katil tersebut. Ianya memaksa saya untuk terus mendorong, mengesa dan memberi amaran kepadanya, jika tidak semuanya akan terlambat. Apatah lagi memikirkan bahawa saya juga perlu bersiap untuk ke pejabat dan ‘punch in’ sebelum jam lapan pagi. Situasi sebegitu selalunya menyebabkan saya rasa geram, marah dan meninggikan suara. Kadang-kadang terkeluar kata-kata yang tidak sesuai. Saya sangat mengetahui bahawa ianya tidak baik begitu. Namun, saya tidak tahu bagaimana hendak keluar daripada situasi tersebut. Ada carakah untuk saya menyelesaikan permasalahan tersebut supaya saya tidak lagi “bergaduh” dengan anak-anak setiap pagi?

Jawapan:
Dengan melakukan demikian sebenarnya kita meletakkan kelakuan anak itu sebagai tanggung jawab kita. Anak yang sudah berumur sepuluh tahun sudah boleh mengawal dirinya dan mengambil inisiatif serta tanggung jawab sendiri. Dan sebagaimana banyak yang menyedari, ianya sebenarnya tidak menyelesaikan masalah.

Kita boleh menyediakan satu sistem yang menjadikan anak rasa bertanggung jawab dan ingin melaksanakan sendiri. Pada diri penyusun, saya namakan ianya sebagai ‘permainan tanggung jawab’ (responsibility game). (Kaedah yang telah diubahsuai oleh penyusun) Mulakan dengan berbincang bersama anak tentang peraturan permainan ini. Asasnya, jika anak boleh lakukan sebagaimana yang dipersetujui bersama, anak akan diberi ganjaran tertentu. Jika tidak berjaya, satu penalti yang dipersetujui bersama pula akan dikenakan.

Contohnya, jika anak boleh bangkit sebelum jam 5.30 pagi, (tambahan kepada elaun hariannya) ganjaran sebanyak 50 sen akan diberi kepadanya pada hari tersebut. Nilai ganjaran adalah bergantung kepada persekitaran dan kesesuaian anak. Memberi anak-anak dalam bentuk kewangan sebenarnya tidak menjadi masalah kepada anak-anak (ini juga pendapat Dr James Dobson). Jika anda kurang selesa dengan ganjaran kewangan, anda boleh beritahu bahawa wang itu hanya boleh diguna untuk membeli alat tulis atau barangan lain yang dikawal oleh kita. Namun, yang penting juga ialah ganjaran tersebut mesti secukupnya untuk menarik kemahuannya. Jika dia berjaya bangun sebelum jam 6.00 pagi ganjaran tambahannya adalah 20 sen dan dendanya adalah 30 sen, jika tidak berjaya.

Bagi menjayakan ‘permainan’ tersebut, kita kenalah beri masa untuk melaksanakannya. Selain daripada persetujuan bersama yang menarik dan kewujudan denda jika gagal, kita juga perlu sediakan prasarana yang mencukupi atau menyokong. Contohnya, elok diberi satu jam loceng untuk membantunya bangkit pada masa yang dikehendaki. Selalulah bercakap dengannya untuk menandakan kita juga seronok dengan permainan tersebut. Ingatkan dia tentang permainan ini sentiasa, khususnya sebelum beliau tidur. Elok juga disediakan satu senarai atau jadual untuk beliau menandakan ‘prestasi’ hariannya. Jadual itu akan kita tandatangani pada setiap hari (untuk meningkatkan keseronokkan ‘permainan’ ini). Jadual yang menarik juga sangat membantu. InsyaAllah ianya sangat berkesan jika ‘dimainkan’ dengan baik. Malah ianya boleh digunakan untuk melaksanakan sistem-sistem galakan lain, seperti untuk mengalakkannya membuat lebih banyak latihan/ulang kaji di rumah dan sebagainya.

