(dipetik dan diringkaskan daripada kitab Fadhilat Ramadhan
oleh muhaddith ulung, Maulana Muhammad Zakaria Kandhahlawi)
عن سلمان قال: خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر يوم من شعبان فقال: يا أيها الناس قد أظلكم شهر عظيم شهر مبارك فيه ليلة خير من ألف شهر جعل الله تعالى صيامه فريضة وقيام ليله تطوعا، من تقرب فيه بخصلة من الخير، كان كمن أدى فريضة فيما سواه وهو شهر الصبر، والصبر ثوابه الجنة، وشهر المواساة، وشهر يزاد فيه رزق المؤمن، من فطر فيه صائما كان له مغفرة لذنوبه، وعتق رقبته من النار، وكان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء، (sehingga akhir)
Salman (ra) meriwayatkan bahawa: pada hari terakhir Syaaban, Rasulullah (saw) berkhutbah kepada kami: ' Wahai manusia, kini muncul kepadamu satu bulan yang besar (mulia), bulan yang tersangat berkat, terkandung di dalamnya satu malam yang terlebih tinggi nilainya daripada seribu bulan. Inilah bulannya Allah men fardhukan puasa di siang hari dan menjadikannya solat tarawikh sebagai sunnah di malam hari. Sesiapa yang ingin menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub) melalui amalan baik di bulan ini, maka akan dibalasi kepadanya dengan ganjaran seolah-olah dia melakukan amalan fardhu di lain-lain bulan pada tahun itu. Dan barangsiapa melakukan amalan fardhu akan dibalasi kepadanya dengan tujuh puluh amalan fardhu pada bulan lain. Inilah sesungguhnya bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran yang sejati ialah jannah.
Inilah bulan simpati terhadap sesama lain di bulan inilah rezeki orang-orang beriman ditambah. Barangsiapa memberi makan (untuk berbuka puasa) kepada orang yang berpuasa maka kepadanya dibalasi dengan keampunan terhadap dosa-dosanya dan bebas daripada api neraka jahanam dan dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tadi tanpa sedikit pun mengurangi pahala orang yang berpuasa itu.'
Maka kami pun berkata: 'Ya Rasulullah! Tidak kesemua kami mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.' Baginda menjawab: 'Allah akan mengurniakannya balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa, ataupun seteguk air atau sehirup susu untuk dia berbuka puasa.
Inilah bulannya yang pada awalnya Allah menurunkan rahmat, dipertengahan Allah memberikan keampunanNya dan pada akhirnya Allah membebaskan hambaNya daripada api neraka Jahanam.
Dan di dalam bulan ini berusahalah segiat-giatnya memperbanyakkan empat perkara. Dua diantaranya ialah untuk menyukakan Allah (swt) sedangkan yang dua lagi kamu tidak boleh lakukan tanpanya. Perkara yang menyukakan Allah (swt) ialah kamu hendaklah memperbanyakkan membaca kalimah Toyyibah (la ilahailallah) dan beristighfar. Dan perkara yang kamu tidak dapat lakukan tanpanya ialah kamu hendaklah bermohon kepada Allah untuk masuk syurga dan berlindung dengan-Nya daripada dicampak ke dalam neraka Jahannam. (Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Khuzaimah di dalam Sahihnya)
Ulasan hadis oleh Syeikh al-Maulana (diringkaskan)
· Hadis ini disampaikan oleh Rasulullah saw sebelum bulan Ramadhan untuk setkan minda para Sahabat (dan untuk kita semua) betapa berharganya bulan Ramadhan – jangan biarkan walaupun seketika berlalu tanpa memperolehi manfaat maksimum daripadanya.
· Perintah bersolat tarawikh datang daripada Allah swt dan semua mazhab ahli Sunnah wal Jemaah bersetuju bahawa tarawikh adalah suatu sunnah.
· Rebutlah peluang keemasan untuk melakukan amalan-amalan sunat sebanyaknya ianya akan digandakan dengan diberi pahala seolah-olah menunaikan amalan-amalan fardhu (nilai amalan fardhu amatlah besar nilainya di sisi Allah) dan jangan sekali-kali mencuaikan amalan fardhu.
· Rebutlah peluang untuk memberi makan orang yang sedang berpuasa untuk berbuka kerana ianya sangat diutamakan dan sangat tinggi ganjarannya.
· Ramadhan adalah bulan kesabaran. Dengan ini walaupun menghadapi kesukaran yang sangat berat ketika berpuasa, hendaklah ditanggung dengan gembira dan tabah hati, janganlah merungut-rungut sebagaimana orang melakukannya ketika cuaca panas. Begitulah juga jika terlepas waktu sahur, janganlah mengomel-ngomel. Jikalau kita keletihan sewaktu bertarawikh, ini juga patut dizahirkan dengan rasa kesyukuran. Kalaulah kerana atas perkara-perkara keduniawian kita sanggup berlapar dan dahaga semata-mata untuk mencari rezeki, maka apalah sangat jika dibandingkan dengan kesukaran-kesukaran ini untuk memperolehi keredhaan Allah?
· Sebagai galakan untuk kita semua, as-Syeikh al-Maulana menceritakan amalan gurunya, Maulana Ahmad Kahlil semasa bulan Ramadhan,
Beliau seorang yang lemah, sakit tua, walaupun begitu berkemampuan membaca satu juzuk suku al-Quran di dalam solat sunat selepas Maghrib. Selepas itu selama setengah jam dihabiskan untuk makan dan lain-lain persediaan untuk tarawikh. Beliau bersolat tarawikh selama dua setengah jam ketika beliau berada di India dan selama tiga jam pula tatkala tinggal di Madinah Munawwarah. Kemudian beliau akan tidur dua atau tiga jam (mengikut musim). Sekali lagi di dalam tahajjud beliau akan membaca al-Quran sehingga sejam setengah sebelum subuh, ketika itu beliau makan sahur. Selepas itu beliau sibuk membaca al-Quran atau Wazifah. Bila menjelang Subuh, beliau pun solat Subuh dan terus berada di dalam muraqabah sehingga Isyraq. Setelah solat sunat Isyraq, beliau menulis kitab (antara kitab klasik-popular beliau adalah syarah hadis Abu Daud, Bazlul Majhud). Sehingga tengahari lazimnya beliau akan melihat surat-suratnya dan menrencanakan jawapan-jawapannya. Beliau akan berehat sehingga solat Zohor dan bertilawah al-Qur'an daripada Zohor hingga Asar. Daripada Asar sehingga Maghrib beliau sibuk bertasbih dan berbual dengan mereka yang menziarahinya.
(Menurut as-Syeikh al-Maulana lagi, apalah sukarnya bagi mereka yang perlu masuk kerja pada jam lapan, sembilan atau sepuluh pagi, meluangkan sekurang-kurangnya pada bulan Ramadhan ini daripada waktu fajar sehingga masa kerja, mereka membaca Al-Qur'an)