Soalan:
Pada tahun lalu, kami dikurniakan seorang anal lelaki yang comel. Namun, kami telah mengalami tekanan pada beberapa bulan kebelakangan ini. Kami tidak tahu sama ada hendak bertanyakan kepada orang alim, doktor, pakar psikologi, pakar pemakanan atau sebagainya. Yang menjadi masalahnya adalah kerana bayi kami sentiasa ‘meminta-minta’ daripada kami, dia kerap menangis seolah-oleh meminta kami memberi perhatian kepadanya 24 jam.

Kadang-kadangnya dia tertidur dalam menangis. Masalahnya, tidurnya tetap tidak lena. Sekejap-sekejap dia bangun dan menangis lagi. Dengan itu, saya terpaksa mendokongnya untuk menidurkannya. Bila hendak meletakkannya, saya begitu berhati-hati kerana bimbang dia akan menangis lagi. Malangnya, ianya tidak sepenuhnya selesai. Dia masih banyak menangis.

Lebih meningkatkan tekanan adalah kerana saya menjadi letih, khususnya untuk ke pejabat keesokkannya. Kadang-kadang ianya menganggu kesihatan saya. Saya juga sudah terbatas ruang untuk membuat kerja-kerja di rumah akibat perhatian yang banyak perlu diberi kepadanya. Jika tuan mempunyai idea menyelesaikan masalah tersebut, tolong berikan kepada saya.


Jawapan:
Kadang-kadang kita seolah-olah tidak percaya bahawa seorang bayi boleh ‘mengawal’ dua orang dewasa (ibu dan bapanya). Tetapi itulah hakikatnya dan hakikat itu telah dirasainya oleh ramai ibu-bapa lain. Salah satu sebab biasanya (selain daripada masalah kesihatan dan pemakanan), bayi menangis kerana pembawaannya untuk mendapat apa yang dikehendakinya. Justeru, masalahnya bukan terletak pada bayi itu tetapi kepada kedua ibu-bapanya.

Walaupun usaha yang dilakukan berniat baik, menggembirakan dan menyayanginya serta untuk menjadikan suasana tenang, kita kerap membiarkan diri kita ‘diperintahkan’ oleh si bayi kita. Kita tidak perlu sentiasa mendokongnya atau berjalan secara berlahan demi memastikan bayi kita senyap, kerana ini akan lebih mengukuhkan ‘kehendaknya’. Seolah-olah, bila bayi menangis kerana mendambakan perhatian, kita akan cepat-cepat memenuhinya dengan berada disampingnya – menyahuti tangisannya. Kita mesti memutuskan ‘corak’ sedemikian.

Sebelum anda memutuskan ‘corak’ sedemikian, anda mesti terlebih dahulu memastikan bahawa tangisan tersebut bukanlah kerana masalah fizikalnya. Anda boleh semak dengan doktor kadar kesihatannya. Pastikan juga dia tidak basah, perutnya tidak kembung atau lain-lain keadaan yang wajar diberi perhatian. Perkara seterusnya, kita perlu tahu bahawa tangisan bayi tidak mencenderakannya, tiada masalah jangka panjang yang bakal berlaku kerana teriakkan yang agak lama.

Justeru, pada hari anda ingin mula memutuskan corak tersebut, pastikan anda memberi makan atau minum susu secukupnya kepadanya. Kemudian pastikan dia memakai lampin bayi yang kering dan boleh tahan pada satu jangka masa yang munasabah. Bermain dengannya dan kerap mengosok atau memegangnya rapat dengan anda. Bila tiba waktu tidur, dodoilah dia sekejab kemudian tinggalkannya perlahan-lahan. Pada awalnya, dia tentu akan menjerit. Namun, jangan angkat atau mendokongnya (kecuali ada masalah keselamatan pada dirinya), walaupun dia akan menjerit sehingga dua jam. InsyaAllah, bila dia sudah rasai bahawa menjerit tidak akan menyebabkan kita terpaksa mendokongnya atau memenuhi permintaan jeritannya, masalah tersebut akan hilang secara perlahan-lahan.



Jalan Pintas Matematik

Banyak buku-buku menarik yang menunjukkan jalan pintas melakukan sesuatu atau memberi kemahiran yang sangat baik jika diamalkan. Kesan jangka panjangnya ialah keberkesanan kemahiran hidup kita akan meningkat berganda-ganda. Kemahiran-kemahiran hidup akan saling bersinergi untuk menggandakan keberkesanan dalam apa juga yang kita ingin lakukan.

Antara buku yang menarik ialah “The Trachtenberg Speed System of Basic Mathematics” oleh Ann Cutler dan Rudolph McShane. Operasi pendaraban melalui sistem ini, sebagai satu alternatif kepada pelajar-pelajar yang lemah sifir, mereka hanya perlu ingat sifir dua serta operasi campur dan tolak sahaja;

Pendaraban 2:
1. Tambah satu kosong di depan nombor.
2. Mulakan dari digit terakhir, gandakan dua kali setiap digit.
3. Jika melebihi 9, ambil digit kedua dan tanda bintang pada hasil.
4. Jika hasil sebelumnya ada tanda bintang tambahkan satu kepada digit yang digandakan.
Contoh: 253x2:

0 2 5 3
0 5 *0 6

Pendaraban 11:
1. Tambah satu kosong di depan nombor.
2. Mulakan dari digit terakhir, tambah dengan digit sebelumnya (digit yang paling belakang tidak perlu ditambah dengan digit sebelumnya).
3. Jika melebihi 9, ambil digit kedua dan tanda bintang pada hasil
4. Jika hasil sebelumnya ada tanda bintang tambahkan satu kepada digit yang digandakan.

Pendaraban 12:
1. Tambah satu kosong di depan nombor.
2. Mulakan dari digit terakhir, gandakan setiap digit dan tambah dengan digit sebelumnya.
3. Langkah-langkah lain adalah seperti sebelum ini.
Pendaraban 9:
1. Tambah satu kosong di depan nombor.
2. Digit terakhir tolakkan dengan 10.
3. Digit-digit selain itu tolakkan dengan 9 dan tambahkah dengan digit sebelumnya.
4. Akhir sekali tolak 1 daripada digit pertama (untuk nilai di bawah 0).

Contoh: 314251 x 9

0 3 1 4 2 5 1
= 2 8 *2 8 *2 5 9 => 314251 x 9 = 2828259

Pendaraban 8:
1. Tambah satu kosong di depan nombor.
2. Digit terakhir tolakkan dengan 10. Gandakan hasilnya.
3. Digit-digit selain itu tolakkan dengan 9, gandakan hasilnya dan tambahkah dengan digit sebelumnya.
4. Akhir sekali tolak 2 daripada digit pertama
Contoh: 314251 x 8

0 3 1 4 2 5 1
= 2 *5 **1 *4 **0 *0 *8 => 314251 x 8 = 2514008


Sebenarnya banyak lagi penemuan-penemuan menarik berkenaan mathematik yang telah dibukukan. Antaranya kaedah MatheMagics oleh Prof. Arthur Benjamin. Beliau telah mengasaskan kaedah pengiraan di minda dengan cepat. Mengikut kaedahnya, apabila hendak membuat kiraan campur, kita hendaklah mencampur dari depan (bukan dari belakang sebagaimana biasa pada pengiraan di kertas).

Contohnya, apabila ingin mencampur 60 + 32, di dalam kepala pencampurkan kita adalah 60 + 30 + 2 (ianya amat memudahkan minda kita untuk mencampurnya). Justeru, bila ingin mencampur 70 + 98, pencampuran di minda adalah 70 + 90 + 8. Begitulah untuk pencampuran nombor besar, seperti 120 + 578, pencampuran di minda adalah 120 + 500 + 70 + 8 (selesaikan setiap pencampuran terlebih dahulu satu demi satu di dalam minda).